Saksi peng-Islaman ketika laksana Street Dakwah

- Advertisement -

PEKAN: Street Dakwah sempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan oleh Lajnah Dakwah Muslimat PAS Kawasan Pekan telah berjalan dengan lancar, kelmarin.

- Advertisement -

Program ini tertumpu kepada tiga tempat sasaran yang mana terdapat banyak premis perniagaan bukan-Muslim iaitu di Ketapang, Bandar Pekan dan Peramu Jaya, di sini.

Aktiviti diketuai Pengerusi Lajnah Dakwah,Ustazah Nalida Nara ini turut disertai Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad, selain Ketua Muslimat Cawangan Chini, Mariani Marzuki.

Pelbagai sudut pandang yang diberikan oleh individu masyarakat bukan-Muslim apabila diajukan persoalan mengenai Islam dan perihal Nabi Muhammad S.A.W.

Ada diantaranya menyambut baik program seperti ini di mana pernah mendengar nama Nabi Muhammad dan beranggapan Islam adalah agama sangat baik dengan peraturannya yang tertentu.

Namun, ada yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai Islam di mana segelintirnya pula mempunyai fahaman yang agak ekstrem terhadap agama ini.

Antaranya mendakwa Islam agama yang keras kerana tidak membenarkan keluar dari Islam (murtad), bahkan ada mahu Malaysia menjadi sebuah negara bebas seperti Singapura.

Lantaran terdapat persepsi terhadap Islam yang tidak tepat seperti itu, Ustazah Rohana menyimpul dan menyedarkan peserta bahawa dakwah belum sampai sepenuhnya kepada mereka.

Sehuhungan dengan itu, beliau menyeru agar melipatgandakan usaha dakwah menyampaikan Islam dengan mengambil ibrah daripada perjuangan dakwah Rasulullah ke Taif.

Di mana katanya, berkat kesabaran dan kesungguhan Rasulullah, akhirnya Islam sampai juga kepada anak cucu mereka para penduduk Taif.

Pun begitu manisnya dalam program ini apabila menyaksikan peng-Islaman dua penduduk dari kaum Orang Asli iaitu seorang lelaki bersama anak perempuannya. – HARAKAHDAILY 11/11/2019

- Advertisement -