Objektif pembangunan Kampung Baru tidak jelas – MAS

Kampung Baru

Advertisement

KEMELUT perihal status tanah Kampung Baru boleh dikatakan satu isu yang memakan masa hampir sedekad, dan ianya masih lagi diperbincangkan hari ini.

Apakah yang menjadi isu sebenar kemelut ini berlarutan sehingga memakan masa yang begitu panjang?

Tertubuhnya Kampung Baru atau ‘Kampong Bharu’ seiring dengan penubuhan Malay Agricultural Kampong Bharu Settlement (MAS) yang boleh diibaratkan sebagai sebuah ‘kerajaan’ bagi sebuah kampung yang tugasnya tidak kurang seperti pejabat tanah yang merekodkan setiap inci detik yang berlaku didalam setiap kawasan yang berada dibawah pantauan MAS.

Kemudian pada 1971, iaitu tahun paling awal kerajaan Malaysia melancarkan hasrat untuk membangunkan semula Kampung Baru dan wujudlah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi satu institusi yang mempunyai tugas lebih kurang sama dengan MAS.

Kemudian, DBKL sekali lagi melakukan perkara sama pada 1985, dan pada 2006, DBKL tanpa rujukan MAS telah membina jalan pintas dari Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Raja Abdullah atas alasan untuk mengatasi kesesakan Jalan Raja Abdullah.

Setelah itu, pada tahun 2008, DBKL telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur termasuk Kampung Baru Jilid 4, dan pada 2010, Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menyatakan hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru ketika lawatan beliau kesana.

Pada tahun yang sama, kerajaan Malaysia telah menggubal satu Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru yang terkandung untuk membubarkan MAS yang secara undang-undang merupakan pemilik, penjaga, dan ‘kerajaan’ Kampung Baru.

Bagaimanapun, Fasal 8, Perkara 57 (1) Pembatalan dan Pembubaran MAS mendapat tentangan dari pemilik dan pewaris Kampung Baru dan sekali gus menekan kerajaan untuk menggubal semula RUU tersebut.

Perkara tersebut dipersetujui dan pada tahun 2011, kerajaan telah menggubal semula RUU tersebut dan menyingkirkan fasal itu dari RUU, dan pada tahun seterusnya Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ditubuhkan sebagai fasilitator dalam pembangunan Kampung Baru yang mana turut mempunyai peranan yang lebih kurang dengan MAS.

Objektif tidak jelas

Bagaimanapun, Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi melihat Perbadanan Kampung Baharu tidak mempunyai objektif yang jelas untuk membangunkan Kampung Baru apabila banyak isu dalaman kampung berkerajaan itu tidak diambil serius oleh PKB dan banyak aktiviti-aktiviti yang sia-sia dianjurkan kononnya untuk membeli hati pemilik dan pewaris.

Masa berlalu, dan segala usaha kerajaan BN pada ketika itu berpenghujung apabila pada PRU14, BN tersingkir daripada memegang tampuk pemerintahan Malaysia ketika itu dan digantikan dengan PH yang juga ingin meneruskan hasrat sama.

Bagaimanapun Shamsuri mendakwa, perkara sama masih berlaku dan kerajaan masih bersusah payah untuk membangunkan Kampung Baru tanpa objektif dan matlamat yang jelas, sekali gus memberi gambaran samar dan tidak menjamin keyakinan pemilik dan pewaris.

Katanya, kekurangan pengalaman untuk membangunkan sesuatu kawasan yang mempunyai susur galur pemilik adalah menjadi punca utama mengapa kemelut Kampung Baru itu masih berterusan.

“Kampung Baru adalah sesuatu kawasan yang mempunyai sejarah, bukan seperti Putrajaya dan Iskandar yang merupakan asalnya ialah tanah lapang.

“Jadi, bila mereka tidak ada pengalaman, mereka (lakukan) mengikut teori yang menyatakan (ia) mesti (bermula dengan) merangka sebuah pelan Kampung Baru yang kosnya mencecah million ringgit.

“Mereka sepatutnya berfikir bagaimanakah pembangunan tersebut, apakah yang pemilik dan pewaris mahukan, bukan hanya melihat pembangunan adalah pembinaan bangunan pencakar langit semata.

Mengulas lanjut, menurut Shamsuri, antara isu-isu utama yang perlu dilihat dalam proses untuk membangunkan Kampung Baru adalah penama diatas tanah-tanah yang berukuran lebih kurang 8,000 kaki persegi yang mempunyai hampir 100 penama.

Sepatutnya kerajaan merancang dengan lebih baik dengan menyelesaikan permasalahan penama yang mungkin tidak direkodkan sepanjang 20 tahun tersebut, jelasnya.

Kemudian, pada Mei tahun ini kerajaan mula menyedari bahawa tanah di Kampung Baru berada dibawah tanggung jawab MAS dan dilindungi oleh enakmen tanah yang berada dibawah kuasa Sultan Selangor.

Perkara tersebut menjadi lebih rumit apabila enakmen tersebut meletakkan syarat pertukaran hak milik tanah dibawah MAS mempunyai sekatan tertentu seperti syarat pertukaran status mestilah kepada orang Melayu yang ciri-cirinya berbahasa Melayu, beragama Islam, berbudaya Melayu dan dipersetujui MAS.

“Jadi bila kerajaan menceritakan dia berhasrat bangunkan Kampung Baru, secara halus (saya fahami), ‘tanah di sini kamu jual, kami bagi RM850 dan bagi geran’ maknanya dah tak ada lagi sekatan.

“Terang terang, ‘aku beli dan berambus’. Yang nak membangunkan ini memang untung tapi bagaimana Melayu bandar, ertinya orang Melayu sudah tiada (di bandar).

Beliau bagaimanapun menasihati, sekiranya kerajaan berhasrat untuk mengambil alih tanah di Kampung Baru, ia haruslah diiringi dengan sifat ikhlas selain menyusun perancangan yang memberi situasi menang-menang kepada kerajaan dan pemilik tanah.

“Kenapa tidak dalam tahun yang pertama, selesaikan dahulu faraid, kemudian tahun seterusnya kerajaan selidik apa sebenarnya yang dimahukan pemilik dan pewaris, town hall itu kira macam kek separuh masak,” katanya sambil berpandangan bahawa sesi town hall tersebut seolah-olah satu interaksi sehala.

Ujarnya lagi, garis masa selepas pelepasan tanah dan geran juga tidak jelas selain tawaran saham yang menurut beliau mungkin menjadi bebanan atas faktor bukan semua pemilik mahir menguruskan saham dan juga berisiko.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Tanah Malaysia (Pertama), Prof Dr Ismail turut berpendapat sama apabila beliau dalam satu rancangan realiti televisyen Analisis TV Alhijrah turut berpendapat bahawa aset yang dimiliki pewaris itu seharusnya dipinjam oleh kerajaan dengan cara yang baik dan dipulangkan kepada pemilik dengan cara yang baik.

Menurut beliau, perubahan milikan yang dinamik itu haruslah dilihat secara luas seperti nilai sosial, keagamaan dan sebagainya dan bukan dilihat dari sudut ekonomi dan material semata-mata serta harus dilakukan secara profesional.

“Memang ada risiko buat penduduk dan pemilik, mereka tidak pasti apa yang berlaku seterusnya, kenapa tidak kita bagi pajakan?

“Kita nak aset yang kita pinjam itu kita beri balik pada pemilik dengan cara yang paling baik, bukan setakat nak jaga warsian sahaja. Pemilik dapat, anak-cucu pun dapat habuan, dan pada masa sama kerajaan pun puas hati mesti ada ‘win-win situation‘, supaya pembangunan ini dapat dijalankan dalam masa sama semua orang berpuas hati,” ujarnya.

Penduduk takut ditipu

Sementara itu, pemilik dan juga pewaris tanah Kampung Baru turut menyatakan rasa khuatir sekiranya kerajaan hanya menipu mereka mengenai tawaran dan janji berhubung isu berkait.

Menurut Zaidah Mohd Kasim, soal setuju atau tidak berkenaan dengan pembangunan semula di Kampung Baaru belum diputuskan secara muktamad oleh para penduduk dikawasan berkenaan.

Katanya, berita yang melaporkan mengenai 90 peratus penduduk bersetuju adalah auta sama sekali kerana beliau sendiri belum mengisi borang yang dimaksudkan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Penduduk dan Pewaris Kampung Baru, Zaidah Mohd Kasim

“Sebenarnya setuju atau tidak belum diputuskan lagi. Cuma pada 21 September hari Sabtu yang lalu diadakan town hall, memang ramai yang pergi, tapi kita pergi dengar taklimat sahaja, tiba-tiba kenyataan pada hari Isnin keluar kata penduduk setuju.

“Dari mana kata setuju? Tak ada pun orang tanya saya setuju ke tidak,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal berita online telah melaporkan bahawa 90 peratus Penduduk Kampung Baru menyerah borang setuju mengenai tawaran kerajaan yang dipercayai telah dikhabarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Bagaimanapun, Khalid menyangkal dakwaan tersebut dan mengatakan ianya tidak tepat dengan menjelaskan 90 peratus tersebut adalah persetujuan menjual tanah, dan bukanlah bersetuju dengan tawaran kerajaan ketika menghadiri program Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk ‘Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan’ di Dewan Karangkraf, Shah Alam.

Menurut Zaidah, pemerhatian beliau terhadap keadaan ekonomi dengan situasi yang menjelaskan pelbagai penipuan ditaburkan terhadap rakyat, tindakan menabur lagi janji dilihat tidak memberi jaminan buat mereka malah rakyat sebenarnya takut tertipu sekali lagi.

“Macam mana boleh kata orang setuju? Sedangkan orang tidak tahu apa benda mereka nak buat, cuma yang kami tahu sekarang ni RM850 akan dibayar mengikut satu kaki persegi,” luahnya.

Tambah beliau, sekiranya pihak yang terlibat ingin meneruskan rancangan pembangunan tersebut, mereka sebagai pemilik dan pewaris tidak mampu untuk berbuat apa.

Penduduk tiada pilihan

Begitu juga dengan salah seorang lagi penduduk Kampung Baru, Fakhruddin Hussin yang turut berpendapat sama, serta berpandangan bahawa penduduk sebenarnya tidak mempunya pilihan selain menyerahkan borang persetujuan kepada kerajaan.

Menurut beliau, borang maklum balas yang diedarkan Perbadanan Kampung Baru (PKB) itu dilihat tidak adil, kerana hanya bersifat satu hala dimana kesemua borang tersebut telah menyatakan kesemuanya bersetuju untuk dijual.

“Dalam borang berkenaan juga tidak terdapat pilihan untuk pihak pemilik dan pewaris tanah bagi menyatakan pilihan mereka untuk tidak bersetuju,” ujarnya ketika di temubual Harakah.

Ujar beliau, pembangunan semula Kampung Baru perlu dilihat dalam pelbagai sudut yang lain serta sejauh mana pembangunan tersebut boleh mengembangkan ekonomi negara.

Walaupun dari satu sudut pembangunan semula Kampung Bharu adalah betul, iaitu untuk membangunkan ekonomi negara, namun dalam sudut lain, kerajaan perlu juga melihat sejauh mana ekonomi boleh berkembang melalui pembangunan semula Kampung Baru.

Beliau tidak menghalang pembangunan semula Kampung Baru, namun apa yang menjadi perhatiannya adalah sejauh mana sumbangan kepada ekonomi dan jaminan kerajaan bahawa tanah itu kekal menjadi milik orang Melayu dalam jangka masa panjang

Ini kerana, beliau bimbang dalam jangka masa panjang yang akan datang, hartanah yang tidak dijual di Kampung Baru selepas pembangunan tersebut, tidak mustahil akan dibuka jualannya kepada warga asing seperti yang berlaku hari ini.

“Satu contoh dapat dilihat pada awalnya, tanah di Setia Sky merupakan tanah Melayu dan akhirnya separuh daripada bangunan tersebut dijual kepada orang asing,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilapor memberi jaminan, kerajaan akan memastikan tanah berkenaan tidak dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas, seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru.

Mengikut maklumat yang diperolehi Fakaruddin, daripada 10,000 jumlah borang yang dikeluarkan, kira-kira 1,000 borang sahaja yang diterima oleh pihak PKB yang mengatakan pemilik tanah bersetuju bagi menjual tanah mereka. – HARAKAHDAILY 10/11/2019