YB Selama bantu penduduk walau tanpa peruntukan

    - Advertisement -

    LARUT: Cabaran besar buat Adun bukan kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat disamping menambahbaik infrastruktur setempat adalah kerana tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat yang mewakili parti pembangkang.

    - Advertisement -

    “Sedangkan rakyat di kawasan pedalaman kini khususnya di Dun Selama dan sekitarnya kini sedang berdepan cabaran banjir berikutan situasi hujan lebat yang berlarutan beberapa hari.

    “Tunggu wakil rakyat dikebumikan dulu barulah para Menteri berlumba-lumba umum peruntukan turun berjuta-juta,” ulas Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin terhadap perkembangan sedang berlaku di Tanjung Piai.

    Ustaz Mohd Akmal ditemui ketika turun padang memantau dan bertemu sendiri penduduk setempat yang menjadi mangsa banjir kali ini di Kampung Ulu Nor, Taman Merdeka, Taman Selama lndah dan Pasar Selama, di sini kelmarin dahulu.

    Beliau mengenalpasti punca kejadian di lokasi utama kawasan yang sering dilanda musibah banjir tersebut untuk dimajukan kepada pihak berwajib iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Selama (MDS).

    Kebanyakan penduduk yang ditemui rata-ratanya mengadu mengenai punca sistem perparitan, longkang dan saliran yang sempit bagi mengekang aliran besar air hujan dan sungai di mana mengalir dengan deras.

    Menurut Ketua Penolong Pegawai Daerah Selama, Mohd Amzari Mohd Arzami, lokasi tersebut sebenarnya mudah terdedah dengan fenomena banjir disebabkan kedudukannya berada di paras kawasan yang agak rendah.

    “Selain daripada itu, ada juga di antaranya kedudukan rumah kediaman mereka terletak berhampiran dengan sungai dan parit tali air yang mana sudah pasti terdedah kepada ‘banjir tradisi’ setiap kali musim hujan,” tambahnya lagi.

    Walaubagaimanapun, Ustaz Akmal tetap komited dengan berusaha memajukan cadangan penyelesaian khususnya penyelenggaraan parit dan longkang sebagai antara langkah menghadapi keadaan tersebut.

    Sementara itu, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan bantuan harian kepada mangsa banjir bolehlah berhubung dengan Pusat Khidmat Adun Selama dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 31/10/2019

    - Advertisement -