PTA2019: Demi Islam, AMAL bersedia

    - Advertisement -

    BALIK PULAU: Perkhemahan Tahunan Amal 2019 (PTA2019) telah melabuhkan tirai dengan Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man di Kem White Resort, di sini baru-baru ini.

    - Advertisement -

    Ketua dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin dan Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden serta Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang Ustaz Muhamad Fauzi Yusof antara yang hadir merangsang peserta.

    PTA2019 memecah tradisi sebelum ini apabila menampilkan konsep rejimental iaitu semua peserta dipecahkan secara rawak dan dikumpulkan dalam satu kumpulan yang dinamakan ‘kompeni’ berbeza dari sebelumnya mengikut kontinjen negeri-negeri.

    Peserta juga tidak perlu lagi membina khemah kerana telah disediakan penginapan mengikut kompeni masing-masing serta penyediaan makanan secara berpusat bagi membolehkan tumpuan sepenuhnya kepada pengisian yang telah dirancang

    Namun, menurut Pengarah PTA2019, Zukri Ahmad, konsep ini tidak semestinya wajib dikekalkan pada PTA akan datang di mana ianya bergantung kepada situasi dan kebolehcapaian tuan rumah dalam melaksanakan program PTA.

    Selain pertandingan rutin seperti Amal Race, Trafik dan Pengiring, Water Rescue, Bantu Mula, Kawad Kaki, Compas Marching, Masakan Survival dan Kemahiran Kejuruteraan, PTA2019 juga menampilkan slot baru iaitu Pertandingan Khas Tarbiah.

    Antaranya ujian hafazan dan semakan asas fardu ain dan juga Pengurusan Jenazah, sementara aktiviti pembinaan gajet di khemah masing-masing, diubah pada kali ini dengan hanya perlu membina Model Gajet.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Norazaman Ishak, PTA2019 akan memberikan nafas baru kepada semua peserta kerana mereka dapat menimba pengalaman baru dengan konsep rejimental yang diperkenalkan.

    Beliau berharap agar semua anggota AMAL dapat menerima segala arahan pimpinan serta melaksanakannya dengan penuh ikhlas dan beramanah bagi memastikan hala tuju parti berjalan lancar.

    Ir Hj Kharil Nizam dalam ucapannya menyatakan komitmen Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk menjadikan AMAL sebagai ejen perpaduan ummah yang boleh bertindak sebagai jambatan kepada masyarakat dalam segala hal yang melibatkan kebajikan rakyat.

    Dato’ Tuan Ibrahim pula dalam ucapannya berkata, beliau meneliti hampir semua lagu-lagu dalam parti dan membuat kesimpulan lagu AMAL adalah yang terbaik kerana meletakkan asas ‘Beramal Kerana Allah’ menjadi dasar kehidupan seorang Muslim.

    Oleh itu katanya setiap anggota perlu menelusuri setiap bait lirik lagu AMAL untuk dijadikan panduan serta kekuatan dalam melaksanakan tugasan sejajar dengan tema PTA2019 iaitu ‘Demi Islam, Amal Bersedia’. – HARAKAHDAILY 2/11/2019

    - Advertisement -