Pendidikan PAS Perak dan PERMATA jalin hubungan

- Advertisement -

LARUT: Lajnah Pendidikan PAS Negeri Perak telah mengadakan program Ziarah dan Jalinan Mahabah dengan Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (PERMATA) di Maahad Tahfiz Tarbiyah Al-Ummah, Batu Kurau, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Pertemuan tersebut dalam rangka menjalin hubungan kerjasama yang erat antara Lajnah Pendidikan PAS Perak dengan PERMATA selaku NGO di bidang pendidikan terutama melibatkan pengurusan dan kemajuan institusi diurus tadbir kedua pihak.

Lawatan ini diketuai Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Perak, Dr Khaled Mat yang berharap jalinan mahabah dan ukhuwah tersebut dapat diperluas kepada kolaboasi kedua pihak untuk bersama menjulang tinggi agenda pendidikan Islam.

Antara hasrat terdekat kata beliau, adalah untuk menjadikan Maahad Tahfiz Tarbiyah Al-Ummah sebagai model kepada Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) bagi negeri Perak yang dibangunkan tidak lama lagi.

Rombongan telah dirai Presiden PERMATA, Ustaz Manolito Mohd Dahlan di mana turut memperkenalkan NGO tersebut selaku penaung kepada seluruh institusi tahfiz dalam negara serta berperanan memperkasakannya.

Ustaz Manolito yang juga Mudir Maahad Tahfiz Tarbiyah Al-Ummah juga menerangkan bahawa pihak PERMATA turut berusaha memastikan institusi tahfiz di bawahnya dapat melahirkan huffaz berkemampuan untuk menyampaikan dakwah di lapangan.

Ketika ini menurut beliau, terdapat 400 maahad tahfiz yang berdaftar dengan PERMATA sebagai ahli bersatu, selain terdapat juga persatuan tahfiz negeri-negeri di mana bernaung menjadi ahli bersekutu. – HARAKAHDAILY 31/10/2019

- Advertisement -