SK Kg Gudang anjur Sambutan 100 Tahun

- Advertisement -

LARUT: Sekolah Kebangsaan Kampung Gudang (SEGUDANG) bakal mencatat sejarah tersendiri apabila akan mengadakan Karnival Sambutan 100 tahun SEGUDANG di sekolah itu, di sini pada 9 hingga 10 November ini.

- Advertisement -

Pelbagai acara telah disusun bagi mengisi kemeriahan sambutan antaranya pertandingan sepak penalti, memancing udang galah, masakan tradisional, buskers, hadrah dan banyak lagi.

Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya mendapat jemputan khas bagi meraikan sambutan penuh bersejarah tersebut, bagaimanapun beliau mempunyai komitmen tugas lain pada tarikh sama.

Sehubungan itu Ustaz Khalil melapangkan masa hadir awal ke SEGUDANG bertemu kepimpinan dan warga kerja sekolah bagi merasai sendiri bahang persiapan sambutan tersebut, kelmarin dahulu.

“SEGUDANG mula dibuka pada tanggal 20 April 1919 berdasarkan rekod buku log tulisan tangan yang masih tersimpan rapi di bilik guru dan ternyata sepanjang 100 tahun telah banyak melahirkan ilmuan cerdik pandai dan berjasa kepada masyarakat.

“Turut tercatat dalam rekod tersebut, guru besar pertama dikenali sebagai Cikgu Yusuf Baginda,” cerita Guru Besar SEGUDANG, Azharun Wanik kepada Ustaz Khalil sambil menunjukkan buku log tersebut.

Cikgu Azharun jelas teruja ketika bercerita mengenai buku log yang mana usianya melebihi 100 tahun, tetapi masih berkeadaan baik dan menjadi kenangan pihak sekolah untuk tatapan generasi mendatang.

“Adalah menjadi harapan agar segala khazanah dan bahan sejarah tersebut terus dipelihara supaya generasi akan
datang mengetahui akan kewujudannya,” ujar Ustaz Khalil pula.

Beliau amat menggalakkan penyertaan masyarakat setempat dan mempelawa kehadiran para Alumni SEGUDANG kembali ke sekolah bagi bersama-sama meraikan Sambutan 100 Tahun tersebut.

Beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan bagi membantu menjayakan program yang bermakna bagi warga SEGUDANG dan masyarakat setempat ini. – HARAKAHDAILY 3/11/2019

- Advertisement -