Masa untuk PAN kembali ke pangkal jalan

- Advertisement -

PAN dinasihat untuk menumpukan pembinaan suasana rahmah di dalam parti itu dahulu yang kini dilaporkan bergelut dengan banyak persengketaan terbuka dan kecelaruan. Keadaan tersebut bukan sahaja menghilangkan kepercayaan ahli sendiri, malah menampakkan imej buruk parti itu di pandangan pihak lain.

Lebih malang, ia hanya menunjukkan pemimpin PAN enak menggula-gulakan kalimah Rahmatan Lil ‘Alamin menjadi slogan retorik sahaja, tetapi jauh panggang dari api dari sudut praktikal. Maka, mana mungkin hal yang kononnya disandar untuk dakwah kepada masyarakat majmuk di negara ini boleh menjadi kenyataan?

Rumah tangga PAN sendiri dilihat sudah umpama retak menanti belah, selain dikusutkan juga dengan Mesyuarat Agung Tahunan di banyak peringkat yang dibatalkan. Selain turut diburukkan dengan pembubaran banyak Cawangan dan Kawasan. Apakah ukuran yang boleh dilihat PAN mampu untuk memerintah negeri dan negara?

Cukuplah menjadi ‘belaan’ dan mendapat simpati DAP kerana membalas budi atas kerelaan tunduk mengikut dan menjadi benteng pembela parti penuh muslihat itu. PAN hakikatnya tidak menjadi qudwah hasanah dan pendakwah untuk melunakkan pihak lain kepada Islam, melainkan meraih kepentingan atas nama Islam.

Marilah kita bertakwa dengan sebenar-benar pengertian yakni mengikut perintah Allah dengan melaksanakan agenda Rahmatan Lil ‘Alamin mengikut panduan syariat. Juga dengan menegah larangan Allah kepada rakan politik sendiri dengan tidak berkompromi terhadap segala program yang mencabar Islam.

Hentikan membohongi diri sendiri dan rakyat seluruhnya yang semakin celik mata melihat karenah dan permainan yang direkacipta. Bebaskan diri dari perhambaan kepada DAP hingga kerana kuasa, PAN yang terdiri daripada sesama saudara seagama saling bersengketa dan bertindak untuk jatuh menjatuhkan.

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Demi Islam”

AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka –HARAKAHDAILY 31/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -