Serangan idealogi dan permainan isu

- Advertisement -

PERMAINAN isu

(1)     Baru-baru ini Anwar Ibrahim menggalakkan supaya zakat diagih kepada orang kafir. Idea ini bukanlah perbincangan baru, tapi telah diwacanakan oleh para ulamak terdahulu.

Hakikatnya lontarannya ini bukanlah untuk berwacana, akan tetapi ia adalah serangan idealogi. Umat Islam yang tidak sedar hakikat ini, akan bergelut dengan hukum-hakam khilafiah.

Ini bukanlah kali pertama dan bukan kali terakhir. Beberapa hari kemudiannya, timbul pula isu anugerah Maulidur Rasul diberi kepada orang kafir. Umat Islam mempertikai kerasionalan tindakan Menteri.

(2)     Kalau dulu, isu sentuh anjing, isu berbuka puasa dalam gereja, isu dobi, LGBT dan lain-lain. Kadangkala sengaja dirancang untuk mencetuskan serangan pemikiran.

Manakala Umat Islam bergelut sesama sendiri untuk berbincang isu khilafiah. Ini perkara biasa. Nampak gaya, akan ada banyak lagi siri-siri mencetuskan isu kontroversi.

(3)     Antara tujuan utamanya ialah ‘serangan pemikiran’. Umat Islam yang bergelut sesama sendiri dihabiskan staminanya untuk berperang dalam kancah isu-isu khilafiah.

Kalau yang timbulkan isu itu ialah Maza dan Rozaimi, mereka akan kata Wahhabi. Tetapi apabila isu ini ditimbulkan oleh geng NGO, mereka hanya tahu mengecam tanpa hujah.

Umat Islam suka terikut dengan mode yang dicipta. Kalau timbul isu qunut, seolah-olah seluruh Umat Islam di Malaysia akan berbahas bab qunut dengan rujukan pelbagai jenis kitab.

Serangan idealogi pasca PRU14

(1)     Sepertimana yang telah saya nyatakan di dalam beberapa artikel sebelum ini mengenai percaturan Barat terhadap Umat Islam. Antaranya strategi mewujudkan Muslim Moderate.

Antara yang lain menimbulkan isu-isu khilafiah sebagai medan mewujudkan ‘civil war’ di peringkat antarabangsa. Menjadikan Umat Islam sentiasa penat dan letih bercakaran sesama sendiri.

(2)     Apa yang terjadi di Malaysia, khususnya pasca PRU14 menyaksikan bagaimana agenda ini semakin subur. Setiap isu yang ditimbulkan, pastinya ada agenda belakang tabir.

Kemenangan PH dijadikan ruang untuk menghamburkan peluru-peluru serangan pemikiran sebanyak mungkin. Kalau di zaman BN dahulu, mungkin mereka tersekat sikit.

a-     Contohnya isu murtad, Lina Joy dan sewaktu dengannya di era awal millenia. Tetapi hari ini ruang semakin terbuka untuk mereka memasarkan idealogi mereka dengan lebih legal.

b-     Contohnya idealogi yang diterapkan dalam komik yang tersebar seluruh Malaysia. Secara zahirnya ia adalah agenda DAP. Idealogi yang dipasarkan secara terbuka di langit Malaysia.

Apabila berhadapan dengan isu khilafiah, ramai Umat Islam yang boleh jadi pendekar untuk mengeluarkan dalil itu dan ini. Tetapi apabila timbul isu idealogi, tak ramai yang mampu untuk menyanggah.

Apabila tiada kemampuan untuk menyanggah dengan hujah, maka terpaksalah menggunakan troll. Ini sahaja yang mampu untuk dijadikan ‘sarapan pagi’ di atas meja Facebook.

Karya emas yang dipandang sepi

(1)     Para ulamak terdahulu muncul dengan hujah-hujah yang dikaryakan untuk menyanggah musuh di zaman masing-masing. Antaranya Imam Abu Hassan al Asy’ari yang menyusun Sifat 20.

Karya-karya beliau menjadi manfaat untuk menyanggah golongan Muktazilah di zamannya. Bahkan ia terus dimanfaatkan sehingga ke hari ini.

(2)     Tetapi hari ini tidak berapa subur karya-karya untuk menyanggah hujahan ‘Muktazilah Moden’ persis Imam al Asy’ariy. Bahkan karya-karya yang menyanggah idealogi sesat pada hari ini, dibakul sampahkan oleh Umat Islam sendiri.

a-     Lihatlah karya-karya Syed Qutb yang segar dengan hujah-hujah menyanggah idealogi sesat. Karya-karya ini dipotretkan sebagai punca keganasan untuk mewujudkan femoneman Ikhwan-fobia.

Ini kerana karya beliau mampu membangkitkan Umat Islam daripada lamunan tidur. Sebab itulah Syed Qutb dan seangkatan dengannya dikekang secara khusus oleh Barat.

b-     Contohnya karya beliau السلام العالمي والاسلام yang dibuang tajuk akhirnya kerana mendedahkan perancangan-perancangan Barat yang ketika itu masih dirahsiakan.

(3)     Usul 20 karangan Imam Hassan al-Banna juga turut memainkan peranan besar terhadap kesatuan Umat Islam jika dihadam dengan baik.

Namun, hari ini Usul 20 dipandang sepi kerana Umat Islam masih ramai yang tertidur. Ada yang sudah terjaga daripada tidur tetapi masih termenung di atas katil.

Individu dan karya yang mengancam survival Barat

(1)     Tidak pelik kalau tokoh-tokoh Ikhwan dianggap berbahaya untuk survival Barat menguasai dunia. Justeru, mereka perlu meng attack gerakan ini secara terancang.

a-     Nama Imam Hassan al-Banna dan Syed Qutb dirancang secara khusus oleh RAND Corporation untuk dihapuskan daripada peta minda Umat Islam.

b-     Hal ini kita boleh teliti dalam kajian mereka yang bertajuk ‘Unfolding The Future Of The Long War’ yang telah saya siarkan dalam artikel yang lepas.

(2)     Karya-karya tokoh Ikhwan Muslimin ini dianggap bahaya oleh Barat. Sehingga Kerajaan Mesir yang menjadi tali barut Barat memainkan peranan untuk menghukum sesiapa sahaja yang memiliki karya-karya tersebut.

Bahkan, Para ulamak di Tanah Melayu turut mengambil inspirasi daripada karya-karya Ikhwan lalu menterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sejak 60-an lagi untuk dijadikan silibus dalam PAS.

(3)     Bukan mudah untuk membawa perbahasan di dalam Al-Quran itu ke dalam dunia realiti serangan idealogi. Itulah Fi Zhilal al Quran yang merupakan salah satu karya Syed Qutb.

a-    Sehingga hari ini perbahasannya sentiasa segar untuk menghadapi musuh-musuh Islam. Contohnya, di dalam menceritakan mengenai Bani Israel, beliau menyatakan:

- Advertisement -



وقصة بني إسرائيل هي أكثر القصص ورودا في القرآن الكريم; والعناية بعرض مواقفها وعبرتها عناية ظاهرة، توحي بحكمة الله في علاج أمر هذه الأمة المسلمة، وتربيتها وإعدادها للخلافة الكبرى

“Dan kisah Bani Israel merupakan kisah yang paling banyak disebutkan di dalam al-Quran, dan memberi fokus kepada pengajarannya merupakan satu fokus yang menampakkan kebijaksanaan Allah S.W.T di dalam memulihkan permasalah ummat Islam, susunannya, dan mempersiapkannya untuk pembentukan khilafah (Fi Zhilal al Quran, huraian ayat 40 Surah al Baqarah)”



Beliau meletakkan bahawa Kisah Bani Israel merupakan klu kepada penyelesaian masalah ummat, dan langkah ke arah pembentukan khilafah.

b-     Beliau cuba membawa Umat Islam agar memahami realiti kenapa Zionis mensasarkan al-Quds. Perancangan Zionis didedahkan oleh al-Quran menerusi Fi Zhilal al Quran.

Contoh menganalisa isu

Dalam kita menghadapi situasi kerencaman serangan idealogi di Malaysia khususnya di zaman PH. Bukan semua perkara perlu diulas. Kerana semakin ramai manusia yang ‘menghurung’ sesuatu isu, menandakan isu itu berjaya.

Bagaimanakah cara yang sesuai untuk menguruskan sesuatu isu?

(a)     Elakkan daripada melihat sesuatu isu secara 1 lapis. Contohnya isu ruang yang diberikan untuk LGBT. Tidak cukup hanya sekadar troll sedangkan mereka itu bebas memasarkan idealogi mereka.

Justeru, kita perlu melihat situasi ini selaras dengan projek normalisasi terhadap kebebasan (Liberal) atau Humanism. Lebih tepat kita mensasarkan kepada kecelaruan Liberalism dan Humanism.

(b)     Mengenal pasti asal punca sesuatu idealogi yang ditembak. Contohnya isu percukaian yang dikekalkan dengan pelbagai nama sama ada SST atau GST.

Hakikatnya ia adalah idealogi Kapitalism. Umat Islam perlu memahami asal-usul idealogi ini, dan kita akan dapati tiada rasional untuk Malaysia menggunakan sistem ini.

(c)     Mengkaji agenda antarabangsa, kerana Malaysia tidak terlepas daripada percaturan antarabangsa. Contohnya kita boleh melihat isu penurunan harga lantai rumah untuk warga asing.

Secara zahirnya ia seolah-olah rancangan untuk menguatkan pengaruh China di peringkat antarabangsa di kawasan Asia Tenggara. Ia boleh dilihat melalui komik BRI yang diceritakan tadi.

(d)     Menyanggah idealogi dengan hujah idealogi, bukan hujah feqah semata-mata. Contohnya kalau dilihat semata-mata isu feqah dalam ‘Kempen Sentuh Anjing’ kita akan kata ia isu khilafiah.

Kerana Mazhab Syafie mengharamkan menajiskan diri dengan sengaja. Manakala mazhab lain ada yang mengharuskan, asalkan lepas sentuh tu kena samak.

Tokoh Maulidur Rasul dan isu zakat

(1)     Apa yang saya senaraikan di atas hanya sekadar lontaran awal untuk memahami selok-belok serangan sesuatu isu. Contohnya isu buluh lebih sesuai berbanding sawit.

Nampak seolah-olah Menteri itu terlalu bodoh untuk menyuarakan hal ini. Rupa-rupanya ada ‘udang di sebalik mee bandung’. Sama juga dengan isu tokoh Maulidur Rasul.

Ya, sepertimana yang saya katakan tadi, tidak pelik kalau mereka menobatkan orang kafir sebagai Tokoh Maulidur Rasul. Macam biasa, ia adalah serampang dua mata.

a-     Satu mata dihalakan untuk merosakkan muafakat kerana di zaman BN atau Umno juga ada menobatkan orang kafir sebagai Tokoh Maulidur Rasul. Hari ini PAS pula bermuafakat dengan Umno.

b-     Satu lagi mata ialah normalisasi Muslim Moderate. Iaitu menampakkan Islam yang menentang tokoh Maulidur Rasul di kalangan orang kafir, sebagai pendekatan yang jumud.

Tokoh Maulidur Rasul itu disampaikan oleh Sultan. Saya menjangka esok atau lusa (WaLlahuaklam) akan ada unsur unsur mempergunakan nama Sultan atas isu ini.

(2)     Sama juga dengan isu zakat untuk Non-Muslim. Saya tertarik dengan jawapan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (TGHH) apabila ditanya mengenai lontaran Anwar Ibrahim itu.

TGHH menjawab bahawa zakat diberi keutamaan dahulu kepada orang Islam. Kemudian sekiranya berlebihan, barulah boleh diagihkan kepada bukan Islam.

Jawapan ringkas ini hakikatnya sangat padat untuk menjawab serangan idealogi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim. Hujah yang jelas, menyanggah kepincangan Liberalism, dan tidak terjerat dengan isu khilafiah.

Ulamak itu ramai, tetapi orang yang cerdik itu sikit

Justeru, dalam tulisan santai kali ini, marilah kita sama-sama meneliti kata kata Fudhail bin Iadh (105-187H);



العلماء كثير والحكماء قليل، وإنما يراد من العلم الحكمة، فمن أوتي الحكمة فقد أوتي خيرا كثيرا

‘Ulamak itu ramai, tetapi orang bijaksana itu sedikit. Apa yang diinginkan daripada ilmu itu ialah kebijaksanaan. Maka sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya dia telah diberikan dengan kebaikan yang banyak’.



Kata-kata beliau ini berdasarkan Firman Allah S.W.T;



یُؤۡتِی ٱلۡحِكۡمَةَ مَن یَشَاۤءُۚ وَمَن یُؤۡتَ ٱلۡحِكۡمَةَ فَقَدۡ أُوتِیَ خَیۡرࣰا كَثِیرࣰاۗ وَمَا یَذَّكَّرُ إِلَّاۤ أُو۟لُوا۟ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

(al-Baqarah: 269)



Imam Qurtubi menukilkan tafsiran Mujahid (tabiin) menyatakan kebijaksaan (الحكمة) itu ialah:



الإصابة في القول والفعل

“Ketepatan dalam kata-kata dan tindakan.”



Selain Mujahid, banyak lagi tafsiran terhadap maksud bijaksana, antaranya الحكمة itu bermaksud الحديث Hadis Nabi S.A.W, dan banyak lagi.

Justeru, dalam menganalisis isu-isu di Malaysia, kita perlu kepada kebijaksaan. Jika kita ‘refer’ pada tafsiran para ulamak, dalam menganalisis isu di Malaysia, kita perlu fahami melalui al-Quran dan Hadis, serta bertindak dengan tindakan yang betul dan ulasan yang tepat. – HARAKAHDAILY 12/11/2019

- Advertisement -