PRK Tg Piai: Dilema Tun M dan dilema Melayu

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Yang paling tertekan dalam PRK Tanjung Piai ialah Tun Mahathir. Tekanan sedia ada sudahlah teramat berat. Di mana, setiap hari Tun diasak oleh PKR dan DAP – rakan tahaluf  Tun dalam PH – supaya cepat-cepat berundur daripada jawatan PM. Kini, Tun terpaksa menghadapi PRK ini secara ‘keseorangan’, walaupun kelihatan daripada jauh Tun dilingkungi oleh kelibat ramai ‘kawan-kawan’-nya.

Janji manis ‘kawan-kawan’ Tun M

Yang ada untuk Tun, hanyalah ‘janji manis’ berbentuk sokongan daripada kawan-kawan beliau pada hari penamaan calon dan hari mengundi. Janji manis kawan-kawan tahaluf beliau di dalam PH pastinya ‘semanis’ Manifesto PH dalam PRU ke-14 yang lalu. Kejayaan mereka mengencing rakyat dengan manifesto yang ‘terover‘ manis, menjadikan mereka sanggup menggunakan strategi itu untuk mengencing Tun pula.

Sebenarnya, dalam diam-diam mereka turut merasakan mereka juga telah di’kencing’ oleh Tun. Oleh itu tidak ada salahnya mereka membalas semula ‘kencingan’ itu dalam PRK ini. Ini adalah sebuah kisah ‘kencing mengencing’ yang sangat menyayat hati. Sehingga masing-masing sudah sampai ke tahap ‘kehilangan’ deria bau.

Kencing sesama sendiri

Bagaimana Tun hendak berharap kepada PKR untuk menghulurkan bantuan kepadanya, sedangkan PKR sedang mengerahkan segala strategi bagi ‘menjatuhkan’ Tun daripada puncak kuasa?

Bagaimanakah DAP akan membantu Tun, sedangkan Ronnie Liu menghantar mesej jelas bahawa Tun hanyalah adalah harimau kertas, tanpa Bersatu PH tetap utuh walaupun ada desas-desus rancangan menubuhkan kerajaan baru melalui pintu belakang?

Bagaimanakah PAN akan berkempen untuk calon Melayu Islam, sedangkan mereka bimbang dituduh rasis oleh DAP kerana berkempen bagi pihak yang mendukung agenda ‘maruah Melayu’.

Undi Cina

Tanpa dukungan DAP dan PKR, Tun sangat bermasalah menarik undi Cina di Tanjung Piai pada saat ini. Undi Cina DAP dan PKR dalam PRK sebelum ini, akan mewakili undi protes yang signifikan dalam PRK ini. Sama ada dalam bentuk tidak mengundi, undi rosak ataupun dalam bentuk undi calon BN.

Satu undi Cina menentang PH mempunyai erti yang besar dalam mengukur tahap ketaasuban sokongan kaum Cina kepada agenda ‘bangsa DAP’. Masyarakat Cina perlu diajak untuk memilih integrasi nasional formula Malaysia berbanding mendukung formula supremasi DAP di peringkat kebangsaan yang ingin menghapuskan semua simbol dan kelebihan berkaitan Melayu, Islam dan Bumiputera di negara kita.

Undi Melayu

Dengan itu Tun nampaknya terpaksa berharap kepada sokongan majoriti Melayu di Tanjung Piai. Secara matematiknya, keputusan beliau meletakkan calon Melayu adalah sangat tepat. Namun mengikut pengalaman politik yang lepas, tanpa sokongan Cina di Tanjung Piai sukar untuk mana-mana parti politik mencapai kemenangan di Tanjung Piai.

Untuk merampas undi Melayu daripada PAS dan Umno yang tidak bertanding secara langsung dalam PRK ini, Tun perlu bekerja keras. Landskap politik semasa menunjukkan ramai orang Melayu semakin ‘kecewa’ dan ‘menyesal’ kerana mengundi PH dalam PRK yang lepas. Tambahan lagi, ahli Bersatu pula tidaklah seramai ahli iumno dan PAS di Tanjung Piai.

Reaksi awal orang Melayu

Reaksi di media sosial menampakkan ramai orang Melayu Islam merasa ralat apabila calon BN yang ditunjangi oleh Umno memilih Datuk Seri Wee Jeck Seng sebagai calon. Bahkan ramai juga yang  bukan saja menyalahkan Umno, tetapi turut sama menyalahkan PAS kerana menyokong calon BN yang bukan Melayu Islam. Mereka sangat berharap orang Melayu Islam diberi peluang oleh gabungan Muafakat Nasional.

Tetapi mereka tetap tidak mahu lagi memberikan peluang menang kepada Melayu PH. Kerana Kerajaan PH dikuasai secara ‘bermaharajalela’ oleh DAP. Sekalipun ia secara zahirnya diterajui oleh Tun Mahathir, atau bakal diterajui oleh ‘penunggu setia’ peralihan jawatan PM, setelah Tun berundur.

Undi protes orang Melayu

Undi Melayu juga dijangka akan mengalami undi protes. Tidak mengundi, atau mengundi calon Melayu selain PH. Mungkin ada yang mengundi PH, tetapi atas kapasiti pengaruh Tun M semata-mata. Tidak kerana mendukung PH. Namun, jika itu berlaku ia tetap meningkatkan undi untuk PH.

PAS, Umno, bukan Melayu dan Muafakat Nasional

PAS dan Umno akan berusaha untuk memujuk dan memahamkan pengundi teras mereka agar mengundi calon MCA. Kerana Muafakat Nasional bukanlah muafakat berasaskan bangsa Melayu semata-mata dan bukan-bukan muafakat yang dibuat secara semberono. Ia adalah muafakat yang sangat terancang untuk menyelamatkan negara daripada kleptokrasi ‘bangsa DAP’.

Ia adalah muafakat yang diterajui oleh PAS dan Umno, dengan dukungan  daripada rakan-rakan bukan Melayu dan bukan Islam yang mewakili komponen BN dan komponen Gagasan Sejahtera, termasuklah sayap DHPP di dalam PAS sendiri.

Ada rundingan dan keputusan mesyuarat yang perlu dihormati dan dipatuhi, jika mahu menjadikan gabungan Muafakat Sejahtera menjadi kuat dan mampu memberikan saingan hebat kepada PH dalam setiap PRK ataupun PRU akan datang.

Cabaran memahamkan akar umbi

Walaupun PAS dan Umno dilihat terpaksa juga bergelut untuk memahamkan golongan akar umbi mereka tentang kewajaran mengundi calon MCA yang bukan Melayu Islam, tetapi akar umbi Umno sebenarnya telah lama memahami tentang kepentingan mematuhi keputusan pucuk pimpinan tertinggi dalam hal yang agak tumit seperti ini.

Begitu juga dengan akar umbi PAS. Mereka yakin kadang-kadang terpaksa membuat keputusan yang kurang popular kerana ada beberapa pertimbangan lain yang lebih utama yang perlu didahulukan.

Pendek kata, perjuangan menghadapi PH dang ‘bangsa DAP’ bukanlah mudah, senang dan singkat. Muafakat Nasional perlukan kepada kepelbagaian strategi dan pertambahan rakan strategik yang mewakili rakyat Malaysia berbilang bangsa dan berbilang agama bagi menjayakan hasrat yang besar itu.

Penutup

Jadi dapatlah kita rumuskan bahawa Tun Mahathir dan Bersatu adalah pihak yang paling tertekan dalam PRK ini. PRK ini akan menjadi kayu ukur kekuatan sebenar Tun Mahathir dan Bersatu.

Sementara yang paling kurang tertekan ialah ‘kawan-kawan’ Tun di dalam PH. Mereka seolah-olah sangat ingin melihat Tun ‘terkubur’ dalam PRK ini.  Namun begitu, jika  kemenangan tiba-tiba berpihak kepada Tun dan Bersatu dalam PRK ini, mereka pula yang akan menjadi pihak yang paling tertekan dengan pengaruh ‘Harimau Kertas’ yang semakin kukuh.

Jika PH menang, PH tentulah sekali lagi berpeluang untuk terus menerus ‘mengencing’ rakyat. Semoga hari itu tidak akan berlaku lagi. – HARAKAHDAILY 4/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -