Lucut jawatan Exco Saminathan, Paul Yong

- Advertisement -

SAYA mengucapkan tahniah kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kerana hasil dedikasi beliau maka 12 individu yang terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE, termasuk 2 Adun DAP, didakwa hari ini.

Saya berpegang dengan prinsip bahawa seseorang belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, apatah lagi bila Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Adun hanya hilang jawatan setelah disabitkan kesalahan dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Bagaimanapun, Adun DAP Gadek, YB Saminathan Ganesan, adalah Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka, dan tuduhan ke atasnya adalah berat, iaitu ‘mencari sokongan bagi, atau memberi sokongan kepada, mana-mana kumpulan pengganas’, dan boleh dihukum dengan pemenjaraan seumur hidup.

Oleh itu, selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Exco Kerajaan Negeri hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri, maka saya menyeru Yang Dipertua Negeri Melaka melucutkan jawatan YB Saminathan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka bagi menjaga imej baik dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

Atas hujah sama, saya menyeru Raja Perak melucutkan jawatan YB Paul Yong Choo Kiong, yang dituduh merogol pembantu rumah warga Indonesia Julai lalu, sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Perak, bagi menjaga imej baik dan keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus


Sila kongsikan maklum balas anda mengenai isu ini di pautan berikut :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2849883491688329&id=569086473101387HARAKAHDAILY 29/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -