Kerajaan PH ‘pilih kasih’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berhasrat untuk menfailkan saman terhadap Kerajaan Negeri Perak bagi mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli disifatkan sebagai ‘pilih kasih’.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan tersebut sangat jelas menunjukkan Kerajaan PH begitu pilih kasih apabila sebelum ini kerajaan diwakili Peguam Negara telah mengenakan saman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu yang sama.

“Ini jelas ‘double standard‘ yang ditunjukkan oleh Kerajaan PH hari ini apabila Orang Asli di Perak tidak diberikan pengiktirafan kepada tanah adat, Peguam Negara tidak pula mengambil tindakan saman balik.

“Sebaliknya apa yang berlaku di Kelantan, dia (Peguam Negara) sendiri yang menjadi orang utama menyaman Kerajaan Negeri Kelantan. Nampak sangat ‘double standard‘ yang ditunjukkan oleh Peguam Negara itu sendiri,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada jawapan daripada Menteri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) di Dewan Rakyat yang mengatakan tiada tindakan guaman difailkan terhadap Kerajaan Negeri Perak dan Peguam Negara juga tidak menerima sebarang arahan untuk memulakan tindakan guaman.

Menurut Zailah, jawapan daripada Menteri itu jelas dan boleh dijadikan penilaian kepada rakyat bahawa pendakwaan dan saman kepada Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu tersebut sebelum ini hanyalah mainan politik semata-mata.

“Kalau betul mahu memberi keadilan mengikut undang-undang, sepatutnya mana-mana negeri yang terlibat isu tanah adat ini menerima tindakan yang sama, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Negeri di bawah Lerajaan PH tidak disaman tetapi negeri Kelantan disaman walaupun dalam undang-undang negeri Kelantan tidak ada pun yang berkaitan tanah adat orang Asli,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada kawasan di negeri itu yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk masyarakat Orang Asli kerana tidak termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Ia berikutan sebahagian kecil masyarakat Orang Asli yang mengadakan halangan di kawasan pembalakan, ada juga di sesetengah kawasan membabitkan isu tanah perkuburan dan ada masalah perkampungan Orang Asli yang mempunyai geran bersama.

Namun, berbeza dengan negeri Kelantan apabila Kerajaan Persekutuan bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan negeri bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang, Januari lalu. – HARAKAHDAILY 8/11/2019

- Advertisement -