Razman minta k’jaan kaji tebatan banjir Alor Pongsu

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Berikutan keadaan banjir masih di tahap membimbangkan, kerajaan diminta untuk mengkaji semula tebatan banjir yang dibina kerana dilihat masih tidak menyelesaikan masalah bah di sekitar Alor Pongsu, di sini.

- Advertisement -

Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria berkata, biarpun digambarkan tebatan banjir tersebut mampu menyelesaikan takungan air di ladang, namun hakikatnya ia menjadi antara punca banjir di jalan raya dan kampung.

“Saya menyarankan agar pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji semula tebatan banjir yang dibina sepanjang kawasan tersebut kerana keadaan banjir yang berlaku berada di tahap membimbangkan,” pintanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak telah mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir melibatkan penduduk setempat di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, di sini kelmarin dahulu.

Kebanyakan 125 mangsa banjir daripara 29 keluarga tersebut merupakan penduduk daripada Kampung Changkat Lobak dan Kampung Matang Tengah yang telahpun ditempatkan di situ sejak dari 21 Oktober lalu.

Dalam tinjauan dan lawatan untuk mendapatkan maklumat terkini itu beliau telah diiringi Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Serai, Mohd Sayuti Abd Ghani dan beberapa Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan.

Beliau turut menasihati mangsa agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengawasi ahli keluarga masing-masing, selain memberi jaminan membawa isu tersebut untuk ditangani pihak berkaitan. – HARAKAHDAILY 30/10/2019

- Advertisement -