PAS Tambun gesa k’jaan baiki sistem perparitan

    - Advertisement -

    TAMBUN: Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said diiringi oleh Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri telah menyantuni penduduk Kampung Tersusun Batu 6, di sini hari ini.

    - Advertisement -

    Dalam kunjungan itu Ustaz Salleh yang merupakan bekas calon PAS Dun Ulu Kinta PRU 14 lalu mendengar rintihan penduduk berkaitan masalah sistem perparitan yang kurang sistematik mengakibatkan berlakunya banjir.

    Abdul Majid Abd Rasyid, 76, ditemui berkata, rumahnya akan dinaiki air dengan paras ketinggian 2 hingga 3 kaki apabila hujan lebat turun atau tiba musim hujan.

    “Mereka (kerajaan) banyak kali menjanjikan agar sistem perparitan ini akan dibaiki, namun hingga kini masih tiada tindakan susulan yang diambil. Hal ini mengecewakan saya kerana aduan saya dipinggir begitu sahaja.

    “Saya dan isteri terpaksa berpindah ke sebuah Tabika KEMAS yang berhampiran dengan kediaman ini apabila rumah dinaiki air. Kekerapan banjir di rumah saya turut melibatkan kerugian apabila barang-barang ditenggelami air,” adunya.

    Mantan Ketua Kampung Batu 6 Tambun, Zubir Ismail berkata, penduduk kampung amat simpati dengan nasib yang menimpa Abdul Majid ini berikutan beliau dan isterinya lumpuh daya penglihatan dan telah uzur.

    “Apabila hujan lebat turun, kebiasaanya rumah ini(beliau) akan dinaiki air. Pergerakan dia (Abdul Majid) dan isterinya yang lumpuh separuh badan untuk bergerak dan berpindah ke tempat lain (Tabika KEMAS) agak terbatas,” ujarnya.

    Beliau juga menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada PAS Kawasan Tambun yang sentiasa prihatin dengan masalah rakyat meskipun PAS adalah parti bukan kerajaan.

    Ustaz Salleh berharap tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh pihak berwajib dengan membantu memperbaiki kekangan sistem saluran air yang dihadapi oleh penduduk ini.

    “Kerajaan hendaklah memandang serius isu ini dengan mengambil tindakan drastik bagi memastikan masalah ini tidak berlarutan. Hal ini kerana, kebajikan rakyat merupakan sebahagian tanggungjawab utama kerajaan,” ujar Ustaz Salleh.

    Kunjungan itu turut disertai oleh Ketua PAS Zon Tanjung Rambutan, Ustaz Rusdi Saad dan Ketua PAS Zon Perpaduan, Eddy Nor Abdul Manan bersama Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Tersusun Batu 6 Tambun. – HARAKAHDAILY 8/11/2019

    - Advertisement -