LGE diingat tidak buat tuduhan berbaur perkauman

- Advertisement -

DEWAN Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sabah hari ini melahirkan rasa terkilan dengan kenyataan terbaharu Setiausaha Agung DAP,  Lim Guan Eng yang berbaur hasutan.

- Advertisement -

Kenyataan tersebut yang menggambarkan sekiranya PAS dan Umno memerintah, hak orang bukan Islam akan terhapus.

Kenyataan seumpama ini sangat tidak bertanggungjawab dan boleh menimbukan konflik perkauman.

Saya sebagai ahli DHPP menganggap kenyataan ini disebabkan ketakutan pihak Guan Eng dan juga untuk menutup kelemahan pemerintahan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Saya meminta agar Guan Eng membaca Perlembagaan PAS yang menjadi panduan bagi kami dalam berpolitik di bawah payung PAS.

Perlembagaan PAS dalam Fasal 6(9) dengan jelas menyebutkan ‘PAS akan memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini’.

Kami masyarakat bukan Islam dalam PAS amat yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS. Ditambah pula PAS sangat menekankan kepada kepercayaan kepada Tuhan yang menyebabkan mereka takut untuk membuat kesalahan kepada Tuhan.

Saya nasihatkan lebih baik Guan Eng menumpukan kepada pembangunan dan keadilan dalam pentadbiran negara daripada mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat. Tumpukan kerja untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu.

SATAIL MAJUNGKAT
Pengerusi
Dewan Himpunan Penyokong PAS Sabah
30 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 30/10/2019

- Advertisement -