Ijtimak Tarbawi 7.0: Kemeriahan semakin terasa

    - Advertisement -

    PADANG RENGAS: Persiapan bagi menyambut kehadiran para peserta Ijtimak Tarbawi 7.0 dari seluruh negara yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 16 November ini telah berada pada fasa akhir.

    - Advertisement -

    Program tahunan peringkat kebangsaan anjurkan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia ini telah dirangka penuh rapi dengan pelbagai pengisian tarbiyah sepanjang dua hari program berlangsung.

    Ia akan bermula seusai solat Jumaat dengan slot Diskusi Tarbawi bersama Penyelia DUN Kok Lanas, Ustaz Nik Mahadi Nik Mahmood sebelum diteruskan dengan Bicara Tarbiyah Pelapis bersama dua Exco Pemuda PAS Pusat iaitu Ustaz Akram Ikrami Taib Azamudden dan Ustaz Hafez Sabri.

    Dua slot dijadualkan pada sebelah malam iaitu Bicara Murabbiah bersama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam, seterusnya Pidato Tarbawi bersama Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, Ustaz Hazmi Dibok.

    Turut bersama beliau dalam slot itu adalah Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim serta Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim.

    Hari kedua bermula dengan qiamullail, dengan pengisian Kuliah Subuh akan disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puaid, diikuti Talaqqi Tafsir Al-Quran menampilkan Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin.

    Beliau akan membentangkan tafsir Surah Muhammad, sebelum dirancakkan lagi dengan Forum Tarbawi Tiga Mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia iaitu Ustaz Nasrudin Hasan, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

    Forum Tarbawi Tiga Dewan mengisi slot selepas itu kemudian disambung dengan slot Wacana Tarbawi bersama Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Asri Mat Daud sebelum acara malam bermula dengan Bicara Murabbi.

    Slot ini akan diisi oleh Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail, sebelum diteruskan dengan Bicara Qiadi yang menampilkan tiga ahli panel ‘misteri’ sebelum melabuhkan tirainya dengan Taujihat Tarbawi bersama Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

    Lokasi Ijtimak Tarbawi 7.0 iaitu Kem Kota Lama, Sauk, Kuala Kangsar dijangka bakal dibanjiri hampir 10,000 peserta dan bagi kelancaran perjalanan program, para peserta dinasihatkan untuk membuat pendaftaran atas talian.

    Tempahan baju rasmi program dan tempahan penginapan sekiranya perlu boleh dibuat seawal mungkin melalui Dewan Pemuda PAS Kawasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 9/11/2019

    - Advertisement -