Percaturan badan luar terhadap politik Malaysia

- Advertisement -

CAMPUR tangan orang luar

Kerajaan PH di Malaysia mula wujud pada 2015 dianggotai oleh DAP, PKR, PAN dan Bersatu. Secara umumnya, rakyat Malaysia sudah tahu tentang sejarah setiap pertubuhan tersebut. Cumanya, apa yang membimbangkan kita ialah persoalan tentang kaitan parti-parti ini dengan kuasa luar seperti Amerika, Israel dan sebagainya. Di dalam artikel-artikel saya sebelum ini telah pun menceritakan beberapa cabang Amerika, yang menjadi kuda tunggangan Israel.

Dalam artikel sebelum ini juga saya ada huraikan tentang Grand Chessboard, strategi yang diilhamkan boleh Zbigniew Brzezinski yang diterbitkan pada 1997. Pastinya Malaysia tidak dapat lari dari percaturan tersebut apatah lagi Malaysia berada dalam kawasan Eurasia yang menjadi sasaran. Dalam masa yang sama juga, kawasan Asia Tenggara hari ini turut menjadi perhatian China untuk meluaskan empayarnya.

China seperti biasa, suka mengintai peluang-peluang di banyak negara. Rancangan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan pun China sudah ambil peranan untuk memberi pinjaman USD33 Billion. Tak pelik kalau China juga turut mengintai peluang di Malaysia ‘bersempena’ pemerintahan PH pada hari ini. Logiknya Zaman PH ini peluang itu terbuka luas dan bersedia untuk dirembat secukupnya.

Sebab itulah kita melihat pelbagai cadangan-cadangan bodoh diperkenalkan. Hakikatnya ada tujuan tersirat di belakang tabir. Apabila kita membaca sejarah-sejarah konflik di Asia Barat, di Benua Afrika dan sebagainya, kita akan saksikan peranan-peranan kuasa belakang tabir untuk merembat kepentingan negara itu seperti petroleum, laluan kapal dan sebagainya.

Pendedahan Razali Abd Rahman

Antara yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan hubungkait DAP dan PKR, serta media-media di Malaysia ini dengan Amerika dan Israel. Bekas Pegawai Khas Lim Guan Eng, Mohamed Razali Abdul Rahman pernah mendedahkan hubungan DAP dengan Israel beberapa tahun lepas. Sehingga kini, masih lagi tiada sebarang tindakan undang-undang ke atasnya. Beliau mendedahkan bahawa DAP menerima USD300 Juta daripada Israel era PRU13.

Antara yang lain, beliau turut mengatakan bahawa seramai 17 pimpinan DAP menerima latihan khusus daripada Israel. Mohamed Razali Abdul Rahman juga ada menyebutkan janji Lim Guan Eng sekiranya Putrajaya berjaya mereka tawan, mereka akan serahkan Port Dickson sebagai ‘base’ tentera Israel yang baru. Kawasan Port Dickson di Selat Melaka adalah antara laluan penting perkapalan.

Setelah mana PH menang PRU14 pada Mei 2018, Anwar Ibrahim diberi pengampunan, dibebaskan dari penjara dan memilih untuk bertanding di Parlimen Port Dickson yang dijadualkan pada Oktober 2018. 15 September 2018, Saifuddin PKR menyatakan bahawa Anwar sendiri yang memilih Port Dickson untuk bertanding. Adakah Anwar memilih bertanding di Port Dickson itu satu kebetulan atau memang terancang?

Anwar Ibrahim yang memimpin PKR merupakan individu yang disyaki terlibat dengan agenda Amerika yang menjadi proksi Israel. Pada 11 Februari 2019, National Endowment Of Democracy (NED) yang merupakan pertubuhan Amerika secara rasminya menggilap Anwar dalam web rasminya [1] serta beberapa penglibatannya dalam dunia ‘Amerika’ seperti Library Of Congress.

Agenda DAP sepertimana pendedahan

Banyak sebenarnya fakta-fakta yang berkaitan dengan PKR sehingga saya merasakan ia bukan lagi satu rahsia. Apa yang masih kelihatan dirahsiakan ialah DAP. Sekiranya benar apa yang didedahkan oleh Razali Abd Rahman yang saya nyatakan di atas tadi, memang tidak pelik kalau mereka akan menyediakan Port Dickson sebagai pangkalan untuk Israel. Seolah-olah laluan Selat Melaka ingin ‘dicerobohi’ oleh pihak pihak tertentu

Razali Abd Rahman dalam pendedahannya juga mengaitkan DAP dengan Israel dan juga agenda Kristianisasi antarabangsa. Antara yang didedahkan ialah diadakan majlis makan malam di Hotel Red Rock pada 5 Mei 2011 sempena meraikan kemenangan DAP di Sarawak. Susulan daripada majlis makan malam itu, para paderi telah berikrar untuk memastikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.

Antara paderi yang hadir ialah Ketua Paderi Afrika Selatan yang menyatakan bahawa mereka akan fokus di Semenanjung Malaysia pula, dan menjanjikan penyaluran dana melalui parti DAP dan NGO-NGO Kristian. Antara lain, beliau mendedahkan pakatan ‘belakang tabir’ antara pimpinan DAP dan Anwar Ibrahim untuk membawa masuk pimpinan Komunis.

Dikatakan ia dibincangkan dalam Mesyuarat Pakatan Rakyat. Nge Koo Ham dan Nga Kor Ming mencadangkan hal tersebut dan dijawab oleh Anwar “As long saya jadi PM tak ada masalah, kita akan bagi dia masuk”. Bahkan Mat Sabu pula mencadangkan supaya Chin Peng diberi gelaran Tun. Antara yang dikatakan, Chin Peng merupakan seorang pejuang kemerdekaan yang patut dihormati dan patut disanjungi. Tak salah kalau kita beri gelaran tertinggi kerajaan.

Kaitan Anwar dengan badan-badan Amerika

Umum mengetahui bahawa NED adalah sebuah pertubuhan yang dibina oleh Amerika pada 1983. Mengikut objektif penubuhannya, NED sealiran dengan United States Agency International Develompent (USAID) 1961, National Democratic Institute (NDI) 1983, International Republican Institute (IRI) 1983, Central Intelligence Agency (CIA) 1947, Center For International Private Enterprise (CIPE) dan sebagainya.

Selain itu, Anwar Ibrahim yang juga merupakan pimpinan PKR itu antara penulis Journal Of Democracy dengan tajuk ‘Conforting Authoritarianism’. Pertubuhan ini merupakan penerbitan rasmi NED ditubuhkan sejak 1990. Antara penulis jurnal ini juga ialah Zbigniew Brzezinski yang merupakan pengarang Grand Chessboard yang diceritakan di awal tadi.

Dalam Information Clearing House [2]  menyiarkan tulisan Tony Cartalucci, bertarikh 18 Oktober 2015 yang bertajuk US Pacific Hegemony vs. a Rising China. Tony Cartalucci merupakan penganalisis majalah online ‘New Eastern Outlook. Beliau menyatakan;

“Across Southeast Asia, the United States through covert subversion has attempted to string together a supranational bloc constructed by obedient client regimes. These efforts can be best seen with US support through an extensive network of nongovernmental organizations (NGOs) of Aung San Suu Kyi in Myanmar, Anwar Ibrahim in Malaysia, and the Shinawatra dynasty in Thailand. The Philippines have remained subservient to the will of Wall Street and Washington more or less for over a century, while Vietnam has been witnessing a steady increase in US-backed destabilization”

PKR Dalam jaringan Liberal-International (LI)

Selain itu, NED sendiri mengisytiharkan penglibatan Anwar Ibrahim dalam Democracy Award 2007 dan terlibat dalam pendanaan Library Of Congress [Gambar 1]. Selain daripada NED, Anwar Ibrahim juga merupakan pembentang Center For International Private Enterprise (CIPE) [3] yang saya nyatakan tadi. CIPE juga lebih kurang adik-beradik dengan NED yang berada di bawah Amerika.

Antara kertas kerja yang dibentangkan oleh beliau bertajuk ‘Universal Values of Democracy and the Market Economy’. Kita perlu faham bahawa Demokrasi itu membuka peluang Liberal. Iaitu kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pimpinan negara. Tidak pelik kalau Anwar Ibrahim melontarkan idea-idea ala Liberal kerana semenangnya PKR itu sendiri secara rasmi tersenarai dalam laman rasmi jaringan Liberal sedunia [4]

Liberal International (LI) meletakkan 3 misi utama, iaitu Liberalism, Human Rights dan Free Trade And Development. Contoh yang saya katakan peluang Liberalism untuk ‘mempergunakan’ demokrasi ialah dari sudut hak asasi manusia. LI menyatakan: ‘Human rights are a core component of liberalism. We believe that these rights are a pre-condition for progress and stability and can only be secured by true democracy’

Antara lain yang dinyatakan dalam web tersebut berkenaan agenda mempergunakan ruang demokrasi untuk menjayakan Liberal: ‘Liberals believe that the poverty of large parts of the world can be alleviated through freedom to travel and to trade and to this end are committed to the further opening of ‘western’ markets for products from the developing world. But a social market economy has to be accompanied by democratic institutions.’

NDI, LI dan Manifesto Andorra

Selain itu Liberal International (LI) juga bekerjasama dengan National Democratic Institute (NDI) yang ditubuhkan oleh Amerika sejak 1983. Pada 16 Julai 2008 NDI telah mengeluarkan kenyataan tentang penangkapan Anwar Ibrahim. Di sana banyak lagi fakta yang pernah terdedah, tetapi dilenyapkan semula, contohnya Ucapan Lorne Corne Presiden IRI, dalam program ‘6th Annual Conference’, Center for the Study of Islam & Democracy (CSID).

Pada 20 Mei 2017, Liberal seluruh dunia (LI) berkumpul di Andorra ‘mencipta’ sejarah apabila sebulat suara menandatangani Manifesto Liberal yang baru, yang dinamakan Andorra Manifesto. Jawatankuasa penggubalan antaranya Izzah Anwar. Boleh rujuk manifesto mereka pada pautan di nota kaki [5]. Antara yang disuarakan berkenaan ‘memperjuangkan’ hak asasi manusia termasuk kebebasan golongan LGBT.

Selain itu pada 7 April 2006, Anwar dalam wawancara dengan Julia Kirby, Research Assistant, Pew Forum on Religion & Public Life [6]. Antara ucapan beliau berkenaan badan badan Amerika beliau menyatakan;

“I know of organizations being harassed, and people are worried that they are identified as a threat simply because of their religious beliefs or cultural background. The government can work to moderate and build trust with the people. I have cited organizations, such as USAID, the National Endowment for Democracy, the International Republican Institute, the National Democratic Institute, the Peace Corps and various other think tanks that take the more liberal, open view without compromising the fundamentals. You see, there is always this difficulty that one small incident will dismantle the entire fabric of our agreement, and this is really difficult for us to accept”.

Kerja IRI Dan Tajaan NED Di Malaysia

Selain itu, apabila kita meneliti rancangan Amerika yang dengan kewujudan International Republican Institute (IRI). Kita boleh lihat dalam ucapan Presiden Bush pada 2005 [7], yang dibukukan dalam Public Papers Of The Presidents 2001-2009 halaman 818 [Gambar 2]:

“I appreciate the work IRI is doing to advance the cause of liberty. For more than two decades, IRI has been at the forefront of democratic change in more than a hundred countries. You’ve trained the next generation of leaders, you’ve strengthened political parties, you’ve monitored elections, and you’re helping to build civil societies”

Ini menunjukkan bahawa pertubuhan- pertubuhan Amerika seperti IRI menjadi instrumen penting dalam usaha mereka untuk masuk campur dalam politik Malaysia. Ditambah pula dengan agenda Kristianisasi dan pengaruh China yang diceritakan di awal tadi. Pasca PRU14, dalam satu forum yang diadakan di CSIS, wakil International Republican Insitute (IRI) dengan bangganya menceritakan bahawa mereka menyalur dana NED kepada pembangkang sejak 2002 lagi untuk menjatuhkan kerajaan.

Dana-dana yang besar perlu disalurkan bagi menjayakan agenda mereka. Jika kita lihat dalam web rasmi NED, mereka secara terus terangnya melaporkan tajaan-tajaan mereka di Malaysia [8]. Antara yang mendapat dana NED, ialah IRI itu sendiri (laporan 2018), sebanyak USD430,000 khas untuk operasi di Malaysia. Matlamat pengoperasiannya ialah;

“Untuk menyokong peralihan demokrasi Malaysia berikutan pilihan raya 9 Mei yang bersejarah, Institut ini akan berusaha untuk mengukuhkan keupayaan pegawai kerajaan dan pembangkang yang dipilih untuk memenuhi mandat dan keperluan penduduknya melalui promosi amalan tadbir urus demokratik, warganegara yang berorientasikan rakyat dan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membina konsensus di sekeliling kebimbangan bersama. Institut ini juga akan terus menyokong peningkatan penglibatan belia dalam kehidupan politik dan sivik melalui usaha, untuk mengukuhkan platform berwacana mengenai cabaran utama yang dihadapi negara dan juga cara untuk terlibat dengan pemimpin kerajaan dan parti politik”.

Ukur idealogi perjuangannya, bukan janji manisnya

Dalam kerencaman ini kita dapat lihat betapa wujudnya usaha-usaha kuasa luar untuk campur tangan dalam politik Malaysia. Tak pelik kalau mereka sedang caturkan sesuatu sama ada nak kuasai Selat Melaka, atau menguatkan pengaruh China, atau kepentingan Amerika. Apabila kita lihat di Malaysia hari ini yang diperintah di bawah PH, kita tidak nampak apa ‘pembaikan’ yang dilakukan sepertimana janji manis manifesto mereka.

Kalau nak kata kurangkan hutang, tidak berkurang pun. Makin bertambah. Tanah Kampung Baru yang merupakan ‘lokasi panas’ sedang ‘diusahakan’ untuk dirembat. Warga asing lebih mudah memiliki hartanah dalam negara sejak turunnya harga lantai kepada RM600k. Belanjawan kapitalis dipersembahkan dengan penuh penggula-gulaan. Komik yang berunsur idealogi China tersebar secara meluas.

Penggunaan Bahasa China semakin subur secara rasmi. Golongan LGBT mendapat tempat dan suaranya di’up‘kan oleh media. Apa yang kita lihat, itulah akibatnya terlalu percaya dengan orang kafir. Kita perlu meneliti hal ini dalam keadaan befikir, bukan emosi. Apabila kita meneliti satu persatu, kita akan dapati bahawa semua isu di atas berpunca daripada idealogi perjuangan sesebuah parti. Ya, kita perlu ukur dari segi idealogi perjuangannya, bukan janji manisnya.

Sebab itulah pentingnya kita memahami idealogi perjuangan sesebuah parti. Kesilapan kita sebelum ini hanya diukur kepada Sekular Umno sehingga ramai tertipu dengan slogan ‘Asal Bukan Umno’. Sedangkan PKR DAP dan sebagainya sama juga teruknya. Dengan Liberal, Sekular, Feminis, Kapitalis dan banyak lagi. Dahulu Umno dijatuhkan apabila didakwa dengan penyelewengan duit, dan korupsi. Tetapi hari ini PH sama juga, didakwa dengan pelbagai isu seperti terowong, banglo dan sebagainya.

[1]    https://www.ned.org/introduction-of-anwar-ibrahim/

[2]http://www.informationclearinghouse.info/article43178.htm

[3]http://www.developmentinstitute.org/presenters/

[4]https://liberal-international.org/members/pkr_malaysia/

[5]https://liberal-international.org/who-we-are/our-mission/landmark-documents/political-manifestos/liberal-manifesto-2017/#jump-English

[6] https://www.pewforum.org/2006/04/07/islam-in-southeast-asia/

[7]https://books.google.com.my/books?id=TtUc4s1BCqwC&pg=PA818&lpg=PA818&dq=appreciate+the+work+IRI+is+doing&source=bl&ots=9aHiv7y0Cy&sig=ACfU3U1J7hCruAedYJsyNy0uMogKpJdFIw&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwjU08rujMHlAhVEWX0KHdSyBNMQ6AEwAHoECAEQAQ#v=onepage&q&f=false

[8]https://www.ned.org/region/asia/malaysia-2018/HARAKAHDAILY 31/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -