Citrawarna Malaysia di Rumah Terbuka DHPP

TELUK INTAN: Dewan Himpunan Pendukung PAS telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka Negeri Perak sempena perayaan Deepavali di Taman Intanova, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis di kediaman Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Perak, Suria Narayanan yang juga Naib Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat ini berlangsung meriah.

Hadir sama adalah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Ulamak PAS Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Suria dalam ucapannya menyatakan bahawa Dewan Himpunan Pendukung PAS bukan lagi hanya kelab penyokong, tetapi sentiasa sedia mendukung segala usaha dan aspirasi PAS.

Terutama katanya, dalam mewujudkan perpaduan pelbagai kaum ke arah keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat di negara ini sebagaimana ditunjukkan pada majlis tersebut.

“Majlis hari ini merupakan gambaran citrawarna Malaysia apabila dihadiri masyarakat berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India. PAS mendukung usaha perpaduan kaum kerana ia menjadi rahsia keamanan negara sejak dahulu,” ujar Razman pula.

Manakala Ustaz Nik Zawawi menegaskan betapa Islam adalah agama yang menganjurkan umatnya menghormati dan menjaga kebajikan walaupun dari penganut agama lain.

“Kerana itu mereka (penganut agama lain) tidak harus ada perasaan takut untuk berkawan dan merapati PAS yang mendukung ajaran Islam dalam perjuangan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Putih. 

Sementara Ustaz Idris pula menegaskan, Islam adalah agama perpaduan dan perdamaian di mana di dalam Al-Quran menyebut bahawa antara tanda kebesaran Allah ialah penciptaan berbagai suku kaum dan perbezaan bahasa.

“Bertujuan untuk mereka saling berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara praktikalnya, sejarah pembinaan Tamadun Islam telah membuktikan bahawa golongan minoriti bukan Islam hidup aman dan damai di bawah pemerintahan Islam waktu itu.

“Ini kerana Islam amat melarang keras umatnya menyakiti dan berlaku tidak adil terhadap golongan kaum minoriti yang berlainan agama. Kerana itu, sebagai meraikan kepelbagaian kaum, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS yang menjadi salah satu sayap parti itu,” ujar beliau.

Menurutnya, kaum bukan Melayu, terdiri dari Cina, India, Iban, Kadazan dan pelbagai lagi boleh menganggotai Dewan Himpunan Pendukung PAS, bahkan PAS sedia menerima baik segala pandangan dan cadangan mereka yang boleh membawa kebaikan kepada seluruh rakyat negara ini.

Berucap di hadapan tetamu pelbagai kaum di majlis itu, beliau amat berharap agar masyarakat dapat bersama PAS melakukan perubahan tampuk pemerintahan pada PRU15 akan datang ke arah membina Malaysia yang lebih maju, aman dan harmoni.

Kelancaran majlis tersebut juga dibantu oleh Jabatan Amal Malaysia Teluk Intan dan Dewan Muslimat PAS Teluk Intan, selain dimeriahkan dengan pelbagai menu lazat.

Antara yang istimewa adalah nasi minyak, kari kambingm tose, roti canai, satay, maruku dan cendol, manakala kanak-kanak gembira menerima pemberian duit raya. – HARAKAHDAILY 30/10/2019 

IMG 20191030 WA0030