Langkah segera perlu bagi tambah kecairan negara

- Advertisement -

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan langkah terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar Keperluan Simpanan Berkanun (SRR) kepada 3 peratus daripada 3.5 peratus yang akan bermula pada 16 November 2019 nanti, sebagai gambaran suasana ekonomi negara yang semakin menghadapi masalah dan merudum. Kali terakhir BNM menurun SRR ialah pada 2016 daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus. Justeru itu langkah-langkah konkrit dan bersifat jangka panjang harus dilakukan segera, terutama untuk meningkatkan tahap kecairan dalam sistem ekonomi negara.

Sebagai langkah segera bagi membetulkan masalah kecairan yang sedang berlaku sekarang, kami mencadangkan langkah-langkah berikut:

1.     Langkah yang utuh dan tuntas daripada sektor pembankan perlu digerakkan bagi menggalakkan bank-bank meningkatkan lagi pemberian pinjaman, mengambil peluang daripada penambahan tahap kecairan hasil daripada langkah terbaharu BNM tersebut. Kecairan tambahan yang akan diperolehi itu haruslah dipindahkan segera ke dalam sistem ekonomi bagi memacu pertumbuhan. Ini juga bagi mengelakkan berlaku ‘liquidity trap’.

Ini bersesuaian dengan langkah BNM mengekalkan Kadar Simpanan Semalaman (OPR) pada 3 peratus baru-baru ini. Dalam suasana regim sekarang, pengguna harus pengambil peluang dengan mengekalkan berbelanja secara berhemah manakala sektor swasta harus meningkatkan pelaburan bagi menyokong dan meningkatkan pertumbuhan agregat permintaan.

2.     BNM juga perlu mempertimbang untuk melakukan langkah serampang 2 mata iaitu membekalkan kecairan ke dalam sistem ekonomi dan dalam masa yang sama, menyediakan dana untuk pembangunan ekonomi. Ini boleh dilakukan dengan membeli bon-bon kerajaan yang boleh diterbitkan oleh agensi-agensi kerajaan.

Namun bagi memastikan tidak berlaku ‘liquidity trap’ maka cadangan langkah ini perlu dilakukan dengan penuh spesifik dan berobjektif, iaitu dengan membeli bon-bon daripada agensi-agensi khusus dan untuk keperluan projek pembangunan yang khusus. Ini bagi memastikan hanya projek-projek berimpak tinggi dan mempunyai kesan pekali (multiplier) yang tinggi menerima dana ini.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

11 Rabiul Awal 1441H
9 November 2019 – HARAKAHDAILY 9/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -