Kereta terbang dalam filem Tamil

- Advertisement -

50 TAHUN lalu, zaman bujang saya, dari semasa ke semasa saya menerima buku kupon menonton wayang percuma dari syarikat Cathay di mana-mana panggung pengedaran filem syarikat itu.

- Advertisement -

Bila kupon itu habis saya dibekalkan buku baru.

Bila saya tidak bekerja masa saya habis di panggung. Hari Ahad misalnya bermula dari tayangan tengah malam. Pukul 10 pagi tayang murah. Lepas itu tayangan tengah hari, tayangan pukul tiga, pukul enam petang dan pukul 9 malam.

Apa filem pun saya tengok. Termasuk filem Tamil yang jarang ditonton orang Melayu. Apa cerita filem Cina dan filem Tamil itu saya tidak tahu, tapi saya manfaatkan kupon yang Cathay beri.

Dalam satu filem Tamil saya lihat orang memandu motokar terbang. Beberapa kereta berlegar di celah awan. Masa itu belum ada angkasawan. Kapal angkasa tanpa orang sudah ada. Dari cerita filem itu pemandu daan penumpang kereta terbang itu adalah adalah para angkasawan yang awal di dunia.

Tetapi Melayu sudah ada angkasawan lebih awal terdiri dari warga dan penghuni kerajaan kayangan yang tuan-tuan puterinya acap mandi dan berenang di tasik dan sungai di dunia. Justeru banyak pesawat di udara sekarang alam kayangan sudah pupus.

Akan tetapi anak Pak Haji Yusuf Anjah, orang PAS tegar Melaka sejak awal, kini jadi menteri kerajaan PH sedang merancang untuk mengeluarkan kereta terbang boleh memendekkan waktu perjalanan. Jika dengan kereta darat mengambil masa lima jam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, dengan kereta terbang memerlukan satu jam setengah.

Bila projek itu siap nanti, ramailah orang Malaysia jadi angkasawan dan filem Tamil yang saya tonton dulu bukan lagi khayalan pengarahnya, sekali gus menteri yang mencetuskan kereta terbang itu moga-moga tidaklah dilihat khayal seperti pengarah filem Tamil yang saya tonton 50 tahun dulu.

Bila angkasa akan penuh dengan kereta terbang? Mungkin sempurnanya Wawasan 2030 yang menggantikan Wawasan 2020 yang gagal, 2100 kira-kira 80 tahun dari sekarang? Dr. Mahathir tentu sudah tiada, bahkan menterinya tidak sempat melihat. Biar cucu dan cicitnya menikmati wawasannya.

Masa itu nanti adakah lapangan berangkat khas dan tempat mendarat khas? Atau kereta itu diperlu ada landasan berangka khas. Motokar terbang itu memecut di lebuh raya yang ada sekarang dan sedang ia memacu laju itu, ia menggunakan gear tertentu, motokar itu terangkat ke udara. Sampai di destinasinya, ia pun mendarat di celah motokar yang banyak di jalan darat, ia mungkin tidak perlu parkir khas. Ia boleh parkir di parkir biasa atau ia terus ke tempat yang dituju?

Adakah kereta itu nanti berkepak seperti pesawat biasa? Atau apabila ia terperangkap di jalan yang macet, ia boleh terangkat ke udara memotong kereta yang banyak di depannya.

Kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang tiada parkir di jalan-jalan utama. Tetapi di semua kawasan perumahan semua masa kiri kanan jalan jadi parkir. Seolah-olah tinggal satu lorong saja motokar lalu. Dengan kereta terbang itu ia tidak menggunakan jalan yang ada itu. Ia terus mendarat depan rumah atau dalam kawasan rumah.

Atau semua rumah selepas ini bumbungnya rata supaya jadi parkir kereta masing-masing.

Wawas saya lepas ini bukan pengeluar filem Tamil saja memikir tentang kereta di atas kepala masing-masing tetapi semua penerbitan filem bertumpu kepada motokar terbang-bang. – HARAKAHDAILY 29/10/2019

- Advertisement -