Alumni Pondok Lanai bentuk Jawatankuasa Penaja

    - Advertisement -

    BATU KAWAN: Para pelajar lepasan Madrasah Misbah Al-Falah, Parit Panjang, Baling telah mengadakan Mesyuarat Penubuhan Penaja Alumni di Majmak Al-Turath Al-Islami Al-Malizi atau Pondok Turath, Juru, di sini baru-baru ini.

    - Advertisement -

    Pengerusi Alumni Misbah Al-Falah, Dato’ Seri Ustaz Yusuf Abdul Rahman berkata, objektif penubuhan tersebut adalah untuk memperkukuhkan institusi pengajian pondok di bawah satu alumni yang berdaftar secara sah.

    Majlis turut dihadiri ulamak tersohor Kedah, Tuan Guru Abd Wahab Hassan atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Awang Lanai yang juga Mudir Madrasah Tahzib An-Nufus, Parit Panjang di mana merupakan antara murid terawal Misbah Al-Falah.

    Majlis telah dirasmikan Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah, Tuan Guru Rafaei Yaakob yang juga Mudir Madrasah Zuhdiah, Parit Panjang di mana majlis turut dirai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof.

    Sempena himpunan besar ini juga telah disampaikan Anugerah Tokoh Wanita Besi Muslimat Waja kepada Ustazah Zabedah Saman iaitu isteri kepada Tuan Guru Abu Bakar Ibrahim dan Ustazah Saudah Abdul Rahman isteri Almarhum Shariff Saad.

    Mereka merupakan tenaga pengajar di Misbah Al-Falah dan isteri kepada mangsa kezaliman ISA suatu ketika dahulu di mana menerima anugerah ini atas kecekalan mengharungi hidup tanpa suami dan membesarkan anak-anak hingga berjaya.

    Majlis berakhir dengan pengumuman senarai terpilih selaku Ahli Jawatankuasa Penaja Alumni Misbah Al-Falah dan ucapan penggulungan penutup oleh Timbalan Pengerusi Alumni, Ustaz Tajuddin Abu Bakar yang juga Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang.

    Beliau menyeru kerjasama semua dan menggerakkan peranan membimbing masyarakat kepada kebaikan dengan secara aktif berdakwah dan memperjalankan organisasi Islam. – HARAKAHDAILY 30/10/2019

    - Advertisement -