Bola eratkan Penyatuan Ummah PAS-Umno Tambun

- Advertisement -

TAMBUN:Perpaduan Ummah PAS-Umno Parlimen Tambun semakin utuh melalui pelbagai aktiviti yang digerakkan bersama, sekali gus memberi keyakinan bahawa kedua parti bakal membawa masa depan negara lebih baik.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri menegaskan, prinsip asas Penyatuan Ummah adalah Islam yang memastikan keadilan untuk semua khususnya dalam suasana kehidupan masyarakat majmuk.

“Selagi kita berpegang teguh dengan Islam, kita akan selamat di mana hari ini juga kita buktikan. Bola-bola juga, solat jangan dilupa dan ianya menjadi asas kekuatan kami bersama.

“Inilah keunikan yang kami tonjolkan dalam semua aspek, Islam sentiasa di hadapan melestarikan agenda dakwah,” ujar Ustaz Hafez yang juga merupakan Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Malaysia.

Sebelum perlawanan bermula para pemain berserta penyokong telah solat Asar berjamaah dengan semua pemain turut mematuhi etika pemakaian menutup aurat yang sempurna.

“Ianya bukan sahaja dapat menepati masa dengan bersandarkan kepada waktu solat malah dapat memastikan masa dimanfaatkan sebaiknya dan tidak terganggu ibadah khusus kita kepada Allah S.W.T,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan persahabatan bola sepak menemukan pasukan Pemuda PAS dengan Pemuda PAS Umno di Padang Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini kelmarin.

Perlawanan tersebut berkesudahan dengan jaringan 3-1 memihak kepada pasukan Pemuda Umno Tambun yang turut menyaksikan kedua-dua Ketua Pemuda beraksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Program yang dianjurkan Ketua Pemuda PAS Zon Perpaduan, Azrol Zaimee Mohamed Ali bersama Ketua Pemuda Umno Zon Perpaduan, Noor Azwan Shah ini telah berjaya menarik minat ratusan penyokong yang hadir.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Tambun, Faridzul Azlan menjelaskan tujuan program bagi mengukuhkan ukhuwah silaturrahim Umno-PAS yang selari dengan agenda Muafakat Nasional disamping membudayakan badan cergas dan minda cerdas.

Turut hadir memberikan sokongan dan menyaksikan perlawanan, Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said, Ketua Umno Tambun, Dato’ Aminuddin Md Hanafiah bersama pimpinan PAS-Umno Tambun. – HARAKAHDAILY 5/11/2019

- Advertisement -