MTQDI dibangun dari pusaka tinggalan keluarga

- Advertisement -

MAAHAD Tahfiz al-Quran Lid Dakwah Wal Imamah atau MTQDI, sebuah maahad tahfiz yang diuruskan oleh ahli-ahli PAS. Maahad ini terletak di Kampung Luat, Lenggong Perak. Lokasi maahad ini berdekatan dengan Muzium Arkeologi Lenggong.

- Advertisement -

Perjalanan ke MTQDI dari Lebuh Raya Utara Selatan, keluar susur tol Kuala Kangsar terus menuju ke jalan Kuala Kangsar-Gerik. Selepas Jambatan Raja Nazrin melintasi Tasik Raban, terdapat papan tanda ke Muzium Arkeologi menempatkan artifak Perak Man yang mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai warisan khazanah ketamadunan purba.

Maahad ini diasaskan oleh Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Adun Gunong Semanggol, Tuan Haji Razman Zakaria bersama adik-beradik dan ahli keluarganya. Maahad yang dibina di atas tanah keluarga berkeluasan kira-kira tiga ekar ini memulakan operasi pada 2013. Sehingga kini MTQDI melahirkan sejumlah pelajar yang berjaya khatam hafazan al-Quran.

Allahyarham Haji Zakaria, bapa kepada Tuan Haji Razman dahulunya merupakan imam dan guru al-Quran di Kampung Luat. Di kampung ini juga suatu ketika dahulu pernah wujud sekolah pondok. Lahir daripada kampung ini tokoh-tokoh agamawan yang dikenali masyarakat tempatan, antaranya ialah Allahyarham Ustaz Zahid yang membuka madrasahnya di Paya Renggam, Padang Rengas.

Setelah pemergian ayahandanya, Haji Razman berazam untuk menjadikan Kampung Luat khususnya dan Lenggong amnya sebagai pusat tumpuan untuk pengajian al-Quran dan ilmu agama. Dengan persetujuan daripada pihak waris, peninggalan harta daripada kedua-dua orang tua digunakan untuk membina bangunan maahad tahfiz ini. Pihak keluarga dan masyarakat banyak memberikan sumbangan untuk membangunkan maahad ini.

MTQDI diuruskan oleh anakanda beliau Muhammad Rif’aat sebagai mudir dengan dibantu oleh beberapa orang guru dan kakitangan. Syarat kemasukan pelajar di maahad ini ialah lelaki, minat menghafal al-Quran, mampu mengurus dan menyesuaikan diri dengan persekitaran asrama serta boleh mematuhi peraturan dan arahan pihak maahad.

MTQDI diluluskan pendaftaran dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia (PERMATA AL-QURAN). Sistem tahfiz di MTQDI mengambil konsep Pakistan yang ada sabaq, sabki dan manzil.

Silibus pengajian kebanyakan ditumpukan kepada tahfiz al-Quran, agar pelajar dapat fokus untuk mengkhatamkan hafazan al-Qur’an dalam tempoh yang dijadual, iaitu 3 hingga 4 tahun. Terdapat pelajar yang berjaya khatam dalam tempoh kurang 3 tahun, semua mengikut kemampuan masing-masing.

Namun begitu sebagai pengetahuan tambahan kepada pelajar, masa satu jam diperuntukkan untuk mempelajari kitab. Antara kitab yang digunakan ialah Matan Abi Syuja’ dalam ilmu Fiqh, Matan Arba’in Imam Nawawi, Nahu dan sorof bahasa Arab, tajwid dan bahasa Arab komunikasi. Subjek asas akademik juga ditawarkan kepada pelajar yang berminat.

MTQDI mengadakan kerjasama dengan pihak Giat MARA dalam bidang kemahiran komputer. Pelajar mengikuti kursus yang diadakan di Giat MARA Lenggong selama sembilan bulan. Setelah tamat peperiksaan dan praktikal, pelajar akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia.

Masa lapang diisi dengan aktiviti qasidah dan riadah. MTQDI menerima jemputan untuk persembahan qasidah. Pelajar yang layak menjadi imam akan dihantar menjadi imam tarawikh di bulan Ramadan. Di samping itu, pelajar didedahkan dengan amalan ruqyah syar’iyyah mengikut silibus Darussyifa’.

Kapasiti asrama MTQDI dapat memuatkan seramai 70 orang pelajar. Terdapat kantin, musholla, gelanggang sepak takraw dan ruang untuk bermain bola sepak.

Pendapatan MTQDI bergantung kepada sumber yuran bulanan, sumbangan derma dan zakat. Pihak MTQDI dilantik menjadi amil institusi bagi pihak Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) dan boleh mengeluarkan resit zakat yang layak mendapat pemotongan cukai. MTQDI mengalu-alukan tajaan yuran pelajar, gaji guru dan bahan makanan.

MTQDI merancang untuk membuka pondok pengajian untuk orang dewasa. Sekarang ini sebanyak lapan pintu bilik telah dibina. Sumbangan orang ramai diperlukan untuk menambah lagi bilangan pondok dewasa.

Dalam menguruskan sebuah institusi pengajian swasta, cabaran memang tidak dapat dielakkan. Namun tatkala melihat anak-anak yang belajar di sini mampu membaca dan menghafal al-Quran sehingga mereka berjaya mengkhatamkan hafazan, semua ini membangkitkan rasa kesyukuran dan memangkin semangat untuk terus berkhidmat kepada golongan penghafal al-Quran.

Sebarang bentuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5581 3600 8789 atas nama Maahad Tahfiz Al Quran Lid Dakwah Wal Imamah. Untuk pertanyaan sila hubungi atau WhatsApp ke nombor 012-344 6000 atau 017-531 1408. Maklumat lanjut juga boleh layari laman Facebook: https://www.facebook.com/mtqdimy/ HARAKAHDAILY 7/11/2019

- Advertisement -