Dia kahwin, kita kawan

- Advertisement -

PERNAH tak kita alami situasi isteri kawan kita yang kuat cemburu, mengada-ngada, selalu halang suami dia lepak dengan kawan-kawannya? Selalu telefon apabila pulang lewat. Kadang-kadang, kita dituduh sebagai punca suaminya tak pulang rumah dan sebagainya? Mungkin kita secara peribadi tidak pernah mengalaminya, tetapi cerita-cerita sebegini amat biasa menerjah ke telinga kita.

Jika dilihat pada mata kasar, kita secara sinis memandang kepada isteri kawan kita kerana bebelannya dan keserabutannya, membuatkan semua orang tidak selesa. Ia adalah luahan perasaan secara tidak normal oleh golongan isteri, tetapi sangat munasabah bagi mereka kerana mereka takut kehilangan suami mereka yang tercinta. Suami mereka adalah tonggak kepada keluarga mereka. Walau senakal mana pun sang suami, si isteri tetap sayang dan cintakan suami, apa lagi apabila memikirkan anak-anak.

Begitulah perasaan yang mungkin kita boleh samakan dengan keadaan MCA sekarang. Mereka amat takut kehilangan Umno dari sisi mereka. Mereka berperangai sedemikian sejak daripada dahulu. Mereka juga bukan terlalu baik dengan PAS, dan tidak juga menyokong usaha-usaha PAS dalam memartabatkan Islam di Malaysia. Tetapi mereka menyokong apa yang Umno sarankan kerana mereka percaya, Umno tidak akan mensia-siakan mereka dalam merancang.

Hubungan mereka terlalu lama. Tiada gabungan di Malaysia yang mempunyai sejarah hubungan dalam pakatan politik sebegitu. Bukan mudah bagi Umno mahu mengeraskan suara kepada rakan mereka. MCA juga melihat parti lain yang hadir di sisi Umno adalah bayangan kepada pemisahan mereka, apatah lagi PAS yang sangat kontra dasarnya dengan mereka. Bohonglah jika kita hanya dengan satu seruan mahu memutuskan ikatan mereka.

Tidak perlulah kita mengungkit-ungkit pimpinan mesti Islam bagaikan kita tidak memahaminya. Sudah diterangkan oleh Presiden PAS bahawa jangan diangkat mereka menjadi kepimpinan jika mereka menguasai negara dan berbuat onar kepada Islam. Sekarang, adakah mereka akan menguasai negara jika menang PRK? Sudah tentu tidak. Maka, Presiden PAS menggariskan aturan seterusnya iaitu adakah MCA memberikan kesan negatif kepada Islam? Mungkin ya. Tetapi berbanding DAP, mana yang lebih teruk?

Syarat-syarat memilih pemimpin ini berterusan dinyatakan oleh Presiden PAS sehinggakan jika kita minoriti dan terpaksa memilih dua pimpinan bukan Islam, pilihlah yang paling sedikit mudharatnya kepada Islam. Ia sudah dijelaskan semenjak dahulu lagi, ketika kita masih bersama DAP lagi. Ia hanyalah isu berulang, tetapi masih ramai yang tidak faham. Dalam isu PRK Tanjung Piai, jelas sekali DAP yang menguasai PH semenjak dahulu lagi. Bahkan betapa tegar mereka mahu menguasai Malaysia dapat dilihat dengan beberapa percubaan mahu PM diturunkan.

Topeng yang dipakai oleh calon Bersatu itu jelas menampakkan wajah DAP di sebaliknya. Ini hakikat yang berlaku dalam PH apabila cara Menteri-menteri mereka menangani masalah berkaitan dengan agama dan cara lain pula apabila masalah berkaitan dengan DAP, cepat dan berkesan. Jadi kebencian kita antara dua parti Cina ini sangat jelas, DAP lah yang lebih besar mudharatnya berbanding MCA. Jadi jika kita pilih PH, dan DAP dapat menurunkan Tun, maka buruk akibatnya.

Banyak teori-teori yang telah dikeluarkan oleh orang ramai berkenaan pemilihan MCA ini. Tetapi teori bagi mengatakan bahawa kita hanya perlukan kepada calon Islam sahaja, ianya satu teori rekaan yang karut. Masalah kita ialah kita suka membina gelanggang yang kemudiannya kita memaksa dan mengheret sasaran kita masuk ke gelanggang dan berlawan. Entah bersedia atau tidak, kita tak peduli. Dan apabila kalah, kita menyalahkan sasaran kita itu sebagai lemah dan sebagainya. PAS menerima kepelbagaian dalam politik di Malaysia.

Sama seperti permainan mencipta persepsi yang dijaja oleh musuh, dan malang, kita sekarang turut mencipta permainan itu. Kita buat suatu yang tidak pernah diketahui dan dipersetujui oleh orang, tetapi apabila sesuatu yang buruk terjadi, kita menyalahkan mereka yang teraniaya itu. Kita menyibuk melanggar batas kita berkawan dengan Umno. Mereka ada tanggungjawab mereka bukan sahaja dengan kita. Dan, mereka mesti memikirkan sesuatu dengan lebih meluas. Apabila mereka tidak menuruti kehendak kita, kita membuat tohmahan, sedangkan kita yang bina persepsi.

Umno dan MCA sudah lama berkahwin, kita pula hanya berkawan dengan Umno. Mudah kita menyebut bubar sahaja BN jika MCA ugut. Ya, tetapi adakah PAS sanggup menjadi rakan Umno dalam BN dan melupakan bendera PAS dalam PRU nanti? Pernah terfikir bagaimana pula tentangan itu nanti? Kita faham ini adalah cara politik Cina, meletakkan dua parti ini pada dua-dua kutub berbeza bagi kepentingan bangsa mereka. Tapi, biarkan BN menyelesaikan masalah mereka. Kita ada Presiden yang memandu kita. Surat rasmi PAS sudah dikeluarkan, PAS menyokong calon MCA. Jadi pendirian kita bersama Presiden dan jemaah atau ke mana?

Kita mesti realistik. Teringat dahulu, ketika Dr Hatta Ramli masih memegang jawatan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, dalam satu muktamar, seorang perwakilan Sabah, bangun, cuba memperlekehkan Dr Hatta. Kata mereka, nanti kita akan bertanding di semua kerusi di Sabah. Kemudian dijawab sinis oleh Dr Hatta dalam penggulungan, duit untuk bertanding kerusi yang ada pun pinjam, macam mana nak letak satu negeri? Saya tidak menyukai Dr Hatta, tetapi kenyataannya saya bersetuju. Kena sedar diri kita dalam memberikan tekanan kepada orang lain. Apa lagi kerusi kita lebih sedikit dari Umno.

Ketika kita hebat berdiri bercakap soal Islam, pemerintahan Islam, kita sendiri menapakkan kaki kita ke arah bertentangan, kita lebih mendengar suara luar daripada kepimpinan sedangkan jelas sudah diterangkan oleh pimpinan. Ingat pesanan Ustaz Idris, cerdik kita seorang tak akan sama dengan cerdik kumpulan pimpinan kita.

Untuk lebih 2000 orang pengundi PAS di Tanjung Piai, tetapkanlah hati anda, menurut arahan Presiden

MOHD NASIR ABDULLAH
31 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 31/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -