‘Kempen pelik’ di PRK Tanjung Piai

- Advertisement -

PENDAHULUAN

PRK Tanjung Piai tidak seperti PRK lain.

Kita saksikan gabungan Muafakat Nasional yang diketuai oleh komponen teras Melayu Islam, berkempen supaya mengundi Cina bukan Islam daripada MCA. Sementara gabungan PH yang didominasi oleh teras Cina dan pendukung DAP, berkempen supaya mengundi calon Melayu Islam, yang juga merupakan seorang Tok Imam daripada Bersatu.

Dua pilihan yang sedikit rumit dan situasi yang agak pelik daripada kebiasaan.

Tiga pilihan lain

Pengundi juga mempunyai tiga lagi pilihan yang lebih mudah dan tidak rumit dalam mempertimbangkan undi mereka dalam PRK kali ini. Tetapi kesannya kepada pembentukan arus politik negara adalah sangat minima.

Pertama, mengundi Berjasa kerana calonnya di’motto’kan sebagai ‘Muslim berwibawa’. Kedua, mengundi bebas kerana ingin mengelakkan diri daripada terpaksa mengundi calon Melayu PH atau calon bukan Islam MCA. Ketiga, tidak mengundi kerana semua calon tidak sesuai atau sebagai protes kepada keputusan parti yang dianggotai.

Isu besar peringkat nasional

Arus politik perdana pada masa masa kini adalah mengenai kegagalan PH mentadbir negara, kegagalan mereka menunaikan manifesto dan penguasaan melampau DAP dalam bidang eksekutif pemerintahan negara, serta pengaruh campur tangan mereka yang mula menjalar dalam bidang perundangan dan kehakiman. Kerajaan PH juga sedang berusaha kuat mencorakkan pemerintahan negara mengikut acuan baru bertentangan dengan kontrak sosial yang disepakati oleh para pejuang kemerdekaan. Termasuk cuba menobatkan tokoh Komunis sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Isu Anwar atau Tun Mahathir sebagai PM tidak sedikit pun mampu menghalang DAP menjalankan agendanya. Ia hanyalah isu besar kepada Bersatu dan PKR. Bukan isu besar kepada DAP. Kerana yang akan mengganti Tun Mahathir pun, lebih akan terhutang budi kepada DAP. Untuk Tun Mahathir melawan DAP di dalam PH, dia hanya keseorangan. Lagi pun masa untuknya menjadi PM semakin suntuk. Tapi Tun masih lagi bertahan. Untuk bertahan lebih lama, Tun pun perlu berunding kembali dengan DAP.

Pendek kata, jika PH menang, DAP akan semakin kuat dan akan bertambah berani.

Muafakat Nasional

Isu gabungan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional menggerunkan PH. Pelbagai tuduhan dan cemuhan kepada gabungan ini. PH cuba menggambarkan Muafakat Nasional sebagai rasis dan berbahaya kepada negara serta masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Walhal Muafakat Nasional bukan hanya melibatkan dua parti utama orang Melayu, ia turut melibatkan golongan bukan Melayu dan bukan Islam. Ia melibatkan komponen MCA dan MIC daripada BN dan bukan Islam daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ia juga melibatkan komponen Gabungan Sejahtera IKATAN dan Berjasa. Namun begitu, Berjasa nampaknya sudah mula mengorak langkah sendiri dalam PRK ini.

Menepis dakwaan rasis

Dalam PRK ini, Muafakat Nasional membuktikan mereka bukanlah rasis. Mereka bukan berjuang untuk bangsa Melayu Islam semata-mata, tetapi adalah untuk seluruh rakyat Malaysia. Asas-asas Muafakat itu terpahat dalam Piagam yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan disaksikan oleh rakan-rakan komponen masing-masing.

Dalam PRK ini, gabungan Muafakat Nasional berkempen untuk memenangkan calon Cina daripada MCA. Ia berasaskan persefahaman hanya satu komponen yang akan mewakili Muafakat Nasional dalam berdepan dengan PH. Jika kerusi diputuskan kepada BN, BN berhak menentukan komponennya yang akan bertanding dan memutuskan calonnya. Demikian juga jika Gagasan Sejahtera diputuskan bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Tanpa persetujuan ini, sangat sukar untuk menewaskan PH dalam mana-mana pilihan raya. Terutamanya kerana undi Melayu yang terpecah kepada beberapa parti, sedangkan undi Cina mutakhir ini sentiasa lebih menyebelahi DAP dan PH.

Diharapkan MCA dapat menarik semula sokongan sebahagian besar masyarakat Cina kepada DAP dan PH yang terlalu ekstrem merosakkan pentadbiran negara, yang nantinya dalam jangka masa panjang akan memberikan kesan yang tidak baik kepada komuniti masyarakat Cina sendiri.

Hukum menyokong calon bukan Islam di dalam sesuatu pilihan raya

Apabila PAS berkempen untuk calon MCA dalam PRK ini, beberapa pihak menuduh PAS sebagai melanggar prinsip, tidak konsisten dan membuat hukum berdasarkan kepentingan politiknya semata-mata. Antaranya, Dr. Rozaimi, Dr. Ridhuan Tee, Berjasa dan PAN.

Walhal PAS telah bekerjasama dengan pelbagai parti bukan Islam sejak sekian lama. Presiden PAS menulis tentang perkara dalam tulisannya bertajuk ‘PRK Tanjung Piai: Simbol Taawun Muafakat Nasional’.

Dapat dilihat di pautan ini:

https://www.facebook.com/146911248727335/posts/2502983929786710?d=n&sfns=mo

- Advertisement -


Sebelum PAS ber tahaluf dengan Pakatan Rakyat, PAS telah sekali lagi membahaskan hukum bekerjasama dengan bukan Islam dengan secara lebih mendalam berdasarkan fatwa ulamak silam dan kontemporari serta dibahaskan pula konsep perlaksanaannya dalam konteks semasa. PAS bukan sahaja membahaskan hukum itu secara dalaman di peringkat parti, tetapi turut menjemput ulamak-ulamak tersohor di peringkat antarabangsa untuk sama-sama merumuskan hukum dan menentukan syarat- syarat.

Dalam PRU ke-14, PAS buat kali pertama meletakkan calon bukan Islamnya sendiri di beberapa kerusi.

Jadi menuduh PAS sebagai melanggar prinsip, tidak konsisten dan membuat hukum mengikut selera politik semata-mata adalah sangat tidak akademik.

Penjelasan hukum mengundi calon bukan Islam

SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan ada memberikan pencerahan tentang ‘Mengundi Calon Bukan Muslim Dalam Pilihan Raya’ dalam siri 129 Bayan linNas.

Saya kira, perbahasan yang ditulis oleh SS Dato’ Mufti hampir menyamai keputusan muzakarah PAS mengenai perkara ini. Dan yang lebih menarik, tulisan beliau dianggap bebas dan tidak berkepentingan.  Ia juga luas,  padat, jelas dan mengandungi kesimpulan yang merujuk terus kepada konteks negara kita.

Dengan itu saya sangat mengesyorkan sesiapa yang berminat untuk mengetahui dalil-dalil perbahasan hukum berkaitan perkara ini agar terus merujuk kepada tulisan Sohibus Samahah Dato’ Mufti.

Pautan:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2367-bayan-linnas-siri-ke-129-mengundi-calon-bukan-muslim-dalam-pilihanraya



PAS dan Berjasa

PAS tentulah tidak selesa untuk berkata sesuatu yang tidak baik kepada parti Berjasa, satu komponen di dalam Gagasan Sejahtera. Kerana PAS sedang mengumpulkan sokongan Melayu Islam sebagai teras membentuk gelombang untuk meruntuhkan PH dalam PRU akan datang. Teras itu juga mestilah mendapat sokongan daripada masyarakat Malaysia pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya.

Jika tidak, PH akan senang bertahan dan kembali berkuasa kerana berjaya melebarkan perpecahan tersebut.

Tetapi PAS terpaksa bertegas tidak menyetujui  tindakan Berjasa menentang calon MCA dalam PRK ini.

Adakah Berjasa berprinsip?

Tetapi Berjasa selesa untuk tidak menghormati hasrat Piagam Muafakat Nasional. Bahkan menganggap PAS dan Umno tidak berprinsip apabila bersetuju meletakkan calon bukan Islam di kawasan yang diwakili oleh lebih daripada 50 peratus orang Melayu.

Bagi Berjasa prinsipnya hanyalah meletakkan calon ‘Muslim berwibawa’. Tetapi Berjasa secara tidak langsung menunjukkan bahawa ia tidak ada prinsip dalam berkawan dan dalam berjanji. Yang penting calon ‘Muslim berwibawa’. Bukan faktor-faktor lain.

Ia tidak ada visi untuk negara Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya. Ia juga berprinsip bahawa mengundi calon bukan Islam adalah melanggar prinsip mengundi yang digariskan oleh hukum Islam. Ia juga gagal memahami realiti konsep wujudnya ‘kawasan bercampur’ dalam sesuatu kawasan pilihan raya. Iaitu jika sesuatu kawasan pilihan raya diwakili oleh lebih daripada 30 peratus pengundi bukan Melayu, ia tidak dianggap sebagai kerusi majoriti Melayu dalam taktikal pilihan raya. Kerana lazimnya undi Melayu akan terpecah dan undi bukan Melayu akan menjadi undi penentu.

Pendek kata, Berjasa hidup dalam alamnya yang tersendiri. Membina prinsip yang indah dan ideal, tetapi jauh daripada realiti di bumi nyata. Mengabaikan satu aspek penting dalam menentukan sesuatu hukum syara’, iaitu memahami waqi’.

Kelebihan menghormati perjanjian

Kelebihan menghormati syarat perjanjian yang tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, adalah dituntut di dalam Islam walaupun di dalam peperangan.

Dalam perjanjian Hudaibiyyah, Rasulullah S.A.W tetap menghormati syarat perjanjian dengan Musyrikin Makkah yang meminta penghantaran pulang orang Makkah yang masuk Islam selepas perjanjian Hudaibiyyah dan lari berlindung di Madinah. Walaupun berat menahan perasaan, Rasulullah S.A.W tetap menghormati perjanjian.

Sultan Salahuddin al-Ayyubi juga ada membuat perjanjian dengan Raja-raja Kristian, dan Baginda menghormatinya.

Kerana itu, mereka dipercayai oleh rakan dan musuh ketika berjanji. Dan akhirnya mendapat kejayaan yang lebih besar kerana menghayati prinsip besar ini. 

Hari ini, MCA perlukan undi Melayu. Pada masa dan tempat lain, PAS, Umno dan Ikatan akan perlukan undi kaum Cina pula. Tanpa jaminan timbal balik seperti itu, semua pihak akan rugi, kecuali DAP dan PH.

Penutup

Antara dilema Melayu di PRK Tanjung Piai adalah mengenai hukum mengundi calon bukan Islam dalam PRK ini. Hukumnya boleh dirujuk terus daripada laman Mufti Wilayah, Bayan LinNaas siri 129.

Persoalannya, adakah pengundi Melayu Islam mempunyai jiwa yang kuat untuk mengorbankan gelodak perasaan berlapikkan hukum dalam PRK ini. Kerana undi Melayu adalah undi penentu dalam PRK ini, terutamanya jika MCA kurang berjaya mendapatkan undi majoriti masyarakat Cina. – HARAKAHDAILY 11/11/2019

- Advertisement -