Retrospektif Krisis Ekonomi 1997 dan campur tangan IMF

- Advertisement -

SEPANJANG dua minggu ini dan beberapa minggu ke hadapan, Dewan Rakyat bersidang untuk membincangkan satu persatu isi kandungan Belanjawan 2020. Bagaimanapun dalam apa jua perancangan yang dibuat oleh negara, tidak dapat tidak perkembangan di peringkat antarabangsa perlu diambil kira kerana ia akan menentukan naik turun ekonomi negara. Dalam hangat perbincangan ini, lahir tulisan YB Tuan Guru Dato Seri Presiden PAS bertajuk, ‘Krisis Ekonomi 1997 Menguji Maruah’.

Bukan selalu Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menulis mengenai ekonomi negara. Seperti biasa, tulisannya tajam, penuh tersirat dan terkandung hikmah yang banyak dan wajar diberikan perhatian penting. Beliau menulis sisi utama bagaimana Tun Dr Mahathir yang menerajui kerajaan pada ketika itu menolak dengan tegas campur tangan International Monetary Fund (IMF) untuk menyelesaikan krisis ekonomi negara.

Memetik sebuah buku bertajuk, ‘Crisis and Recovery in Malaysia: The Role of Capital Controls’, Tun Dr Mahathir pernah berkata pada 19 Jun 1998, ‘If we have to resort to the International Monetary Fund assistance, the conditions imposed by the IMF will require us to open up our economy to foreigners. There will not be any Bumiputra quota as the New Economic Policy (NEP) is an injustice and unacceptable to their liberal democracy’.

Kata-kata Tun Dr Mahathir ada kebenarannya. R. Weissman menulis mengenai ‘Twenty Questions on the IMF’ dan beliau mengatakan, ‘The central goals of structural adjustment are to open up countries to having transnational corporations get access to their workers and natural resources, shrink the size and role of government, rely on market forces to distribute resources and services, and integrate poor countries into the global economy’.

Mengapa isu IMF timbul dalam konteks ini? Sebelum menjawab persoalan tersebut, lebih baik ditinjau semula apa sebenarnya yang telah berlaku pada ketika itu. Ekonomi negara sebelum 1997 berada pada kedudukan yang terbaik. KDNK berlegar sekitar 8 peratus hingga 10 peratus pada tahun 1993 hingga 1997. Malaysia merupakan negara pengeksport ke-18 dan negara pengimport ke-17 terbesar di dunia. Kerajaan mencatatkan lebihan fiskal yang selesa.


Kejutan krisis ekonomi tidak dijangka. Serangan spekulator melumpuhkan nilai Baht Thailand. Baht yang pada awalnya ditambat kepada Dollar Amerika telah diapungkan. Kerajaan Thailand dan syarikat konglomerat yang banyak terdedah kepada pasaran luar mengalami kemeruduman yang teruk. Sebulan selepas itu, Ringgit Malaysia dijangkiti kesan ‘contagion’ kejatuhan Baht. Walaupun Ringgit Malaysia pada waktu itu kukuh berbanding Dollar Amerika pada kadar RM2.50, namun tsunami spekulasi membadai negara.

Ringgit Malaysia pernah merudum sehingga RM4.72 berbanding Dollar Amerika pada bulan Januari 1998 sebelum ditambat pada RM3.80 pada bulan September 1998. Rizab semakin terhakis. KDNK jatuh. Kadar pengangguran meningkat. Tun Dr Mahathir pernah menyelar George Soros sebagai penyangak mata wang. Namun, beliau mengendurkan kecamannya beberapa tahun selepas itu. Dalam satu laporan The Star bertarikh 16 Disember 2006 melaporkan kenyataannya, ‘Soros said he was not personally involved in the devaluing of the Malaysian currency and that the devaluing was done by other traders. I accepted that’.

Satu lagi episod menarik dalam krisis ekonomi ini ialah campur tangan ‘maya’ IMF. Meskipun banyak negara menerima dengan terbuka bantuan IMF, namun Kerajaan Persekutuan bertegas untuk menyelesaikan sendiri krisis yang dialami dengan mengemukakan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara dan pembentukan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut melibatkan pemimpin pembangkang. Ironinya, Tun Dr Mahathir telah menyifatkan Menteri Kewangan dan Bank Pusat (BNM) pada waktu itu melaksanakan beberapa tindakan yang mencerminkan kehendak IMF.

Dalam buku yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir pada tahun 2000 yang bertajuk, ‘Krisis Matawang Malaysia – Bagaimana dan Mengapa Ia Berlaku’ dengan jelas menyatakan, ‘Apa yang Menteri Kewangan bersama dengan Bank Pusat buat ialah melaksanakan versi IMF tanpa pinjaman IMF, iaitu campuran dasar kewangan dan fiskal yang ketat, menaikkan kadar faedah untuk mempertahankan kadar tukaran, cubaan memperkukuhkan sistem perbankan menerusi piawaian berhemat yang ketat dan memotong perbelanjaan awam bagi membaiki imbangan akaun semasa’.


Mulai 1 September 1998, Majlis Tindakan Ekonomi Negara telah melaksanakan beberapa langkah pemulihan. Nisbah Rizab Berkanun dikurangkan daripada 8 peratus kepada 4 peratus, tempoh klasifikasi ‘Non Performing Loan’ dilanjutkan semula kepada enam bulan, peminjam bermasalah dibantu, Danaharta ditubuhkan, Industri Kecil dan Sederhana disuntik dengan pakej rangsangan RM750 juta untuk membantu masalah aliran tunai.

Walaupun ekonomi menguncup pada 7.2 peratus pada tahun 1998, namun pelan pemulihan menunjukkan kesan positif dengan catatan KDNK melonjak sehingga 5.6 peratus pada tahun 1999. IMF turut mengiktiraf langkah Kerajaan yang merumus kawalan modal tanpa campur tangan pihak luar. Selepas itu, semua maklum dalam tempoh pemulihan yang direncana oleh MTEN, pada masa yang sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dipecat daripada Kerajaan dan partinya sendiri.

Episod ekonomi politik Malaysia dalam tempoh 1997 hingga sekarang sangat dinamik. Krisis matawang dan langkah Kerajaan Persekutuan mengatasi krisis tersebut telah dijadikan isu akademik. Namun, percaturan politik sehingga ke hari ini masih berlaku. Perkara paling fundamental dalam isu ini adalah menolak sebarang campur tangan luar termasuk proksi asing dalam menentukan hala tuju negara. Pengaruh asing akan meletakkan kepentingannya mendahului hak dan kehendak rakyat Malaysia.

Timbul satu tanda tanya, mengapa tiba-tiba Tun Dr Mahathir secara tiba-tiba mengulang semula episod lama dalam catatan blognya bertarikh 29 Oktober 2019 yang bertajuk, ‘Krisis Kewangan’? Adakah catatan tersebut secara halus menempelak sikap segelintir pihak yang mempertikai corak penyelesaian yang diambil olehnya dalam menangani krisis ekonomi 1997? Siapakah sebenarnya watak antagonis ketika negara terperosok dalam kemelesetan ekonomi dengan menerapkan campur tangan ‘maya’ IMF?  Kenapa pula tiba-tiba Tun menyebut secara sindiran bahawa beliau ‘memohon maaf kerana kerana menolong taikun’ pada tahun 1997?

Soalan-soalan di atas itu sebenarnya mempunyai jawapan yang mudah untuk diteka oleh mana-mana pemerhati politik di negara ini.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

12 November 2019 – HARAKAHDAILY 12/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -