PAS lapor kenyataan hasutan perkauman LGE

- Advertisement -

PARIT BUNTAR: PAS Kawasan Parit Buntar telah membuat satu laporan polis terhadap tuduhan fitnah oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP di Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Serai, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Ianya berikutan kenyataan tidak berasas telah dilemparkan oleh Guan Eng terhadap PAS dan Umno dalam laporan akhbar The Sun bertarikh 29 Oktober 2019 yang bertajuk ‘Orang bukan Islam akan hilang hak jika PAS, Umno berkuasa’.

Menurut Naib Yang DiPertua PAS Parit Buntar, Ahmad Azhar Sharin, butiran dinyatakan Guan Eng sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan berunsur satu hasutan antara kaum dalam negara yang hidup aman damai ini.

‘’Dalam laporan tersebut, beliau menyatakan ‘Penyatuan Umno-PAS boleh membawa kepada situasi di mana bukan muslim tidak lagi boleh berkumpul untuk melakukan solat, dan produk dan perniagaan mereka juga akan diboikot’.

‘’Kenyataan seperti itu berunsur hasutan dan fitnah kepada PAS dan juga Umno. Penyatuan ini sama sekali tidak mengenepikan hak orang-orang Islam dan juga orang-orang bukan Islam dalam negara ini seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Negara kita.

‘’Kenyataan ini diteruskan adalah kerana sebelum ini Lim Guan Eng juga  pernah membuat kenyataan berunsur hasutan pada bulan Mac yang lalu di mana Lim Guan Eng menyatakan penyatuan Umno dan PAS adalah ‘mengisytiharkan perang ke atas bukan Melayu’.

“Jadi saya harap polis dapat menyiasat akhbar, pimpinan serta pihak-pihak yang terlibat supaya tindakan wajar diambil bersesuaian dengan undang-undang yang ada dalam negara ini,’’ jelasnya.

Antara pimpinan PAS Parit Buntar yang turut hadir bersama adalah Timbalan Yang DiPertua, Mohd Hayat Mokhtar dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Parit Buntar, Shaiful Amir. – HARAKAHDAILY 3/11/2019

- Advertisement -