Guru terpaksa pikul tugas pengkeranian lagi

- Advertisement -

SAYA  telah mengemukakan soalan tambahan nombor satu di Dewan Rakyat hari ini. Soalan saya kepada Kementerian Pendidikan adalah berkenaan dengan beban tugas pengkeranian yang masih dipikul oleh para guru sehingga ke hari ini.

- Advertisement -

Merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan pada bulan Januari 2019 yang lalu, Menteri telah berjanji untuk memansuhkan semua tugas pengkeranian yang dilakukan oleh guru dengan memperkenalkan lima inisiatif intervensi jangka pendek bermula pada Januari 2019.

Namun, sehingga ke hari ini para guru masih terbeban dengan pelbagai kerja-kerja memasukkan dan mengemaskini data serta membuat laporan aktiviti sekolah. Malah, tugasan pengkeranian yang terpaksa dilakukan lebih banyak. Para guru tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada tugasan hakiki iaitu mendidik dan mengajar.

Saya amat kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat hari ini yang memaklumkan bahawa pemansuhan tugas pengkeranian tersebut masih di peringkat kajian lagi. Mengapa sejak dari bulan Januari hingga Oktober 2019 perkara tersebut masih di peringkat kajian? Justeru, apa sebenarnya yang dijanjikan oleh Menteri Pendidikan dahulu?  

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

3 Rabiul Awwal 1441 | 31 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 31/10/2019

- Advertisement -