Haramkan DAP: Mana kuku besi, ekstremisnya PAS?

- Advertisement -

LANCANG  sungguh mulut Khalid Samad mencerca PAS bila PAS mendesak supaya DAP diharamkan. Katanya, “kalau ikut PAS, semua haram kecuali PAS”, “PAS pasca TGNA hanya mampu menghasilkan sebuah pemerintahan bersifat kuku besi dan ekstremis, tiada toleransi dan akan diharamkan yang berbeza”.

- Advertisement -

Begitu juga pemimpin lain dari DAP dan PKR, termasuk Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengkritik PAS kerana kononnya membuat desakan yang tidak selaras dengan amalan demokrasi dan undang-undang yang ada dalam negara dan kerana kononnya masih berpolitik cara lama.

Saya cabar Khalid Samad untuk buktikan dakwaan beliau bahawa PAS pasca TGNA hanya mampu menghasilkan sebuah pemerintahan bersifat kuku besi dan ekstremis. Sila senaraikan apa yang PAS sudah haramkan di Kelantan dan Terengganu selepas TGNA kalau kamu bukan seorang pembohong.

Tiada yang salah dalam desakan supaya DAP diharamkan. Amalan demokrasi memberi kuasa kepada parti yang menang dalam pilihan raya untuk memerintah dan menguatkuasakan undang-undang. PH menang dalam PRU 14 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik oleh PH sebagai Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, sebagaimana tindakan Tan Sri Muhyiddin mengharamkan komik bertajuk “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 adalah selaras dengan amalan demokrasi dan undang-undang, maka desakan supaya DAP diharamkan juga adalah selaras dengan amalan demokrasi dan undang-undang.

Malah, jika PH berpegang kepada kedaulatan undang-undang, maka adalah menjadi kewajipan untuk PH mengharamkan DAP. Pengharaman komik adalah dibuat mengikut undang-undang, kerana ia cuba mempromosikan idealogi Komunisme dan Sosialisme dan kerana ia boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

Kerana yang terlibat dalam penerbitan komik ini adalah pemimpin tertinggi DAP, termasuk Tan Kok Wai selaku Pengerusinya dan Lim Guan Eng selaku Pengerusinya, maka pengharaman komik sewajibnya membawa kepada pengharaman DAP yang menerbitkannya kerana melalui komik ini DAP cuba mempromosikan idealogi Komunisme dan Sosialisme menjadikan kewujudan DAP boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan.

Desakan pengharaman DAP juga bukan dibuat sembarangan, tetapi berdasarkan undang-undang, iaitu peruntukan Seksyen 5(1), Seksyen 13(1)(c)(ii) atau Seksyen 13(1)(c)(iii) Akta Pertubuhan.

Jadi di manakah kuku besi dan ekstremisnya PAS? Sebaliknya yang dilihat ekstremis sekarang ialah PAN dengan tersebarnya begitu banyak video mengenai insiden tumbuk-menumbuk dan tendang-menendang sesama ahli PAN kerana pemilihan parti yang bersifat kuku besi.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan” 

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ali Parlimen Kuala Nerus

Sila kongsikan maklum balas anda mengenai isu ini di pautan berikut :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2844870478856297&id=569086473101387HARAKAHDAILY 27/10/2019

- Advertisement -