Ihsan Care bina surau Orang Asal Kg Tebang Baru

- Advertisement -

GERIK: Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Perak, Razman Zakaria telah menyantuni masyarakat di perkampungan Orang Asal Kampung Tebang Baru, Tasik Banding, di sini semalam.

- Advertisement -

Program anjuran bersama NGO Ihsan Care dan Pusat Khidmat Masyarakat Gunung Semanggol ini turut dihadiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Gerik, Ustaz Khalid Hassan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Gerik, Hamidi Ismail serta Ahli Jawatankuasa PAS Gerik.

“Program ini berlangsung bagi melihat perkembangan pembinaan surau hasil sumbangan orang ramai bagi mendirikan sebuah surau di sini. Alhamdulillah, tapak pembinaan surau telah dibersihkan sebaiknya oleh penduduk.

“Berikutan hasil infak orang ramai, kini kita dalam proses mendirikan sebuah surau buat penduduk di sini bagi memudahkan urusan NGO Ihsan Care menjalankan aktiviti bersama masyarakat kampung yang majoritinya adalah beragama Islam.

“InsyaAllah dalam tempoh bulan November ini, sukarelawan PAS yang terdiri daripada Jabatan Amal Gerik dan ahli PAS Gerik akan dikerahkan agar bergotong-royong mendirikan surau ini bersama-sama penduduk.

“Sumbangan dan infak orang ramai amat diperlukan bagi mendokong usaha baik yang telah dirancang ini. Oleh hal yang sedemikian, kami juga mengaluzalukan bantuan tenaga kerja orang ramai bagi proses melengkapkan pembinaan surau ini,” ujar Razman yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Menurut Tok Batin Kampung Tebang Baru, Sabri Uda, beliau menyambut baik usaha yang dibawakan ini berikutan jumlah penduduk Islam yang ramai kira-kira 16 keluarga Muslim.

Setelah melawat Kampung Tebang Baru yang merupakan kampung angkat Ihsan Care itu, rombongan juga berkesempatan menyantuni penduduk Kampung Cheong yang terletak berhampiran dengannya.

Bagi menyempurnakan hasrat ini, Ihsan Care mengharapkan sumbangan dan infak orang ramai yang boleh disalurkan terus ke akaun Maybank Ihsan Care 5582 4821 4392.

Atau melalui Bank Islam 08077010029960 dan di maklumkan jumlahnya kepada Ahmad Rosman di talian 010-2293554 atau Ustaz Mohd Azman Chat 013-4406911. – HARAKAHDAILY 1/11/2019

- Advertisement -