5 projek utama perlu disegera – Sultan

    - Advertisement -

    KOTA BHARU: Sultan Kelantan berharap lima projek utama yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dapat dilaksanakan dengan segera.

    - Advertisement -

    Sultan Muhammad V bertitah projek terbabit iaitu pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur fasa tiga, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

    Selain itu pembinaan jalan raya menghubungkan Pasir Puteh–Machang–Jeli, lebuh raya ‘Central Spine Road’ (SPR) dan pembinaan jambatan Palekbang-Kampung Cina.

    “Harapan beta agar kerajaan negeri dapat membantu dan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk menyegerakan pelaksanaan projek–projek ini,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Negeri sempena ulangtahun keputeraan baginda ke-50 di Istana Balai Besar hari ini.

    Hadir sama Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra, Tengku Temenggong Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentera Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub dan pembesar-pembesar negeri.

    Pada awal Mac lepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan lima projek besar di Kelantan dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion yang akan memberi impak positif pembangunan negeri itu.

    Projek terbabit iaitu pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 sejauh 150 km dari Gemuruh Terengganu ke Tumpat Kelantan.

    Selain itu menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang serantau. Pembinaan Jambatan Palekbang bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Kota Bharu.

    Pembinaan jalan raya baharu menghubungkan Pasir Puteh-Machang dan Jeli serta SPR sepanjang 123 km. – HARAKAHDAILY 11/11/2019

    - Advertisement -