Gabungan idea anak muda, pengalaman ‘orang lama’

    - Advertisement -

    TAMBUN: Agenda Penyatuan Ummah bukan hanya antara PAS dan Umno, tetapi melibatkan gandingan kepimpinan yang menggabungkan idea anak muda dan pengalaman ‘orang lama’.

    - Advertisement -

    Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said berkata, keserasian yang semakin utuh dan kuat itu akan diperkukuhkan sehingga ke peringkat akar umbi parti dan masyarakat.

    Jelas beliau, ianya bermatlamat untuk mengenengahkan penyelesaian kepada segala masalah rakyat dengan memperjuangkan Islam sebagai cara hidup dan asas memerintah.

    “Kita sebenarnya saling belajar di antara satu sama lain untuk kebaikan yang mana Umno belajar daripada PAS menjadi pembangkang, manakala PAS pula belajar dengan Umno bagi persediaan membentuk kerajaan.

    “Kita akan ambil alih Kerajaan Pusat dan Negeri bagi memenuhi keperluan rakyat keseluruhannya tidak seperti Kerajaan PH yang gagal menunaikan janjinya,” ujarnya pada majlis Kenduri Rakyat Perpaduan Ummah PAS-Umno Tambun di Dataran Sunway, di sini kelmarin.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri berharap kerjasama yang sedia terjalin difahami semua peringkat dan Islam dijadikan asas pelaksanaan setiap tindakan.

    Ustaz Hafez yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak menyatakan bahawa, rakyat pelbagai peringkat umur kini sudah mula menunjukkan sokongan padu kepada agenda Penyatuan Ummah.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar usaha kempen daftar pemilih mestilah terus dipergiat dalam setiap program dan pertemuan masyarakat pelbagai peringkat.

    “Kehadiran pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam majlis-majlis seumpama ini amat tepat dan menampakkan perkembangan positif khususnya pendaftaran pemilih muda,” puji beliau. – HARAKAHDAILY 29/10/2019

    - Advertisement -