Usaha wujudkan pondok di setiap Parlimen di Perak

    - Advertisement -

    TANJONG MALIM: Majlis Muafakat Pondok (MMP) Negeri Perak telah menganjurkan Pelancaran Majlis Muafakat Pondok Negeri Perak bertempat di Kampung Sungai Sempa, Slim River, di sini malam kelmarin.

    - Advertisement -

    Majlis yang dimulakan dengan Mesyuarat Jawatankuasa MMP Se-Malaysia ini kemudian diteruskan dengan pengisian kuliah haraki dan diakhiri dengan Ceramah Pelancaran Majlis Muafakat Pondok Negeri Perak.

    Menurut Pengerusi MMP Negeri Perak, Ustaz Mohd Tarmizi Ab Rahman, pondok adalah antara salah satu institusi yang melahirkan kader dakwah di mana turun ke lapangan bagi meneruskan gerak kerja menyampaikan seruan Islam di muka bumi Allah.

    Menurutnya lagi, MMP Negeri Perak dalam perancangan untuk memperkasakan institusi ini dengan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah pondok di setiap kawasan serta membantu melaksanakan gerak kerja penubuhan pondok.

    Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di dalam ucapannya menekankan bahawa sistem pengajian konvensional dan sekolah-sekolah agama yang ada pada hari ini tidak cukup untuk melahirkan golongan ulamak di dalam negara. 

    “Pengaruh negatif negara Barat yang diserap masuk ke Malaysia kini menjadi salah satu punca yang menyekat sistem pendidikan pondok daripada terus subur dan berkembang di tanah air kita ini.

    “Usaha pembukaan pondok ini perlulah didokong oleh semua pihak. Ini kerana, pada akhir zaman yang dihimpit dengan masalah sosial yang sukar dibendung ini, golongan alim ulamak yang lahir dari pondoklah harapan kita untuk menyelamatkan masyarakat,” tegas Razman.

    Kehadiran pada majlis pelancaran itu dianggarkan seramai 300 orang selain turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa MMP Se-Malaysia, Ustaz Ahmad Marzuki Mat Yusof. – HARAKAHDAILY 4/11/2019

    - Advertisement -