Kejohanan Futsal Piala YDP PAS Taiping meriah

TAIPING: Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Taiping telah mengadakan Kejohanan Futsal Piala Yang DiPertua PAS Taiping di Foxxe Sports, Kamunting di sini, semalam.

Advertisement

Menurut Ketua Pemuda PAS Taiping, Ustaz Amar Jamaludin, program ini bertujuan memperkenalkan DACS sebagai satu platform rasmi patuh syariah bagi melaksanakan aktiviti sukan, kesenian, dan kebudayaan buat anak muda.

Selain itu, program yang bertujuan mengeratkan ukhwah dalam kalangan remaja dan Pemuda di sekitar Kawasan Taiping, Bukit Gantang, Larut dan Bagan Serai ini telah berlangsung meriah dengan penyertaan daripada 48 pasukan.

Yang DiPertua PAS Taiping, Ustaz Saidin Hasnam ketika berucap telah berpesan agar para peserta hendaklah bersukan dalam keadaan menutup aurat dan tidak mengabaikan kewajipan solat fardu apabila masuknya waktu solat.

“Besar harapan YDP agar Dewan Pemuda PAS Kawasan Taiping dapat meneruskan usaha merapatkan ukhuwah dalam kalangan Pemuda di peringkat Cawangan mahupun Kawasan tidak ketinggalan menghidupkan suasana Muafakat Nasional seperti yang disepakati,” tambah beliau lagi.

Pengarah Program, Muhammad Naim Masngut memaklumkan, pihaknya turut mengadakan simulasi mengambil wuduk menggunakan satu botol air mineral dan menunaikan solat secara berjemaah di atas padang futsal.

Dalam kejohanan ini, Johan telah dirangkul oleh Pemuda PAS Changkat Ibol, sementara Naib Johan dimenangi oleh Sahabat Saidi  dan tempat Ketiga pula diraih oleh T.O.K Ft.

Turut hadir Timbalan Yang DiPertua PAS Taiping, Ibrahim Ismail dan Adun Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad  Daud. РHARAKAHDAILY 5/11/2019