Failkan kembali pertuduhan yang ditarik tanpa sebab

- Advertisement -

- Advertisement -

Semalam, Malaysia digemparkan sekali lagi apabila Jabatan Peguam Negara menarik balik dua pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran tanpa memberi sebarang penjelasan.

Saya percaya bahawa kes yang berkaitan keganasan lebih-lebih lagi di bawah Akta Keselamatan, Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) tidak akan dibawa ke mahkamah melainkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh.

Sekalipun jika pertuduhan ini ditarik balik kerana masalah-masalah teknikal, rakyat mahukan agar Jabatan Peguam Negara menyelesaikan masalah-masalah itu dengan segera dan failkan kembali pertuduhan yang sama ke atas Adun tersebut. Masalah keganasan bukan masalah yang boleh dipandang enteng kerana ia menjejaskan keselamatan negara.

Tindakan Jabatan Peguam Negara yang menarik balik pertuduhan tanpa memberikan sebarang sebab menunjukkan Peguam Negara zaman Pakatan Harapan lebih teruk daripada Peguam Negara zaman Barisan Nasional.

Pakatan Harapan yang melaung-laungkan prinsip ketelusan tidak boleh menggunakan kuasa pregoratif Peguam Negara sewenang-wenangnya seperti yang pernah diamalkan pada zaman Barisan Nasional.

Tindakan ini secara terbuka menunjukkan wujudnya campur tangan politik dan pilih kasih jika dibandingkan dengan pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan kepada tahanan lain di bawah SOSMA.

Penarikan pertuduhan tanpa sebab dalam kes LTTE yang membabitkan Adun DAP ini hanya mengesahkan reputasi buruk Peguam Negara yang sudah banyak kali menyemak dan menggugurkan pertuduhan yang dibuat ke atas ahli politik daripada Pakatan Harapan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB Haji Ahmad Amzad bin Hashim
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
07 November 2019/ 10 Rabi’ulawal 1441H

- Advertisement -