Teliti kesalahan kempen PRK Tanjung Piai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan laporan lengkap berhubung pematuhan parti-parti politik dalam siri-siri pilihanraya yang berlaku, saran Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

- Advertisement -

Menurut beliau, cadangan tersebut diusul berdasarkan pemerhatian beliau yang melihat terdapat beberapa parti-parti politik yang jelas melanggar batasan kempen seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Katanya, walaupun isu penggunaan jentera Kerajaan ketika waktu berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands belum selesai, namun Malaysia sekali lagi terpaksa menyaksikan pelbagai janji yang ditabur pemimpin PH dalam PRK Tanjung Piai.

Beliau mencadangkan sedemikian ketika membahaskan bajet Jabatan Perdana Menteri bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Lebih malang lagi katanya, wujud kenyataan-kenyataan sesetengah pimpinan kerajaan yang berunsur hasutan, perkauman dan dipercayai boleh menggugat keamanan dan kestabilan sosial dalam negara hari ini seolah-olah tiada kawalan dalam kempen PRK pada hari ini.

Lantaran itu, beliau berharap agar SPR meneliti gesaannya supaya menyediakan laporan lengkap pilihan raya setiap kali usai pilihan raya dan laporan tersebut perlu dibentangkan di Parlimen.

Hal ini bertujuan bagi memastikan setiap parti politik mematuhi segala peraturan yang ditetapkan selain menggalakkan aktiviti kempen berlaku secara sihat serta untuk memastikan semak dan imbang yang berkesan terhadap peranan yang dimainkan SPR. – HARAKAHDAILY 7/11/2019

- Advertisement -