Belajarlah kematangan dari pengalaman PAS

- Advertisement -

SEMALAM Perdana Menteri menolak dakwaan bahawa berlaku perselisihan faham dalam gabungan PH selepas mengambil alih kerajaan. Katanya, mereka masih boleh duduk bersama dan memutuskan sesuatu mengikut konsensus dan mereka bekerja mengikut konsensus. PM juga mengesahkan memang ada pertengkaran di luar Kabinet, tetapi semasa dalam Kabinet tiada siapa yang berani menentangnya.

Perlu diingat bahawa sebelum PH mengalami apa yang dilaluinya sekarang, PAS terlebih dahulu mengalaminya semasa bersama DAP dalam Barisan Alternatif pada 1999. Pada ketika itu PM dan partinya amat memusuhi DAP.

Titik pertemuan yang membawa PAS bersama dengan DAP hanyalah pada matlamat yang sama iaitu menjatuhkan Kerajaan BN. Pada sisi lain, masing-masing mempunyai dasar yang jauh berbeza malah bertentangan antara satu sama lain. PAS mendukung dasar untuk menegakkan Islam, sementara DAP mendukung dasar Sekular dan Sosialis.

Menyedari hakikat itu mereka masih boleh bersama atas dasar ‘bersetuju kepada perbezaan’. Soalnya, selama mana sikap ‘agree to disagree’ ini boleh bertahan.

DAP masuk jauh ke dalam had sempadan dasar perjuangan PAS yang pada ketika itu sedang memperjuangkan Hudud melalui Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu. Semasa dalam Pakatan Rakyat, DAP juga menentang usaha PAS membawa usul Pindaan RUU355 di Parlimen hingga terkeluar kata-kata keras dari pemimpin mereka, “Hudud, over my dead body”. (Hudud, langkah mayatku dulu). Kemuncak kepada pertelingkahan ini DAP tinggalkan Pakatan Rakyat.

PAS mendapat rakan kerja yang baru – Umno – yang cedera parah dalam PRU14. Atas dasar Islam, kedua-duanya bermuafakat membentuk Muafakat Nasional. Muafakat yang baru ini pasti merupakan perjuangan yang menguntungkan Islam kerana ia menggunakan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.

Bagaimana PH boleh mengekalkan kebersamaan mereka? Jika komponen selain DAP tidak membawa agenda Islam pasti mereka bolehlah kekal bersama. Sebagai seorang Islam apakah kita boleh bersetuju dengan sikap meminggirkan Islam begini?

Perkataan yang ada dalam Perlembagaan Parti DAP ialah kebebasan beragama sebagai hak asasi yang merangkumi kebebasan daripada diancam oleh undang-undang yang bersifat menindas dan akta-akta yang berunsur diskriminasi.

Hasil dari konsensus dengan DAPlah keluarnya arahan tiada lagi serbuan ke atas pelaku maksiat khalwat dan sebagainya kerana menghormati kehendak mereka. Inilah bahayanya kerja secara konsensus dalam PH.

Semakin ramai pemimpin PH bukan DAP yang bercakap menggunakan kata-kata “saksama, peluang yang sama mengikut merit tanpa perbezaan agama dan kaum” yang semuanya merupakan kata-kata yang dipinjam dari Perlembagaan DAP.

PM tidak sepatutnya terpedaya dengan kata-kata ‘kami masih baru’, kerana DAP itu telah wujud sejak 1966 sebagai serpihan PAP di Singapura yang sangat berkuasa dan berjaya melaksanakan agenda mereka sejak keluar dari Malaysia.

Formula yang paling ampuh untuk difikirkan komponen selain DAP dalam PH ialah bergabung dengan Muafakat Nasional yang boleh menjadikan DAP bersendirian dan menjadikan Islam Memimpin. Pasti inilah yang menjadi impian majoriti rakyat Malaysia.

SOBIRIN DULI
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Lipis – HARAKAHDAILY 8/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -