Timbalan Menteri tuduh dan persepsikan Kelantan?

- Advertisement -

RAKYAT Kelantan pasti merasa amat kecewa apabila Timbalan Menteri Luar Bandar semasa sesi penggulungan Bajet 2020 telah mengelak daripada menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ia berkaitan dakwaan Pengerusi KESEDAR pada 21 Oktober baru-baru ini mengatakan, “geran yang turun kepada MPKK telah disalahgunakan untuk program parti di Kelantan”.

Walaupun kemudiannya Speaker Dewan menyebut bahawa Sivarasa akan memberikan jawapan bertulis kepada soalan-soalan berkaitan, namun kita amat mengharapkan jawapan itu konkrit dan munasabah.

Ia wajib berasaskan bukti sahih bagi membuktikan tuduhan Pengerusi KESEDAR yang juga merupakan Penyelaras MPKK Negeri Kelantan sehingga mewajarkan penubuhan MPKK Persekutuan.

Meneliti jawapan Timbalan Menteri semalam kelihatan wujud unsur ‘escapisme’ apabila beliau menegaskan bahawa kewujudan sistem MPKK Persekutuan adalah perkara lama menyerupai kewujudan JKKKP satu masa dahulu.

Mekanisma lama katanya, yang pernah diamalkan Kerajaan BN di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. Rakyat semakin jemu dengan hujah dan alasan serta sandaran kepada kerajaan terdahulu yang sering digunakan oleh PH sebegini.

Seharusnya YB Timbalan Menteri memberikan logik dan jawapan sebenar kepada Dewan Rakyat akan asas pembentukan MPKK(P) bermula Januari nanti. Jangan semata-mata menelan terus alasan yang disebut oleh Penyelaras MPKK Persekutuan Negeri Kelantan.

Sehingga kini langsung tiada pembuktian kepada tuduhan Sazmi yang mengatakan, “Kita melihat perjalanan MPKK negeri sejak di awal penubuhan pada Mac lalu, terdapat penyalahgunaan dana dipelopori pihak parti pembangkang dengan menggunakan dana untuk program parti”.

Kita merasa pelik, bagaimana mungkin program-program yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian sendiri iaitu dalam tiga Skop Utama merangkumi aspek Ekonomi, Keceriaan dan Kesejahteraan telah disalah guna untuk program parti.

Bersandarkan tiga skop tadi, pihak MPKK di semua Mukim telah menterjemahkannya menjadi program Gotong-royong Bersih Kubur, Mencuci Longkang dan Persekitaran Kampung, Pertandingan Keceriaan Halaman Rumah, Kursus Pembuatan Kek, Membina Pintu Gerbang Kampung, Ganyang Aedes, Sambutan Bulan Kemerdekaan dan aktiviti-aktiviti lain yang hampir serupa sahaja.

Jadi di mana penyalahgunaan dana MPKK untuk program parti pembangkang? Tidak mungkin gotong-royong bersih kubur dikatakan politik. Adakah kubur yang bersih hanya untuk kebumi mereka daripada parti pembangkang sahaja? Atau program basmi nyamuk aedes bersifat politik? Nyamuk hanya menggigit orang PAS?

Tuduhan Sazmi perlu dibuktikan agar keputusan Kementerian mewujudkan MPKK Persekutuan akan dirasakan wajar di mata rakyat!

Antara lain disebut bahawa pihak Kerajaan Negeri tidak memberi kerjasama baik dalam memperkasakan program-program untuk rakyat. Ini juga perlu kepada penelitian dan pembuktian apakah perkara-perkara yang kononnya tidak diberikan kerjasama itu? Atau ia hanya satu lagi tuduhan melulu?

Pihak Kementerian harus membersihkan nama Kerajaan Negeri Kelantan dalam hal ini dan jangan sama sekali terperangkap dalam politik kebencian yang sedang merajai jiwa sebahagian mereka di Kelantan saat ini.

Jika benar wujud kes, sila dedah siapa, parti mana dan laporkan sahaja kepada SPRM tanpa perlu membina persepsi serta tanggapan buruk kepada Negeri Kelantan.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden Pertubuhan Pertahan Kelantan – HARAKAHDAILY 31/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -