Melayu tidak rasis, tegas TGHH dan Tun M

- Advertisement -

MENGAPA hanya Melayu dianggap ‘rasis’, tidak bangsa lain?

- Advertisement -

Itulah persoalan yang cuba dijawab melalui penulisan terbaru Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) bertajuk “Malang Melayu Sahaja Dilabel Rasis”, bertarikh 24 Oktober 2019.

syahir2Menurut TGHH: “Akhir-akhir ini suara Melayu yang menyebut tentang hak mereka yang dirasakan makin terpinggir di negara Malaysia dilabelkan rasis. Namun bangsa lain yang mencabar Melayu dan menyatakan apa sahaja hak bangsa mereka tidak pula dikatakan rasis kerana atas nama hak asasi manusia.

“Hal ini menunjukkan seperti Melayu tidak ada apa-apa hak, walaupun di tanah airnya sendiri yang tidak ada tanah lain lagi.

“Melayu menerima nasib ini kerana keIslamannya. Kalau Melayu tidak menganut Islam seperti kaum lain, maka tidak dilabel rasis.”

Beliau turut menegaskan: “Munculnya Muafakat Nasional dan Kongres Maruah Melayu menunjukkan kebangkitan Melayu tanpa mengira pembangkang, kerajaan, fahaman politik, NGO, ilmuwan dan mahasisiwa. Itu belum lagi dikerah seluruh rakyatnya sehingga ke pedalaman untuk bangkit mempertahankan hak.

“Bahkan dinyatakan tuntutan hak Melayu yang tercabar dan terhimpit sahaja tanpa menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain.”

Menariknya penulisan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) bertajuk “Malay Dignity Congres”, bertarikh 25 Oktober 2019, dilihat mengambil naratif yang hampir sama.

Menurut Tun M: “Adalah perkara biasa dalam negara berbilang kaum ini untuk rakyat untuk mengekalkan identifikasi mereka dengan negara asal mereka, walaupun berada di Malaysia dan memegang kewarganegaraan mereka selama tiga generasi. Mereka tidak mahu kehilangan identiti kaum mereka.

“Tidak boleh diterima, apabila kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan mereka untuk membincangkan urusan mereka, manakala orang Melayu tidak boleh, kerana didakwa perhimpunan mereka adalah rasis.”

Beliau turut menegaskan: “Apabila bekas tanah jajahan negara-negara Eropah mendapat kemerdekaan, ramai yang mendiskriminasi orang bukan bumiputera. Ada yang terpaksa meninggalkan negara ini. Ada yang diserang dengan ganas.

“Tidak demikian di negara ini. Orang bukan bumiputera diterima sebagai warganegara. Sebenarnya, satu juta orang bukan bumiputera diberi kewarganegaraan walaupun mereka tidak layak.

“Dan sudah tentu saya akan dilabel sebagai seorang rasis untuk menulis ini.”

Menghayati dua penulisan tokoh politik ini menzahirkan hakikat yang terpaksa ditelan oleh anak bangsa di tanah sendiri, pada hari ini.

Mempertahankan hak dan keistimewaan yang dikongsi sejak Merdeka digelar ‘rasis’, namun yang lantang mencabar keharmonian dan toleransi digelar pejuang ‘hak asasi’.

#selamatkannegaraku

SYAHIR SULAIMAN
25 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 25/10/2019

- Advertisement -