Serampang tiga mata

- Advertisement -

MENTERI Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, baru-baru ini telah direkodkan dalam satu video ketika berkempen di Tanjung Piai, memaklumkan kepada sekumpulan pengundi bahawa beliau keseorangan melawan DAP di Perak. Tularnya video itu, telah memberikan beberapa komen agresif daripada rakan sekutu PH di Perak. Manakala daripada Muafakat Nasional, seolah-olah tiada yang pelik atas dakwaan Faizal itu.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak secara jelas melabelkan Faizal sebagai munafik. Marah beliau tidak dapat dibendung lagi. Tanpa menafikan peperangan antara Faizal melawan DAP itu, beliau sebaliknya menyerang peribadi Faizal sambil mencabar Faizal agar melepaskan jawatan MB Perak mewakili PH.

Kata beliau lagi yang juga Setiausaha Politik DS Anwar Ibrahim, Faizal juga melindungi amalan korupsi rakan-rakannya dari Umno serta lebih cenderung mengutamakan rakan kongsi dari Umno. Farhash juga mendedahkan fakta lain seperti isu pembalakan haram serta Penasihat MB bagaikan gagal melakukan tugasan mereka. Dan beliau menyimpulkan melalui video itu, Faizal tidak layak menjadi MB.

Tidak berdiam diri, Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh juga turut bersama Farhash bagi mengutuk Faizal dan menuntut permohonan maaf Faizal kepada PH. Tetapi agak menarik, kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin beranggapan isu itu mungkin hanyalah pengalaman Faizal di Perak sahaja, dan DAP tetap rakan penting. Komen beliau itu kelihatan seperti bersahaja.

PRK seperti mana yang kita tahu adalah tempat tumpuan berkumpul bagi segala lapisan kepimpinan, berbeza dengan PRU. Maka mereka berpecah memancing undi. Bersatu melalui Faizal cuba menangkap pengundi Tanjung Piai, tetapi yang menggelupur kuat ialah dua ekor ikan di atas daratan, daripada bakulnya sendiri. Seekor lagi ikan oren, diam membisu, kepeningan apabila tuan-tuan mereka bertembung. Mabuk dituba mungkin.

Tidakkah anda hairan apabila beliau sebagai MB bercakap hal rahsia kerajaan di hadapan orang ramai yang tidak dikenali beliau? Apatah lagi jelas menyedari beliau sedang dirakam? Mesti ada alasan yang baik bagi beliau berbuat demikian. Pada kebiasaannya, para pemimpin cuba menunjukkan kemesraan dengan pengundi, bukan bercakap hal dalaman. Namun apa pun alasan beliau, hal ini sudah merebak dan diketahui oleh semua orang yang sedang memerhatikan PRK ini.

Saya memandang dengan pandangan yang lain dalam isu ini. Saya berfikir bahawa Faizal sengaja mendedahkan isu ini kepada umum bagi memenangkan calon Bersatu Karmaine Sardini. Beliau cuba menembak kepada isu perkauman, menyatakan bahawa kaum bukan Melayu tidak boleh dipercayai. DAP berada di dalam PH, benar, tetapi DAP tidak bertanding kali ini. Manakala beliau kata, hanya beliau dari Bersatu melawan DAP di Perak. Secara mudah membawa makna, Bersatu akan menentang DAP dalam PH bagi pihak Melayu Islam.

Dan sudah tentulah BN yang diwakili MCA juga tidak perlu diundi kerana menangnya BN tidak boleh berbuat apa-apa, PRK ini tidak mengubah kedudukan kerajaan di samping MCA juga bukan Melayu. Manakala Berjasa ketika ini, langsung tidak dilihat sebagai saingan. Jadi tersebarnya video itu, telah memberikan kempen percuma kepada Bersatu dalam PRK ini bahawa Bersatu adalah pembela Melayu Islam di dalam PH. Maka umpan yang ditabur mengena. Walaupun begitu, dalam perang, terkadang, ada rakan yang terpaksa menjadi umpan.

Maka dijadikan PKR dan DAP sebagai umpan oleh Bersatu bagi strategi ini. Jika berjaya, maka Bersatu mendapat dua keuntungan, menang kerusi Tanjung Piai, di samping menyerlahkan wajah sebenar DAP yang dahulunya pernah juga dirakam suara seorang Exco Perak yang mahu membentuk kerajaan baharu dengan bantuan Umno bagi menurunkan Faizal dari takhtanya.

Bijak juga cara memancing undi Faizal ini. Sekali yang dia umpan, banyak yang dia akan dapat, bahkan kalau kena gaya dapat ditarik tiga ekor sekali gus dalam satu pancing. Nasihat saya kepada pengundi Muafakat Nasional, jangan hiraukan perbalahan mereka. Isu itu, isu dalaman mereka, tidak perlu kita hiraukan. Sememangnya kita mesti yakin bahawa kerajaan yang dibina atas dasar penipuan, pasti akan rebah.

Cuma yang agak menghairankan ialah, ketika ada rakaman suara yang dikatakan Exco Perak suatu ketika dahulu mahu menjatuhkan Faizal, ianya dinafikan. Ketika video semburit didedahkan, video itu ditolak kerana alasan itu dan ini. Sewaktu ada rakaman suara persis bakal PM 8 yang marahkan Azmin sokong Tun, ianya ditolak. Tetapi video ini yang dirakam di atas pondok, yang diambil dengan menggunakan telefon, yang suaranya ada jelas ada tidak, terus melenting PKR dan DAP. Hai, macam betul saja video ni. Tak nak bawa pakar audio visual dulu ke nak siasat video ni?

MOHD NASIR ABDULLAH
9 November 2019 – HARAKAHDAILY 9/11/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.


- Advertisement -
- Advertisement -