Manifestasi tarbiyyatur Rasul dalam pendidikan anak-anak

- Advertisement -

KEINDAHAN makna nama

- Advertisement -

Saat sarat mengandung, Aminah sering didatangi mimpi dan bisikan untuk menamakan bayi yang bakal dilahirkannya dengan nama “Muhammad”. Lalu ilham itu diabadikan bersama kelahirannya hingga terasa terlalu indah dan istimewa kepada setiap yang menyambut dan mendengar nama “Muhammad”.

Telah terkandung pada kisah ini seruan untuk pasangan ibu bapa memberikan nama kepada bayi mereka dengan makna yang baik. Bukannya nama yang indah disebut tetapi tiada makna atau tercela maknanya. Kerana nama yang baik akan menjadi doa kepada sifat anak itu dan nama itu juga disebut dan dipanggil, baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Nabi S.A.W juga pernah mengingatkan:

“Tanggungjawab bapa kepada anaknya ialah memberikan nama yang baik dan memperelokkan adabnya.”

(Riwayat al-Baihaqi daripada Ibnu Abbas R.A)

Anak sebagai pembawa rezeki

Pada zaman jahiliyyah, manusia menganggap kelahiran anak adalah penentu kepada ‘untung-nasib’ sesebuah keluarga. Pemikiran seperti ini hinggakan membawa budaya keluh kesah dalam menanti satu-satu kelahiran. Jika anak yang dilahirkan itu lelaki, maka berpestalah sekampung. Jika yang lahir perempuan, seluruh keluarga akan kemurungan. Lebih malang ada anak-anak perempuan yang dibunuh.

Di zaman ini kepercayaan seumpama itu sedikit diwarisi. Atas nama perancangan keluarga, ada pasangan yang menghadkan bilangan anak. sedangkan yang dibicarakan ialah ‘prestasi kewangan dan perbelanjaan’. Pertambahan anak dianggap bebanan kepada ekonomi rumah tangga. Terkini, manusia menggunakan teknologi untuk ‘mencipta’ jantina bayi dengan alasan yang seumpama.

Islam menyanggah pemikiran seperti ini. Kelahiran Baginda menjadi bukti; tumbuh-tumbuhan subur, cuaca kenyamanan, gugusan bintang berkelipan, sebagai tanda menyambut kelahiran penuh agung itu. Sebelum Baginda dibawa ke perkampungan Bani Sa’ad untuk disusukan oleh Halimatus Saadiah, perkampungan itu sedang dilanda kemarau, pepohon mati kelayuan, haiwan ternakan kekeringan susu dan juga krisis keperluan air.

Namun, sebaik sahaja Baginda tiba di perkampungan itu, hujan pun turun membasahi bumi. Pepohon kembali segar menghijau, haiwan-haiwan ternakan bertambah banyak dan menggemuk. Malah, kambing kepunyaan Halimah tiba-tiba segar mengeluarkan susu. Manakala unta betinanya yang terlalu kurus, mampu berjalan dengan baik setelah ditunggangi Baginda. Itulah keberkatan anak sebenarnya, menjadi pembawa rezeki kepada keluarga.

Tempat didikan yang sempurna

Rumah Halimatus Saadiah terletak di pedalaman, sedangkan Nabi dilahirkan di Kota Makkah. Allah S.W.T menetapkan Baginda di perkampungan Halimah kerana Kota Makkah sebelum datang Islam diliputi kehitaman akhlak manusia jahiliyyah.

Peristiwa ini harus dilihat sebagai teladan bahawa tempat didikan amat dititikberatkan dalam Islam. Tempat didikan harus jauh dari unsur yang mampu merosakkan pembinaan diri anak-anak.

Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang dididik di kota kurang tajam pemikiran dan lemah tekadnya. Apatah lagi jika tidak dididik dengan ilmu, mereka cenderung membesar dengan memiliki keperibadian yang lemah. Ini berbeza dengan anak-anak yang dibesarkan dalam suasana perkampungan; kesantunan dan jati diri mereka sering dipuji.

Secara lebih khusus mengajarkan bahawa rumah adalah tempat didikan awal yang paling penting dalam mencorakkan keperibadian anak-anak. Maka, rumah perlulah ‘dibina dan diprogramkan’ sebagai tempat didikan yang sempurna.

Mengenal Pencipta

Semasa kecil yakni ketika berusia dua tahun, Baginda seringkali memerhatikan keajaiban langit, menerokai bintang-bintang yang bertaburan, menghayati keindahan gelap malam bercahayakan bulan. Matanya melihat, otaknya berfikir, hatinya menanggapi dan dirinya merasakan kekaguman hinggakan Baginda mengajukan pertanyaan demi pertanyaan kepada ibu susunya; “Siapakah yang menciptakan langit? Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Siapakah yang mencipta seluruh alam semesta ini?”

Ibu bapa hari ini cenderung untuk mengajar anak mengenal A, B, C; 1, 2 dan 3 atau objek-objek permainan, supaya anak itu kelak hebat bersaing di medan akademik. Dia diajar dengan keunikan ciptaan manusia, bukan ciptaan Tuhannya Yang Maha Agung. Didikan seperti inilah yang membentuk otaknya kurang berfikir kerana terlalu ‘disuapkan’ dengan itu dan ini.

Ditambah larangan terhadap anak kecil dengan menakut-nakutkan kepada suasana malam, dimomokkan lagenda hantu dan sebagainya. Natijahnya, pemikiran anak-anak terbantut akibat trauma yang dicipta, hinggakan ada anak-anak ‘takut kepada bayangannya sendiri’.

Anak-anak juga ditatih agar dapat menyebut perkataan ‘mama’ dan ‘papa’ sedangkan ketika ia baru lahir, azan didengarkan ke telinga memperkenalkan kepadanya perkataan dan kalimah ‘Allah’. Bukankah lebih mengujakan jika ‘Allah’ adalah perkataan pertama yang keluar dari sebutannya?

Sepatutnya di usia inilah ibu bapa menerapkan pendidikan aqidah dalam diri anak, lebih-lebih lagi apabila mereka telah mulai berfikir. Merangsang otaknya dengan memperlihatkan agungnya ciptaan Allah dan melahirkan perasaan ingin tahu yang tinggi. Didikan seperti ini sudah pasti bukan sahaja menjadi asas pembentukan aqidah, malah secara tidak langsung menjadi pengenalan ilmu sains kepada anak.

Menyucikan hati

Pernah terjadi satu peristiwa apabila Baginda semasa kecil didatangi oleh dua Malaikat lalu membelah dada, dibersih dan disucikan hatinya. Peristiwa ini menyuruh untuk sentiasa membentuk anak-anak dengan sifat mahmudah. Sementara sifat-sifat mazmumah pula perlu dijauhi dari hatinya sejak kecil lagi. Kerana kekuatan dan keperibadian insan terletak pada hati. Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kekuatan hati penting sebagai benteng keperibadian diri dari dicemari kekotoran sifat yang mencelakan. Harus diingat bahawa hatilah tempat tumpuan syaitan untuk menyesatkan manusia. Dari hati akan terzahirlah sifat manusia dan dari hatilah akan menentukan ‘sikap’ Allah terhadap seseorang.

Menyemai kasih dan sabar

Di usia kanak-kanak itu juga Baginda mengembala kambing kepunyaan ibu susunya. Setiap hari haiwan itu dibawanya ke padang rumput, diberi makan dan dijaga sepenuh perhatian. Kambing bukanlah seperti haiwan ternakan atau peliharaan yang lain; ia bersifat manja dan degil.

Rupanya di situ hikmah Allah yang mengetahui segala-galanya. Mengembala kambing mengajar Nabi nilai kasih dan sayang, mendidik Baginda erti sabar dan tanggung jawab, seterusnya membentuk rasa rendah hati (tawaduk) dalam diri. 

‘Pengalaman’ itu akhirnya memperlihatkan, bahawa Baginda adalah seorang Nabi, bapa, suami dan pemimpin yang berjaya mengatur dan membimbing kehidupan manusia. Bahkan Baginda membina tamadun nilai hidup yang akan kekal dicontohi sehingga hari kiamat. Bagindalah paling penyayang, paling sabar menghadapi dugaan, paling amanah hingga pernah digelar “Al-Amin” dan paling tawaduk dihadapan manusia. Sunnah yang Baginda wariskan, kadang-kadang membuatkan ummah merasa Baginda masih ada, walaupun hakikatnya telah lama kembali kepada Allah.

Begitulah pentingnya semaian rasa kasih sayang, sabar, amanah dan tawaduk dalam diri anak-anak. Kerana sifat-sifat itu amat disukai Allah, ia adalah warisan dari ‘pembawa rahmat sekalian alam’.

Menjauhi setiap yang haram

Di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah yang mengamalkan penyembahan berhala, minum arak, mencuri dan segala jenis perbuatan tercela, Baginda diasuh Allah untuk merasa jijik dan benci kepada perkara-perkara tersebut. Baginda terhindar langsung dari keinginan untuk berhibur di pentas nyanyian, syair dan tarian jahiliyyah, jauh sekali dari menghadiri majlis keramaian pemujaan.

Begitulah juga anak-anak perlu dididik untuk merasa jelek dengan setiap perbuatan tercela, apatah lagi yang haram di sisi Allah. Tetapi sering terlihat dalam masyarakat hari ini membawa anak kecil yang masih tidak mengerti ke pesta-pesta atau temasya hiburan. Bukankah ditempat-tempat seperti itu berlingkar segala bentuk maksiat? Yang ada padanya hanyalah nilai kefasadan dan kelalaian.

Ibnu Khaldun pernah menegaskan di dalam kitabnya yang terkenal iaitu Muqaddimah bahawa generasi yang suka berhibur tidak akan maju dan bertamadun.

Baginda S.A.W juga dilindungi dari sembelihan yang tidak menyebut nama Allah. Berbeza dengan umat Baginda hari ini yang kurang peka terhadap soal halal haram dan syubahat dalam pemakanan. Sedangkan pertumbuhan diri manusia baik jasmani mahupun rohani amat berkait dengan pemakanannya, apatah lagi anak-anak yang sedang mengalami proses perkembangan.

Malah, makanan turut memberi kesan kepada pembentukan tingkah laku seseorang. Iman al-Ghazali ada menukilkan nasihatnya:

“Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah ia makanan daripada rezeki yang halal sejak lahir. Makanan yang halal selain menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka pintar dan cergas. Sebaliknya anak menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang haram dan kotor.”

Kesan pemakanan juga dikenalpasti daripada tingkah laku tidur sebagaimana kata-kata Saidi Ali al-Syazali RA yang dipetik oleh seorang ulama tasawuf, Syeikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani dalam kitabnya; Latha’iful minanu wal akhlak:  

“Hasil dari pengalaman terhadap hal yang pernah kami perhatikan. Bagi menghindarkan kuat tidur ialah, makan yang halal dan meninggalkan perkara haram dan syubhah. Barang siapa yang makan makanan yang haram dan syubhah akan banyak tidurnya. Demikian itu adalah disebabkan oleh rahmat Allah, kerana pemakanan yang haram akan menggerakkan setiap anggota untuk berbuat maksiat. Maka Allah Taala lebihkan tidur ke atas orang yang memakan makanan syubhah untuk merehatkannya daripada melakukan maksiat. Sebagaimana lebih afdal Allah memberi rahmat kepada orang yang melakukan ketaatan dan memakan makanan halal dengan mengurangkannya dari tidur supaya ia dapat mendirikan ibadat malam dan siang.”

Fenomena tidur seperti ini kini bukan sahaja dapat dilihat kepada golongan dewasa, tetapi juga kanak-kanak yang sepatutnya berkecenderungan untuk bermain, lincah dan aktif.

Selain itu, amat penting untuk ibu bapa mengawal rancangan televisyen yang ditonton oleh anak-anak. Kerana ia pada hari ini telah menjadi media yang paling mudah mempengaruhi dan mencorakkan perbuatan serta tindakan seseorang. Lebih-lebih lagi kandungan disajikan setiap hari tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak. Bahkan ada yang menyimpang dari aqidah dan akhlak Islam.

Banyak sekali rancangan untuk kanak-kanak termasuk kartun pada masa ini memaparkan unsur syirik, tahyul, mistik, fantasi selain nilai hidup seperti pergaulan bebas, tidak menghormati orang tua dan saling bermusuhan yang jauh dari mesej teladan.

Membentuk perasaan malu

Segala kefasadan dan penyakit sosial yang berlaku di dalam masyarakat hari ini berpunca dari hilangnya perasaan malu. Islam memandang pentingnya rasa malu ini ada dalam setiap diri manusia. Apabila malu tidak ada sesama manusia, diri tidak akan merasa lagi untuk malu kepada Allah. Dari Imran bin Husaini RA, katanya Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.”

(Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad Ibnu Hambal)

Perasaan malu penting disuburkan di dalam diri anak-anak sejak usia kecil lagi. Baginda S.A.W sendiri walaupun diasuh oleh Ummu Aiman semasa kecilnya, tetapi setiap kali Ummu Aiman ingin menanggalkan pakaiannya untuk dicuci, Baginda pasti enggan dan menangis.

Kehidupan hanyalah sementara

Setelah dikembalikan kepada ibunya Aminah, Baginda sering didengarkan kisah bapanya, Abdullah yang telah meninggal dunia sejak Baginda masih di dalam kandungan. Kerinduan itu akhirnya membawakan Aminah untuk menziarahi pusara Abdullah bersama anaknya itu. Dalam perjalanan pulang setelah ziarah itu, Aminah jatuh sakit lalu meninggal di sebuah tempat bernama Abwa’ dan dikebumikan di situ.

Sesungguhnya peristiwa sedih ini memberi ingatan bahawa kehidupan hanyalah sementara. Hal ini perlu diterapkan pada diri anak-anak sejak kecil. Membawanya ke pusara adalah antara caranya, malah perlu diajar anak-anak untuk mendoakan mereka yang telah pergi. Ini juga sebagai persediaan menghadapi saat dukacita kehilangan orang tersayang. Melentur ketabahan, selain menekankan bahawa dunia yang sementara ini perlulah dipenuhi dengan cara kehidupan diredhai Allah.

Pewaris harapan

Anak-anak adalah pewaris harapan masa depan negara. Sikap Abdul Mutalib tidak lekang dari sisi Baginda bukanlah semata-mata kerana kasih sayang seorang datuk atau simpati kepada anak yang kehilangan ibu dan bapanya. Tetapi Abdul Mutalib dapat merasai tanda-tanda keagungan bahawa cucunya itu bakal menjadi ‘orang besar’ suatu hari nanti.

Begitulah sewajarnya setiap ibu bapa menyedari akan anak mereka suatu masa kelak akan menjadi pewaris keluarga dan negara. Mereka perlu dipandang sebagai ‘harapan’ dan sudah tentu mereka dibentuk sejak usia begitu.

Jauh berjalan luas pengalaman

Ketika berusia 12 tahun, Baginda telah dibawa berdagang ke Syam oleh bapa saudaranya Abu Talib. Baginda diajar muamalah, yakni menjalankan urusan jual beli. Ketika itu Syam adalah pusat perdagangan dunia, bermakna Baginda berpeluang bergaul dengan ramai bangsa. Mengamati setiap strategi perniagaan, sekali gus membentuk keperibadian yang amat disenangi, bijak dalam mengurus, amanah dan sabar dalam persaingan jual beli.

Hal ini menjadi ilmu kepada ummah bahawa membawa anak-anak jauh berjalan akan meluaskan pengalamannya. Betapa juga kepercayaan harus diberi kepadanya untuk memikul amanah. Moga-moga anak itu juga akan menjadi seorang yang bijak, amanah dan sabar dalam persaingan hidupnya seperti Baginda.

Praktikal Baginda lalui itu telah menyaksi disepanjang sirah Rasulullah yang dipamerkan pada strategi dakwahnya, kebijaksanaannya, amanahnya dan sabarnya hingga terpancar sebagai keperibadian suri teladan.

Qana’ah dan kesederhanaan 

Sungguhpun datang dari keluarga bangsawan, namun sejak kecil Baginda tidak pernah dimanjakan dengan kehidupan bermewah. Pakaiannya hanya dibeli setahun sekali, malah Baginda pernah mengambil upah mengembala dengan bayaran segenggam tamar. Di usia begitu kanak-kanak lebih gemar bermain, namun tidak pada Baginda yang lebih senang berada di sisi datuknya.

Berbeza dengan anak-anak hari ini, ibu bapa memanjakan secara keterlaluan. Setiap kehendak anak dituruti, dilalaikan dengan segala bentuk permainan, disuapkan pelbagai berjenis makanan, dipakaikan hiasan yang menyombongkan. Anak-anak lebih senang ‘terbiar’ bermain dengan sesiapa sahaja, kadang-kadang tanpa kawalan dan kurang didampingi ibu bapa sendiri atau leka dengan gajet dan teknologi. Akibatnya anak-anak hari ini tidak tertahan menghadapi kekurangan, membentak apabila keinginan tidak dipenuhi, sukakan kemegahan dan takut untuk berdikari.

Salam Maulidur Rasul – HARAKAHDAILY 9/11/2019

- Advertisement -