MB Perak dipelawa untuk bentuk kerajaan baru

- Advertisement -

TANJUNG PIAI: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Adun yang telah melompat parti hingga terbentuk Kerajaan ‘ehsan’ PH Perak dipelawa bersama Muafakat Nasional jika sekiranya masih sayang kepada agama dan bangsa.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria menyifatkan kedudukan Faizal bertambah buruk berikutan pergolakan sesama anggota kerajaan dan ahli parti PH di mana keadaan tersebut memberi kesan negatif kepada negeri dan rakyat Perak.

“Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini,” ujarnya mengajuk semula ucapan penuh hiba Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN sempena PRK P.165 Tanjung Piai, kelmarin.

Razman selaku juga Adun Gunung Semanggol berkata demikian sebagai simpati dan mengulas keluhan Faizal yang menjadi tular menerusi satu rakaman video ketika Menteri Besar dari BERSATU itu turun berkempen di PRK sama.

“Kedudukan beliau (Faizal) bertambah parah dengan kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh yang jelas dan nyata menentang kenyataan diulas Faizal.

“Pertelingkahan sesama ahli kerajaan akan memberi kesan langsung kepada pentadbiran negeri. Bagaimana boleh mereka berada dalam kapal sama kalau punya hala tuju berbeza dan nakhoda asyik bercakaran? Ini amat merugikan rakyat.

“Jadi, mereka seolah-olah ‘tikus membaiki labu’. Kehidupan rakyat lebih teruk berbanding dulu di mana banyak peruntukan sewajarnya diterima, kini disekat pemberiannya,” bidas Razman yang yakin rakyat semakin menilai prestasi PH.

Sebaliknya ujar beliau, perkembangan positif ditunjukkan oleh pihak pembangkang di mana menerusi Muafakat Nasional telah semakin rancak mengembalikan wajah politik sebenar Malaysia yang tidak sebagaimana sikap menyalakan api perkauman oleh DAP.

Perkara tersebut juga disifatkannya terzahir dari keputusan tepat BN meletakkan MCA yang mencerminkan permuafakatan tersebut sekali gus diharap membawa kebaikan buat masyarakat majmuk negara ini. – HARAKAHDAILY 10/11/2019

- Advertisement -