PAS Batu Gajah santuni mangsa banjir di Siputeh

- Advertisement -

BATU GAJAH: Skuad Kebajikan PAS Kawasan Batu Gajah telah mengadakan Ziarah Pasca Banjir 2.0 menyantuni keluarga mangsa-mangsa banjir di Kampung Piandang Baru, Siputeh, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Lawatan dari rumah ke rumah tersebut diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Batu Gajah, Ismail Ariffin bersama Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan Muslimat PAS Batu Gajah.

Rombongan telah mengemaskini perkembangan semua keluarga tersebut setelah pulang ke kediaman mereka, selain turut menyerahkan sumbangan berupa wang dan barangan.

Turut serta adalah Bendahari dan Penolong Setiausaha PAS Batu Gajah iaitu Mohd Salim Hassan dan Badrul Isam Harun yang ketika sama mengadakan tinjauan ke lokasi punca banjir tersebut.

Delegasi PAS sependapat dengan keluhan penduduk bahawa keadaan sempit terowong air (box culvert) tidak dapat menampung kuantiti air sungai yang naik mendadak sebagai penyebab banjir tersebut.

Luah penduduk, mereka terpaksa menghadapi keadaan itu saban tahun dan amat berharap pihak berkuasa tempatan memberi perhatian serius dengan memperbesarkan terowong air di bawah jalan besar Siputeh – Parit itu.

Komandan Jabatan Amal Malaysia Batu Gajah, Wan Hammad Wan Alias yang mengadakan beberapa siri siasatan juga mengakui hal tersebut boleh menyebabkan risiko keselamatan kepada penduduk.

Beliau menggesa kebimbangan penduduk ditangani dan masalah tersebut diselesaikan oleh pihak berkuasa sebelum sesuatu yang buruk terjadi.

Orang ramai diseru untuk sama menjayakan usaha PAS Kawasan Batu Gajah dengan sumbangan ke akaun Maybank 5581 1850 1990. – HARAKAHDAILY 31/10/2019 

IMG 20191031 WA0019

- Advertisement -