Perutusan Maulidur Rasul Ulamak PAS Pusat

- Advertisement -


FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -



وَمَاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا رَحۡمَةࣰ لِّلۡعَـٰلَمِینَ

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Al-Anbiya’: 107)



Tanggal 12 Rabiul Awwal merupakan tarikh kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W yang kemudiannya diangkat oleh Allah S.W.T sebagai penutup dan penghulu bagi segala kenabian dan kerasulan.

Kelahiran Baginda S.A.W menjadi rahmat kepada sekalian alam. Rahmat Baginda S.A.W tersebut sama ada dari konteks semata-mata Baginda S.A.W atas kemuliaan yang diberikan oleh Allah S.W.T serta juga rahmat menerusi syariat yang dibawakan oleh Baginda S.A.W.

Dari sudut konteks semata-mata Baginda S.A.W, rahmat itu dapat dilihat sebagaimana riwayat dari Ibn Abbas seperti berikut:



أن الله أرسل نبيه محمدا صلى الله عليه وسلم رحمة لجميع العالم ، مؤمنهم وكافرهم . فأما مؤمنهم فإن الله هداه به ، وأدخله بالإيمان به ، وبالعمل بما جاء من عند الله الجنة . وأما كافرهم فإنه دفع به عنه عاجل البلاء الذي كان ينزل بالأمم المكذّبة رسلها من قبله. – انتهى باختصار من “تفسير الطبري” (18 / 551-552) ، وينظر : “تفسير ابن كثير” (5 / 385) ، “تفسير السعدي” (ص 532) .


“Sesungguhnya Allah telah mengutus Nabi-Nya Muhammad S.A.W sebagai rahmat sekalian alam, meliputi kalangan orang beriman dan orang kafir. Maka adapun orang beriman, maka sesungguhnya Allah memberikan petunjuk dengannya, dimasukkan keimanan dan dibalasi ganjaran dengan apa yang datangkan disisi Allah iaitu syurga. Adapun orang kafir maka sesungguhnya Allah menahan (menangguhkan) dari azab yang disegerakan yang diturunkan ke atas umat terdahulu yang mendustakan Rasul sebelumnya”



Dr Raghib as-Sarjani menyebutkan di dalam kitabnya yang berjudul لسنا في زمان أبرهة (Kita bukan lagi berada di zaman Abrahah) bahawa dengan kelahiran Baginda S.A.W ketetapan Allah ke atas umatnya adalah tidak sama sebagaimana umat terdahulu iaitu tidak disegerakan azab sebagaimana dikenakan kepada umat terdahulu yang kalangan mereka mendustakan dan menentang Rasul di zamannya.

Ini dapat difahami dari konteks firman Allah S.W.T:



وَإِذۡ قَالُوا۟ ٱللَّهُمَّ إِن كَانَ هَـٰذَا هُوَ ٱلۡحَقَّ مِنۡ عِندِكَ فَأَمۡطِرۡ عَلَیۡنَا حِجَارَةࣰ مِّنَ ٱلسَّمَاۤءِ أَوِ ٱئۡتِنَا بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ * وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِیُعَذِّبَهُمۡ وَأَنتَ فِیهِمۡۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ مُعَذِّبَهُمۡ وَهُمۡ یَسۡتَغۡفِرُونَ

“Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: “Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”

(al-Anfal: 32-33)



Dari sudut konteks rahmat menerusi syariat yang dibawakan oleh Baginda S.A.W ialah perlaksanaan syariat Islam itu yang diwahyukan oleh Allah S.W.T merupakan penyelesaian ke atas segala kepincangan dan permasalahan dalam kehidupan manusia.

Kata-kata Ibn al-Qayyim:



فإن الشريعة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها، ورحمة كلها، ومصالح كلها، وحكمة كلها، فكل مسألة خرجت عن العدل إلى الجور، وعن الرحمة إلى ضدها، وعن المصلحة إلى المفسدة وعن الحكمة إلى العبث، فليست من الشريعة وإن أدخلت فيها بالتأويل، فالشريعة عدل الله بين عباده ورحمته بين خلقه وظله في أرضه..

“Syariah (Islamiyyah) itu terbina dan terasas di atas hukum dan maslahah para hamba dalam kehidupan dunia dan akhirat. Ia keseluruhannya adil, keseluruhannya rahmat, keseluruhannya maslahah, keseluruhannya hikmah. Maka setiap masalah yang terkeluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada sebaliknya, daripada maslahah kepada mafsadah (kerosakan), daripada hikmah kepada sia-sia, maka ia bukan daripada syariah walaupun dimasukkan ke dalamnya secara takwilan. Maka syariat Allah itu adil buat semua hamba-Nya, rahmat buat semua makhluk-Nya dan lembayung-Nya di muka bumi..”

(Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 3/14-15)



Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh Muslimin dan Muslimat khususnya di negara Malaysia. Semoga penghayatan terhadap sambutan Maulidur Rasul menjadikan kita berusaha menjadi umat Baginda S.A.W yang meneruskan rahmat yang dibawa oleh Baginda S.A.W iaitu:

1.     Mengikut suri teladan Baginda S.A.W dalam semua aspek kehidupan.
2.     Berjuang bagi melaksanakan syariat Islam tertegak secara keseluruhan.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)
Ketua – HARAKAHDAILY 9/11/2019

- Advertisement -