PAS Bukit Gantang belajar dengan PAS Ketereh

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Pengalaman luas PAS Negeri Kelantan mentadbir kerajaan dan kekuatan jentera parti menjadi topik menarik dibincangkan dalam pertemuan bersama rombongan Muslimat PAS Kawasan Ketereh yang mengadakan lawatan ke sini semalam.

- Advertisement -

Selain meraikan khususnya jentera HelWa Dun Kok Lanas, lawatan ini dianjurkan untuk menjalinkan ukhuwah dengan PAS Kawasan Bukit Gantang serta bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan, pengalaman dan sebagainya.

“Semoga silaturahim dapat dieratkan dan pengalaman berharga PAS Kelantan mentadbir negeri selama 29 tahun dapat menjadi panduan kepada para amilin di sini memperkemaskan jentera parti dan bekerja untuk kemenangan dalam PRU akan datang.

“Kelantan sangat rapat dengan saya kerana Penyelia DUN Kok Lanas, Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood adalah senior saya sewaktu belajar di universiti dahulu manakala isteri saya pula berasal dari Pasir Pekan,” kata Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Faisal Abdul Rahman.

Rombongan diketuai Ketua Pegawai Pentadbir Pusat Khidmat Dun Kok Lanas, Mohamad Nor Al Hafidz dan Penyelia Penyelaras Armalah, Jamimah Din disertai 54 anggota tiba pada petang kelmarin dan diraikan dalam satu majlis makan malam di Kampung Senduk Tengah, di sini.

Majlis ramah mesra dan dialog turut diadakan di Markaz Tarbiah PAS Kawasan Bukit Gantang anjuran Dewan Muslimat PAS Bukit Gantang semalam dengan turut hadir, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Zulkefly Ahmed dan Naib Yang Dipertua, Rahim Ismail serta Timbalan Ketua Muslimat PAS, Zaharah Mat Robi.

Mohamad Nor dalam ucapannya menyatakan, rombongan ini diadakan bagi meraikan petugas-petugas Muslimat PAS Ketereh khususnya di Dun Kok Lanas kerana mereka telah bekerja keras siang dan malam sewaktu PRU14 yang lalu.

“Kerja-kerja untuk mengekalkan kemenangan PAS di Kelantan bukanlah sewaktu musim pilihan raya sahaja tetapi dimulakan sebaik sahaja PRU13 berakhir.

“Antara tugas penting jentera parti ialah mengemaskini data di dalam aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan IT PAS Pusat, mendaftar pengundi baru, membuat semakan Daftar Pemilih pada setiap suku tahun dan membuat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jika ada nama pengundi yang meragukan,” katanya.

Selain bertandang ke Bukit Gantang, rombongan Program Kembara Muslimat PAS Ketereh ini turut mengunjungi beberapa destinasi pelancongan menarik seperti Bukit Larut dan Taman Tasik di Taiping serta Masjid Ubudiah dan kilang membuat labu sayong di Kuala Kangsar. – HARAKAHDAILY 12/11/2019

- Advertisement -