Muafakat: Guan Eng takut, bukan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggambarkan Umno dan PAS memberi ancaman kepada kaum bukan Melayu jika kedua-dua parti itu memerintah negara.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tuduhan Guan Eng itu disifatkan kurang ajar sekali gus menggambarkan ketakutan Menteri Kewangan itu terhadap Muafakat Nasional, PAS dan Umno.

“Bagi saya kenyataan Lim Guan Eng ini menggambarkan ketakutannya terhadap Muafakat PAS dan Umno, bukan ketakutan rakyat!

“Rakyat tidak takut pun kerana rakyat sudah tahu dan rakyat pernah ditadbir di bawah kedua-dua kerajaan ini, cuma yang menggambarkan ketakutan datangnya dari Lim Guan Eng sendiri khususnya DAP terhadap Muafakat Nasional PAS dan Umno.

“Saya yakin sebenarnya kenyataan beliau itu, kalau tengok kepada komentar daripada rakyat pun rakyat lebih mencemuh kenyataan beliau sebab dia tidak menggambarkan realiti,” katanya kepada Harakahdaily di lobi parlimen, hari ini.

Menjawab tuduhan Guan Eng yang cuba menakutkan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan PAS di Kelantan, Tuan Ibrahim berkata, Ahli Parlimen Bagan itu wajar menyemak semula kelemahan pengurusan dari Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan.

“Kerajaan Pusat pun masih belum bayar royalti minyak kepada Kelantan, bukankah itu menggambarkan kelemahan Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat tidak membayar bantuan perkapita tahunan kepada kerajaan negeri mengikut jadual, sebelum dia menuding jari kepada kerajaan Kelantan semak dahulu tindakan Kerajaan Pusat,” katanya mengingatkan Guan Eng tunaikan dahulu tuntutan rakyat Kelantan.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata sekatan pembangunan terhadap Kelantan berlaku sehingga ke hari ini.

“Apa yang disebut berkenaan dengan pembangunan wilayah yang seimbang langsung tidak dijelmakan dalam bajet pada kali ini,” ujarnya yang menyifatkan Belanjawan 2020 mengetepikan pembangunan di Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Timur.

Guan Eng juga cuba menanam persepsi jahat kepada rakyat dengan mendakwa sekolah vernakular mungkin ditutup dan jawatan menteri kabinet tidak dibenarkan dijawat oleh kaum bukan Melayu jika PAS dan Umno memegang pentadbiran negara.

“Ini kenyataan yang jelas bohong, sebagai contoh kita perintah Kelantan selama 30 tahun, di Kelantan tidak ada wakil rakyat bukan Islam tetapi kerajaan negeri melantik penghulu-penghulu kampung mukim yang bukan Islam di kalangan masyarakat Orang Asli.

“Ketua-ketua yang dilantik di kalangan orang Buddha dan Siam mereka ini kalau ikutkan dalam sistem demokrasi tidak ada pun jawatan itu tetapi kerajaan Kelantan wujudkan lantikan ini.

“Bagi kita, kita menerima hakikat Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk, dan hak bagi bukan Islam untuk berada dalam kalangan kerajaan dijamin dan dilaksanakan di peringkat Kelantan dan Terengganu.

“Sama juga dengan sekolah vernakular yang dijamin dalam perlembagaan, bukan sekolah persendirian Cina. Sekolah vernakular ini sahaja dijamin, bagi kita tidak ada masalah dan Kelantan pun teruskan sekolah-sekolah tersebut dan kerajaan negeri beri bantuan kepada sekolah-sekolah vernakular,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2019

- Advertisement -