Ke mana RM299 bilion dibelanjakan K’jaan PH?

- Advertisement -

DUA fokus utama Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan. Pertama, keberkesanan perbelanjaan berdasarkan pendekatan kaedah Belanjawan Berasaskan Sifar. Kedua, ketelusan perbelanjaan dengan pelaporan berakauntabiliti.

- Advertisement -

Dua prinsip utama tersebut harus diaplikasikan bagi memulihkan kewangan fiskal, memberi nilai faedah dan kesan berganda dalam kitaran ekonomi.

Belanjawan 2020 mengunjurkan Hasil Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM244,530 juta (RM244.5 bilion). Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pula diperuntukkan sebanyak RM299,020 juta (RM299 bilion). Secara umum tahun 2020 merekodkan sekali lagi belanjawan defisit sebanyak RM54,490 juta. Berikut kaedah kasar pengiraannya;



Secara umumnya, Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan boleh dikategorikan kepada dua, iaitu Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Membangun. Daripada RM299,020 juta jumlah peruntukan bagi keseluruhan Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan, sebanyak RM241,020 juta akan diperuntukkan kepada Perbelanjaan Mengurus, manakala RM56,000 juta pula diperuntukkan kepada Perbelanjaan Membangun. Sebanyak RM2,000 juta lagi dikhaskan untuk Simpanan Luar Jangka.

Dalam Perbelanjaan Mengurus, terdapat lima komponen peruntukan utama, iaitu Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Aset, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan Perbelanjaan Lain-lain. Setiap komponen utama tersebut mempunyai perincian tertentu. Berdasarkan kepada peruntukan sebanyak RM241,020 juta,
berikut adalah alokasi mengikut
komponen;


Jadual di atas menunjukkan komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap memperoleh peruntukan paling tinggi pada tahun 2020. Ia juga menunjukkan peningkatan hampir 28 peratus berbanding tahun 2019 (RM30 bilion). Komponen ini merangkumi perbelanjaan perjalanan, perhubungan, utiliti, sewaan, pembelian bahan mentah untuk penyelenggaran dan kerja-kerja pembaikan kecil.

Sekiranya ditinjau mengikut Kementerian, tiga Kementerian telah mendapat peruntukan terbesar bagi Perbelanjaan Mengurus. Ia boleh dirumuskan seperti berikut;



Di Kementerian Pendidikan, selain sebahagian besarnya adalah untuk tujuan Emolumen (RM39.3 bilion), sejumlah RM13.67 bilion telah diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Contohnya, RM7.3 bilion diperuntukkan untuk pemberian kepada Operasi Pendidikan Tinggi. Semua Universiti Awam akan
mendapat peningkatan peruntukan kecuali UPSI, kekal RM175 juta sahaja.

Di Kementerian Kesihatan, lebih 95 peratus peruntukan dari Perbelanjaan Mengurus adalah untuk Emolumen (RM16.48 bilion) manakala Perkhidmatan dan Bekalan menerima (RM10.87 bilion). Sebagai contoh, RM1.45 bilion diperuntukkan untuk perolehan ubat yang berkualiti.

Selain daripada tiga Kementerian yang akan menerima peruntukan Perbelanjaan Mengurus paling tinggi, terdapat juga Kementerian lain yang memperoleh jumlah peruntukan yang tinggi bagi tujuan tertentu. Contoh, Kementerian Kerja Raya mendapat peningkatan peruntukan yang signifikan bagi menyelenggara seluruh jalan
Persekutuan di Malaysia yang berjumlah RM200 juta pada tahun 2020. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula akan mendapat peruntukan sebanyak RM300 juta untuk Persidangan APEC 2020.

Walaupun begitu, terdapat beberapa peruntukan yang dipotong secara drastik. Peruntukan untuk Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) di bawah KPDNHEP telah dipotong sebanyak RM200 juta. Walhal, tujuan COSS diperkenalkan adalah untuk menstabilkan harga runcit minyak masak (5kg) dan membendung kesan kenaikan harga minyak masak. Adakah dengan potongan peruntukan ini akan menyebabkan harga minyak masak naik pada tahun depan?

Bagi Perbelanjaan Membangun pula, peruntukan RM58 bilion akan disalurkan kepada empat sektor utama dan Simpanan Luar Jangka sebanyak RM2 bilion bagi membiayai projek pembangunan yang memerlukan peruntukan tambahan. Maka, RM56 bilion tersebut diagihkan seperti berikut;



Seperti kebiasaan, Sektor Ekonomi akan mendapat peruntukan yang besar bagi
merangsang pertumbuhan KDNK negara iaitu RM31 bilion. Daripada Sektor Ekonomi pula, Sub Sektor Pengangkutan menerima jumlah tertinggi iaitu RM12.2 bilion, disusuli dengan Sub Sektor Kewangan RM6.2 bilion dan Sub Sektor Tenaga RM4.3 bilion.

Walaupun Sub Sektor Pengangkutan menerima jumlah tertinggi, namun Sub Sektor Tenaga dan Utiliti meningkat secara drastik iaitu daripada RM2.58 bilion (2019) kepada RM4.33 bilion (2020) bagi projek pembentungan, bekalan air dan elektrik dan tebatan banjir.

Walaupun Sub Sektor Pengangkutan menerima jumlah tertinggi, namun Sub Sektor Tenaga dan Utiliti meningkat secara drastik iaitu daripada RM2.58 bilion (2019) kepada RM4.33 bilion (2020) bagi projek pembentungan, bekalan air dan elektrik dan tebatan banjir.

Tiga Kementerian yang menerima peruntukan paling besar bagi Perbelanjaan Membangun adalah seperti berikut;



Kementerian Kewangan mencatatkan peningkatan kira-kira 47 peratus pada tahun 2020 iaitu berjumlah RM9.65 bilion berbanding RM6.55 bilion pada tahun 2019. Hampir semua peruntukan Perbelanjaan Membangun disalurkan untuk suntikan modal yang berjumlah RM8.13 bilion.

Sementara itu, jumlah peruntukan yang tinggi bagi Sub Sektor Pengangkutan adalah disebabkan oleh projek menaik taraf jalan-jalan sedia ada dan membina jalan-jalan baharu di seluruh negara khususnya di bawah Kementerian Kerja Raya.

Bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula, separuh daripada jumlah peruntukan Perbelanjaan Membangun disalurkan untuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) khususnya bagi Program Penajaan Pendidikan MARA yang berjumlah RM2.3 bilion.

Butiran projek-projek yang diperuntukkan di bawah Perbelanjaan Membangun tidak dinyatakan secara telus untuk penilaian rakyat meskipun ia melibatkan peruntukan yang sangat besar. Contohnya, di bawah Jabatan Perdana Menteri diperuntukkan sebanyak RM100 juta buat pertama kali pada tahun 2020 untuk Projek Khas, namun tiada butiran yang diperincikan.

Begitu juga perbelanjaan bagi bangunan dan pejabat Kementerian yang dilihat agak keterlaluan jika dibandingkan dengan keperluan lain. Sebagai contoh, Kementerian Dalam Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM122 juta untuk pembaikan dan ubah suai Kementerian berbanding peruntukan untuk Unit Udara PDRM yang hanya RM300 ribu sahaja diperuntukkan pada tahun 2020 daripada keseluruhan anggaran projek bernilai RM180 juta.

Secara keseluruhan dalam peruntukan Perbelanjaan Membangun tahun 2020,
sebanyak RM53.2 bilion diagihkan untuk 4,744 projek sambungan, manakala RM2.8 bilion untuk 722 projek baharu. Diharapkan projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan pada tahun 2020 akan menggandakan kesan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin dan memakmurkan ekonomi secara adil. – HARAKAHDAILY 5/11/2019

- Advertisement -