Perselisihan: Peluang untuk mencatur

- Advertisement -

PERBEZAAN cara fikir yang mengorbankan nyawa

(1)     Perselisihan pandangan wujud sejak zaman berzaman. Di zaman Nabi S.A.W sendiri para Sahabat berselisih dalam membuat keputusan terhadap tawanan Badar

Perang Badar merupakan peperangan pertama yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Selepas kewafatan Baginda S.A.W, masih lagi wujud perselisihan di kalangan Sahabat R.A dan Tabi’in.

Susur galur ini pernah saya tulis sebelum ini. Cuma apa yang ingin disimpulkan ialah perselisihan bukanlah perkara yang mungkar selagimana masih di atas landasan syariatNya.

(2)     Di dalam persoalan berkaitan perselisihan, kita perlu meneliti banyak perkara sebelum mengatakan ‘Aku betul kamu salah’. Kepelbagaian ‘otak’ dan cara berfikir perlu dimanfaatkan bukan dijadikan titik untuk bersengketa.

Beberapa artikel saya sebelum ini ada menceritakan tentang peperangan yang berlaku akibat berbeza cara berfikir (idealogi). Antaranya Perang Dingin 1945-1991.

Dalam siri Perang Dingin, tercetusnya Perang Korea pada 1950-1953 yang menyaksikan jumlah korban 5 juta orang. Peperangan ini turut diulas oleh Syed Qutb dalam bukunya السلام العالمي والاسلام pada 1951.

Boleh bayangkan perbezaan cara berfikir boleh menyebabkan jutaan kematian. Itulah realiti. Belum lagi dikirakan siri-siri peperangan yang ‘sepatutnya’ tak masuk akal.

Perselisihan terjadi di mana-mana pun. Termasuk Israel sendiri. Iaitu bukan semuanya setuju dengan agenda Ariel Sharon yang memimpin Parti Likud.

Memahami realiti sesuatu pandangan

Dalam mengurus perselisihan, kita perlu meneliti beberapa perkara yang melatari perselisihan tersebut. Antara contoh contoh yang boleh disenaraikan seperti berikut;

(1)     Imam Abu Hassan al Asy’ari dan Imam Abu Mansur al Maturidi berselisih dalam إثبات الأحوال antara faktornya ialah suasana yang berbeza. Imam al Asy’ari bergelumang dengan Muktazilah di Iraq.

Manakala Imam Al Maturidi pula di Uzbekistan. Iraq mempunyai latar belakang sejarah Falsafah Yunani sehingga mencorak pola pemikiran masyarakatnya. Berbeza sedikit dengan Uzbekistan.

(2) Perbezaan zaman antara Imam Al Asy’ariy (873-936) dan Imam Al Maturidi (853-944) yang hidup di sekitar awal Khilafah Abbasiah dengan Imam Ibn Taimiyyah (1263-1328) yang hidup di zaman kejatuhan Khilafah.

Kedua-dua zaman yang berbeza mencorakkan cara penyusunan ilmu tauhid yang berbeza. Sesuai dengan zaman masing-masing, dan suasana masyarakatnya.

(3)     Thales Of Miletus antara pelopor awal Falsafah Yunani. 200 tahun kemudian era Socrates. Perbincangan Falsafah di era Socrates berbeza dengan aliran School of Thought seperti Epikureanism dan Stoicsm.

Zaman Socrates perbincangan lebih tertumpu kepada ‘mengenali diri sendiri dan mengenali Tuhan’. Tetapi zaman School Of Thought lebih kepada perbincangan tentang kebahagiaan diri dalam bentuk kepuasan

(4)     Imam Abu Hanifah pengasas Mazhab Hanafi hidup bukan sekadar zaman yang berbeza, tetapi dimensi yang agak berbeza dengan Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Imam Abu Hanifah di Kufah (Iraq) yang sarat dengan perbincangan falsafah berbanding dimensi masyarakat Imam Syafie di Madinah dan Mesir. Apatah lagi Imam Syafie sendiri mempunyai dua ‘qaul’.

Banyak lagi contoh yang boleh diketengahkan. Jadi, kita boleh simpulkan bahawa perbezaan tempat dan masa, mendorong perbezaan manhaj dan pendapat.

Situasi dan latar belakang yang berbeza

(1)      Para ulamak terdahulu banyak bermusafir, pengembaraan ilmu supaya dapat hasilkan satu method yang sesuai dan boleh diterima oleh semua peringkat.

Justeru, lokasi pengembaraan, dan orang yang ditemui, memberi kesan terhadap latar belakang seseorang tokoh. Hal ini perlu diambil kira dalam menilai sesuatu perselisihan.

(2)      Contoh perselisihan yang agak rumit untuk ditimbang, apabila melibatkan hal-hal yang luar dari kotak zahir mata. Contohnya Ibnu Arabi memperkenalkan konsep Tasawwuf Filosof.

Kefana’an beliau dalam tasawwufnya menyebabkan berlakunya beberapa kepincangan masyarakat awam yang tidak mampu menerobos alam hakikat.

Lantas menyebabkan kepincangan kefahaman masyarakat awam sehingga mendorong Imam Ibn Taimiyyah untuk membetulkan keadaan yang merupakan generasi kemudiannya.

Di sini wujudnya perselisihan. Walau bagaimanapun, kedua dua tokoh ini tidak dinafikan, ada memberi sumbangan terhadap dunia Islam.

(3)     Kita juga dapat perhatikan bagaimana ulamak yang hidup di era kejatuhan khilafah mempunyai penghasilan ilmiyyah yang hampir sealiran. Iaitu Ibn Taimiyyah, Ibn Kathir dan Imam Zahabi.

Di era kejatuhan Uthmaniah, muncul ulamak-ulamak gerakan Islam yang sealiran dalam mengembalikan khilafah. Walaupun masih ada yang kekal dengan style zaman kegemilangan khilafah.

Era kegoyangan khilafah

Kemunculan ulamak-ulamak pasca kejatuhan Uthmaniah membawa kepada elemen kebangkitan Islam. Perkara ini sudah pasti menarik perhatian Barat.

(1)     Sebelum kejatuhan Uthmaniah lagi, Para Ulamak di Tanah Melayu sudah bangkit menentang imperialism Barat. Antara yang mempelopori kebangkitan melawan penjajah ialah, Syeikh Abd Samad Falembani (1704-1789)

Kemudiannya yang masyhur Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain (1856-1908),  Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau (1860-1916) dan ramai lagi.

(2)     Pendekatan yang mereka bawa sesuai dengan zaman penjajahan Barat di Tanah Melayu. Pendekatan ini mendorong kepada usaha untuk menyatukan Islam.

Antaranya Jamieyyah Fathaniah yang diasaskan oleh Syeikh Wan Ahmad 1873, Jamieyyah Rusyidiah 1890 oleh Syeikh Ali Kelana Riau, Sarekat Islam dan lain-lain.

(3)      Boleh dikatakan era ini adalah era kegoyangan Uthmaniah sebelum ranap pada 1918-1924. Perjuangan di tanah Melayu tidak sama dengan negara Arab dan di pusat (Turki)

a-     Pemerintahan Turki Uthmaniah di ketika itu sedang bergelut dengan masalah dalaman apabila berlakunya infiltration (penyusupan) dan unsur-unsur pembaratan.

b-     Di Arab pula sedang fanatik dengan agenda Nasionalism yang dibawa oleh TE Lawrance (1888-1935). Era kegoyangan ini, menyaksikan bagaimana di Turki dan negara Arab mengalami serangan idealogi.

Pasca kejatuhan Uthmaniah

Di era kegoyangan khilafah, Tanah Melayu sedang panas berentap dengan imperialis. Justeru, perbezaan suasana dan lokaliti ini mencorakkan pemikiran para ulamak-ulamak tersebut.

(1)     Antaranya kita boleh teliti pendekatan Syed Badiuzzaman an Nursi (1877-1960) apabila merasa diperalat oleh ‘tangan-tangan belakang’ Kerajaan Uthmaniah yang mengalami infiltration.

Faktor ini mendorong beliau mengarang kitab رسائل النور ketika dan selepas kejatuhan Uthmaniah. Karyanya ditulis di dalam penjara pada antara 1910-1950.

(2)     Zaman ini juga merupakan kemunculan Ikhwan Muslimin pada 1928 yang menggunakan manhaj yang berbeza, tetapi masih satu aliran. Iaitu ke arah mengembalikan khilafah.

(3)     Di Tanah Melayu pula belum selesai berhadapan dengan imperialis British sehinggalah masing-masing bangkit atas nama kesatuan seperti Jamieyyah Asriyyah 1920 yang ditubuhkan oleh Tok Kenali.

(4)     Apa yang boleh difahami daripada perbezaan zaman dan realiti setempat, kita akan faham kenapa setiap tokoh itu mempunyai pandangan yang berbeza-beza.

Kadang-kadang ia didorong oleh kerencaman hidup. Akibat kerencaman hidup membuatkan seseorang tokoh itu seolah olah terpaksa menghasilkan idealoginya tersendiri.

Latar belakang seseorang, membuatkan tercetusnya idea-idea untuk menyelesaikan masalah yang dilaluinya. Perkara ini pernah saya tulis dalam artikel sebelum ini yang bertajuk ‘Revolusi Industri Dan Pengaruh Terhadap Pemikiran Barat’ [1]

Kerencaman di sebalik Kapitalism dan Sosialism

(1)     Di dalam Islam, kita akan mendalami situasi dan sebab ketika penurunan ayat al-Quran yang dinamakan أسباب النزول. Manakala dalam penurunan Hadis, dinamakan أسباب الورود.

Perkara ini sudah pasti diambil kira dalam menentukan sesuatu pensyariatan. Justeru, menjadi sesuatu kewajaran untuk kita turut memahami latar belakang terhadap sesuatu idealogi atau pandangan.

Tujuannya ialah supaya kita boleh memahami titik perselisihan dan bertindak menjawab atau mengulas bertepatan dengan lontaran idea tersebut.

(2)     Contohnya perselisihan idealogi antara Kapitalis dan Sosialis yang membawa kepada peperangan yang besar. Sebelum kita memahami pengertian idealogi tersebut, wajar kita memahami latar belakang kehidupan pengasasnya.

a-     Contohnya realiti hidup Adam Smith (1723-1790) yang menyaksikan kelemahan ekonomi sesebuah negara sedangkan di negara tersebut masih wujud orang-orang kaya.

Justeru beliau mengasaskan idea Kapitalis yang ‘mencungkil’ potensi-potensi yang ada pada orang kaya, untuk membantu membangunkan negara.

b-     Manakala di zaman Karl Marx (1818-1883) pula mendapati idea Kapitalis ini menyebabkan ketidak-seimbangan masyarakat. Lalu beliau mengasaskan sistem ekonomi sosialis.

Jika kita fahami realiti kerencaman hidup di zaman tersebut, kita boleh simpulkan bahawa punca masalah mereka bukannya masalah ekonomi, tetapi masalah idealogi.

Perselisihan yang dijadikan peluang

Perselisihan idealogi dan methodologi, dijadikan peluang oleh Barat untuk merosakkan pesaing-pesaingnya. Kalau dahulu, masyhur dengan Snouck Hugronje.

(1)     Snouck Hugronje mengambil pendekatan melagakan kaum tua dan kaum muda di Acheh. Pelagaan tersebut bermodalkan kepada perselisihan di antara Salaf dan Khalaf.

Menyebabkan anak-anak muda menghabiskan staminanya untuk berhadapan dengan kaum tua. Hal ini menyebabkan kejatuhan Acheh pada 1521/23.

(2)     Manakala strategi di era baru antaranya mewujudkan Post Islamism (Muslim Moderate), mewujudkan kelompok Tradisionalis, kelompok infiltration dan sebagainya.

a-     Cheryl Bernand pernah mengarang buku ‘Civil Democratic Islam’ yang merancang percaturan umat Islam dengan menggunakan ‘perselisihan’ sebagai peluang.

Beliau juga merupakan salah seorang panel kajian RAND Corporation yang bertajuk ‘Building Moderate Muslim Networks’  yang memainkan peranan melaga-lagakan Umat Islam.

b-     Di dalam kajiannya, beliau mengkelaskan Umat Islam itu kepada 4 jenis dengan ciri-cirinya. Iaitu Modernis, Sekularis, Tradisionalis dan Fundamentalis.

c-     Beliau mengatakan bahawa bukan semua orang Islam itu ‘bermasalah’ bagi mereka. Akan tetapi yang masalah cumalah ‘Fundamentalis’. Manakala selebihnya ‘boleh dibawa bersembang’

Percaturan terhadap umat Islam

(1)     Kajian yang panjang terhadap Fundamentalis akhirnya mereka dapati bahawa cara untuk menyekat kebangkitan Fundamentalis ialah dengan mempertembungkan dengan golongan tradisionalis.

Bukan sekadar itu, mereka cuba mewujudkan pertembungan dengan Sekularis dan Modernis juga. Pelbagai modal digunakan. Beberapa contoh yang boleh diperhatikan ialah,

a-     Pertembungan Fundamentalis dan Tradisionalis ialah dengan membakar isu-isu khilafiah (perselisihan feqah dan hadis). Justeru, fundamentalis akan dipotretkan sebagai pentaksub mazhab dan sebagainya

b-     Pertembungan Fundamentalis dan Modernis ialah dengan memperkenalkan istilah yang digambarkan sebagai jumud. Istilah lebai, kolot, konservatif dan sebagainya diperkenalkan.

c-     Pertembungan Fundamentalis dan Sekularis ialah dengan mewujudkan sistem dan undang-undang yang terpisah daripada agama. Menyebabkan Fundamentalis ‘penat’ untuk berhadapan dengan kecelaruan.

(2)     Selain itu, ‘Projek Perang Jangka masa panjang’ (Long War) menjadi salah satu agenda perancangan mereka. Mereka ‘memanfaatkan’ perselisihan methodologi di kalangan Umat Islam.

a-     Ia boleh dilihat dalam kajian RAND Corporation yang bertajuk Unfolding the Future of the Long War yang disediakan oleh 5 orang panel setebal 230 halaman pada 2008.

b-     Antara yang ditimbulkan dalam kajian tersebut ialah manipulasi Salafi-jihadism. Mereka lihat perselisihan ini wujud dalam menthodologi yang dibawa oleh Imam Hassan al Banna dan Syed Qutb

Kemudian, Salafi Jihadism ini dikaitkan dengan isu takfiri. Strategi ini salah satu pelan untuk membina ‘Long War’ sesama Umat Islam.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1207259036134234/HARAKAHDAILY 11/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -