Sekularism, Kapitalism dan Sosialism

- Advertisement -

MASYARAKAT yang dibayangi radiasi sekularism

Realiti hari ini memperlihatkan kepada kita betapa Sekularism itu menebal, khususnya rakyat Malaysia. Mungkin antara faktor terbesarnya ialah generasi hari ini dilahirkan dan membesar dalam persekitaran ‘Sekularism’. Ketebalan lemak Sekularism ini agak payah untuk dicairkan sama ada di kalangan professional yang memiliki sijil PhD, para Ustaz ataupun syeikh sekalipun. Melainkan mereka yang dirahmati Allah S.W.T.

Para Ustaz yang mengajar di Masjid lebih biasa berbicara bab ‘bersuci’, syarat-syarat sah nikah, dan sebagainya. Tetapi tidak mampu untuk mengaplementasikan teori-teori di dalam kitab feqah tersebut menjadi sebagai satu sistem. Sepertimana yang saya tulis sebelum ini bahawa Islam itu adalah sistem hidup, yang mengatur setiap inci kehidupan manusia.

Malangnya Islam itu dilihat hanya sebagai amalan-amalan peribadi yang tidak bersangkut paut dengan negara dan politik. Seolah-olah ilmu kemasyarakatan itu telah hilang. Para agawaman boleh berbicara bab yang berkaitan dengan peribadi, tetapi tidak mampu menterjemahkan sebagai sebuah undang-undang yang digazetkan. Ini antara kesan jangka masa panjang sekular.

Sekular boleh diibaratkan sebagai nuklear. Apabila digugurkan, ia akan meninggalkan radiasi yang lama. Radiasi sekular mencacatkan kefahaman umat Islam terhadap Islam yang sebenar. Dalam masa yang sama manusia hari ini dilanda dengan ribut Post Truth, dan kemunculan Generasi Z. Ya, ramai agamawan sedar akan kewujudan radiasi ini, tetapi belum temui penawar yang paling mujarab untuk mengubatinya.

Sekular: Islam hanya dianggap ibadat, bukan sistem

Disebabkan ketebalan radiasi Sekularism ini, menjadikan masyarakat di Malaysia khususnya, terkeliru dalam bab sistem ekonomi Islam yang dinamakan zakat. Umat Islam terperangkap dengan kefahaman bahawa zakat itu hanya sekadar ibadat peribadi, dan bukannya sistem yang perlu diaplementasikan. Maka Umat Islam membayar zakat semata-mata kerana kesedaran peribadinya sahaja, dan tidak ‘dikuatkuasakan’ oleh kerajaan.

Sedangkan kalau kita mengkaji sistem zakat dalam Islam, kerajaan perlu tahu bahawa mereka ‘wajib’ pungut zakat, bukan hanya menunggu orang bayar zakat. Contohnya apabila seseorang itu tidak membayar zakat, perlu dikenakan tindakan undang-undang sepertimana undang-undang dikenakan kepada mereka yang tak membayar cukai. Apabila kita lihat zakat ternakan, perniagaan dan sebagainya kita akan lihat bahawa zakat itu sendiri adalah sistem percukaian cara Islam.

Malangnya akibat ketebalan sekular, Umat Islam hari ini hanya menganggap zakat itu hanyalah ibadat peribadi. Bahkan institusi zakat di Malaysia ini ‘dipisahkan’ daripada LHDN yang berperanan untuk mengutip cukai. Persenggangan ini menunjukkan bahawa Malaysia masih terkesan dengan idea-idea Sekularism. Ini hanya sekadar lontaran awal untuk diperhalusi oleh ahli-ahli pakar. Apa yang kita boleh lihat hari ini, pakar undang-undang dipisahkan terus daripada para ulamak (pakar agama).

Ini antara salah satu kesan jangka masa panjang radiasi sekular. Pemisahan ini menyebabkan Islam itu tidak dapat diaplementasikan sebagai sebuah sistem kenegaraan. Termasuk juga dalam bab kehakiman, Malaysia antara negara yang mengamalkan pemisahan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Sedangkan dalam Islam itu sendiri sudah lengkap undang undang kehakimannya.

Kesan penjajahan dan kemunculan ideologi sonsang

Apabila kita meneliti sejarah sistem kewangan Islam, kita akan dapati bahawa sistem kewangan dan ekonomi Islam paling stabil kerana ia bersumberkan daripada Allah S.W.T. Allah S.W.T dan RasulNya menggariskan sistem ini di dalam al-Quran dan Hadis, lalu di istinbat (diekstrak) hukumnya oleh para ulamak untuk diaplamentasikan sebagai sebuah undang-undang. Undang-undang ini telah pun dilaksanakan di era kegemilangan Islam satu ketika dahulu, apabila ekonomi Umat Islam berada di tahap yang stabil.

Namun sejak kehadiran penjajah Imperialism Barat, Umat Islam turut sama terjajah pemikirannya. Seolah-olah Umat Islam di zaman penjajahan ini tidak tahu kewujudan sistem Undang-undang Islam ini. Hingga ke hari ini kita masih terikat dengan sistem ekonomi Barat yang mula diperkenalkan oleh Adam Smith, dan kadang-kadang terpengaruh dengan Karl Marx. Ya, kita tahu apa itu zakat, tetapi kita hanya tahu zakat itu adalah ibadah, bukan sistem ekonomi Islam

Setelah saya membaca beberapa penulisan mereka, saya dapati bahawa pemikir-pemikir Barat pada mulanya bukanlah berniat nak menyerang Islam dengan sistem atau idea buatan mereka. Bahkan, mereka turut mengambil beberapa epistemologi Islam untuk dijadikan ‘bahan’ hingga berlaku kebangkitan Reinassance pada kurun ke 15-17M. Contohnya kemunculan sekular yang diceritakan oleh Syeikh Yusof al Qaradawi bertajuk الاسلام والعلمانية وجها لوجه.

Syeikh Yusof al-Qaradawi menyatakan bahawa di zaman cetusan Sekularism bukanlah bertujuan untuk ‘memerangi’ Islam, dan tidak dibincangkan pun tentang menolak ketuhanan (ateism). Istilah ini mula digunakan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906) dari England. Sekularism ketika itu lebih tertumpu kepada pemisahan Kristian yang tersesat daripada pemerintahan. Boleh lihat perincian sejarahnya di dalam artikel saya yang bertajuk ‘Revolusi Industri Dan Pengaruh Terhadap Pemikiran Barat’ [1].

Mencari penyelesaian krisis dengan mencipta idealogi

Selain daripada Sekularism, di sana wujudnya sistem Kapitalis, yang juga bukanlah diwujudkan bagi memerangi sistem Islam. Bahkan apabila kita lihat, Barat pada mulanya ‘tiada masalah’ pun untuk menerima sistem Islam sepertimana yang pernah saya tulis dalam artikel bertajuk ‘Belajar Dari Perbezaan Zaman Dan Realiti Semasa’ [2]. Cumanya suasana di Barat ketika itu memaksa mereka untuk mencipta teori-teori penyelesaian bagi kerencaman hidup mereka.

Sayangnya mereka ‘tidak nampak’ sumber inspirasi bagi penyusunan sistem atau idea itu daripada Islam. Sebagai contoh, Karl Marx, Holyoake, Engels, dan ramai lagi, mereka hidup dalam suasana kerencaman hidup. Masalah penindasan, masalah politik, masalah pentadbiran negara, kemiskinan, jenayah, kemasyarakatan, peperangan, bebanan hutang, penjajahan dan banyak lagi. Zaman ini dinamakan Revolusi Ilmiah era 15-17 Masihi.

Tidak dinafikan, zaman kegelapan Barat yang berlangsung antara 4-14 Masihi tidak kurang ‘seram’nya. Pemikir-pemikir yang cerdik akan dipenjara, dibunuh, diseksa dan sebagainya kerana dianggap melampau daripada ajaran agama Kristian. Fobia mereka itu tidak berkesudahan di era Revolusi Ilmiah, bahkan berterusan sehinggalah mereka dilihat berjaya menembusi dunia teknologi pada akhir 18 dan 19.

Realiti kerencaman mereka ini memaksa mereka untuk membina idea-idea untuk mewujudkan sistem yang teratur. Idea-idea inilah asal bagi perkataan idealogi (pemikiran). Idealogi-idealogi ini terus ‘memberanak’ sehinggalah ke hari ini. Termasuk juga sistem ekonomi mereka, yang boleh dikatakan bermula dengan Sistem Kapitalis yang digagaskan oleh Adam Smith (1723-1790) dari United Kingdom. Nasib kebanyakan pemikir (ahli falsafah) mula berubah, dari buangan mula ‘diberi tempat’ .

Revolusi: Pertembungan antara falsafah dan Kristian

Adam Smith diberi gelaran ‘The Father of Economics’ dan juga ‘The Father of Capitalism’ hidup dalam keluarga beragama Kristian dan hidup dalam kepayahan. Namun beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti seawal umur 14 tahun, dan ditaja dengan biasiswa Snell Exhibition. Bermula dengan Universiti Glasgow, beliau melanjutkan pelajaran ke Balliol College Oxford. Suasana di Oxford sedikit sebanyak memberi pengaruh kepada idealogi beliau.

Pengaruh yang dimaksudkan bukanlah pengaruh yang baik, tetapi pengaruh yang menyebabkan jiwa beliau ‘memberontak’. Beliau menulis di dalam bukunya The Wheath Of Nations menceritakan bahawa beliau mendapati pensyarah pensyarah di Oxford mengajar dengan penuh kepura-puraan. Dalam masa yang lain, ketika beliau membaca buku ‘A Treatise of Human Nature’ [Gambar Kiri] tulisan David Hume, namun buku tersebut dirampas dan beliau kenakan tindakan tegas.

David Hume merupakan tokoh falsafah dari Skotlandia, yang sebaris dengan tokoh-tokoh kebangkitan Falsafah Barat di era Revolusi Ilmiah. Beliau juga merupakan penentang terhadap konsep yang dibawa oleh Kristian, menjadikannya salah seorang cendikiawan yang kontroversi. Dalam masa yang sama, Oxford mempunyai sejarah hitam pertentangan antara falsafah dan Kristian. Antaranya ahli-ahli falsafah yang dibakar hidup-hidup di era 15, dan 16.

Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer, merupakan tiga orang paderi dan cendikiawan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16. Mereka bertiga mengkritik ketahyulan ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik, yang didakwa tiada sandaran dalil yang sah dalam Bible. Selain itu mereka juga terpengaruh dengan Martin Luther yang mengasaskan Protestan, yang pernah mencabar Katolik untuk berdialog dalam hal ini.

Akhirnya ketiga-tiga orang tokoh ini diisytiharkan ‘murtad’ oleh gereja dan ‘tangan ghaib’ di belakang pengaruh gereja. Mereka dijatuhkan hukum dibakar hidup-hidup pada 1555/56 di Oxford. Suasana pertentangan antara Falsafah dan Kristian yang cukup dahsyat itu berterusan sehingga membentuk suasana ‘tekanan dingin’ ke atas Adam Smith sehingga mencorakkan pemikirannya ke arah menentang konsep agama.

Suasana ketika kemunculan Kapitalis

Sepertimana yang diceritakan, suasana Oxford yang ‘subur’ dengan suasana pertembungan antara Falsafah dan Kristian.  Menjadikan sekular itu semakin menyubur. Adam Smith menyifatkan bahawa budaya keilmuan di Oxford jauh lebih rendah berbanding Skotlandia. Oxford dilabel oleh beliau sebagai tempat pendidikan yang bermotifkan ‘duit’, bukannya ilmu pengetahuan.

Setelah melalui zaman mudanya, beliau mula dipanggil mengajar dan menyampaikan syarahan di beberapa buah tempat. Pada tahun 1750, Adam Smith bertemu dengan David Hume dan seterusnya menghasil karyanya yang masyhur Theory of Moral Sentiments [Gambar Tengah] pada tahun 1759 setelah beberapa tahun diamanahkan sebagai seorang professor. Setelah itu beliau berkhidmat sebagai tutor dan bermusafir ke Perancis.

Di sana beliau bertemu beberapa tokoh falsafah antaranya Benjamin Franklin. Beliau meneliti situasi ekonomi di Perancis mendapati kekayaan Perancis hampir habis digunakan pada era 17 untuk modal peperangan. Setelah dibandingkan dengan tanah airnya, beliau sekali lagi menerbitkan satu karya The Wealth of Nations [Gambar Kanan] telah diterbitkan pada tahun 1776. Kedua-dua karya ini hasil daripada pengalaman hidupnya di Oxford dan di Perancis.

James Otteson (1968) berhujah bahawa kedua-dua buku ini bersifat ‘Newtonian’ dan lebih menggunakan ‘model pasaran’ yang sama untuk membebaskan pasaran manusia berskala besar, termasuk moral, ekonomi, dan bahasa. Kesimpulan mudahnya, para pengkaji mendapati bahawa model yang dikemukakan oleh Adam Smith lebih bersifat ‘pasaran bebas bagi para pemodal’

Membuka pasaran bebas bagi pemodal

Daripada model ekonomi yang digagaskan oleh Adam Smith beliau melihat bahawa perekonomian perlu dibuka kepada semua atau disebut sebagai ‘A System Of Natural Liberty’. Iaitu sesiapa sahaja yang memiliki modal (capital) berhak menggunakan duit sendiri untuk meluaskan ekonomi masing-masing secara bebas. Tidak disekat oleh mana-mana undang sepertimana ‘sekatan ekonomi’ yang pernah disaksikan.

Di dalam buku The Wealth of Nations ada menceritakan tentang konsep The Invisible Hand. ‘Tangan Ghaib’ yang dimaksudkan ialah gambaran kekuatan yang tidak kelihatan, yang berperanan memindahkan sesuatu ke arah ekonomi pasaran bebas. Iaitu setiap orang yang ada modal (kapital) diberi kebebasan untuk berniaga dan berkembang. Kekuatan inilah yang dipanggil sebagai ‘Tangan Ghaib’.

Beliau menyatakan “Every individual endeavors to employ his capital so that its produce may be of greatest value. He generally neither intends to promote the public interest, nor knows how much he is promoting it. He intends only his own security, only his own gain. And he is led by an invisible hand to promote an end which was no part of his intention. By pursuing his own interest he frequently promotes that of society more effectively than when he really intends to promote it.”

Kedua dua penulisan ini agak tebal untuk diulas secara terperincinya. Cuma apa yang ingin disampaikan ialah, beliau menyusun ‘manhaj’ Kapitalism melalui kedua-dua penulisan ini. Idea yang dilontarkan oleh beliau ini bukanlah sesuatu yang ‘menarik’ apabila dikritik oleh Karl Marx selepas itu yang menggagaskan sistem ekonomi sosialis. Antara sebabnya apabila para kapitalis yang menggunapakai sistem Adam Smith semakin memperlihatkan kesan buruknya.

Kemunculan Sosialis di saat Kapitalism merosak

Antara kesan buruk sistem Adam Smith ialah apabila para pemodal mula menjadi ‘kapitalis. Pada mulanya mereka gunakan tenaga lelaki sebagai buruh untuk mengusahakan ekonomi pemodal dan tenaga lelaki ini diberi dengan upah yang tinggi. Namun, para kapitalis mula berubah ke arah menggunakan tenaga kaum wanita dan kanak-kanak sebagai buruh kerana upah mereka lebih rendah dan menjimatkan.

Gejala ini semakin subur dilakukan oleh para kapitalis sehingga menyebabkan krisis buruh yang tiada kerja dan putaran ekonomi masyarakat tidak beredar dengan baik. Inilah antara faktor kritikan Karl Marx sehingga merangsang beliau untuk menyusun sistem ekonomi Sosialis sepertimana yang dikatakan tadi. Selain daripada kewujudan sistem Kapitalis yang merosakkan ekosistem masyarakat, sistem Sosialis juga dilihat melakukan perbuatan yang sama.

Sosialism juga mengalami nasib yang sama apabila sistem yang dicipta itu akhirnya dikritik oleh beberapa ahli falsafah yang lain seperti Friedrich Hayek dan Peter Self. Ia turut ditentang oleh pemikiran Objectivism yang merupakan sistem falsafah, yang dibangunkan oleh penulis Rusia-Amerika. Antara kritikan mereka, Sosialism akan ‘tersangkut’ apabila pemerintah mengamalkan korupsi, menyebabkan rakyat lebih miskin daripada kemiskinan rakyat di bawah Kapitalis.

Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang pernah menjelaskan isu sosialisme ini dalam bukunya ‘Islam, Fikrah dan Daulah’ menyatakan bahawa Sosialisme adalah pemikiran yang terhasil daripada tindak balas terhadap sistem monopoli Kapitalisme. Teori Sosialis secara keseluruhannya sama ada aliran revolusi ataupun evolusi, masing-masing berpendapat bahawa sumber pengeluaran itu sepatutnya menjadi milik umum, dan individu hanya mendapat sekadar kerja yang dilakukan untuk kepentingan umum.

Sekularism, Kapitalism dan Sosialism

Setelah kita meneliti beberapa fakta tentang Sekularism di negara kita, khususnya yang dinyatakan di awal penulisan tadi, kita akan dapati bahawa ketebalan radiasi Sekularism mendorong kepada masyarakat untuk merasa ‘tiada masalah’ dengan Kapitalis. Hal ini semakin lama menjadi ‘terbiasa’. Ya, kita perlu faham bagaimana Sekularism itu memudahkan lagi sistem Kapitalis bermaharajalela, sehingga masyarakat Malaysia hari ini tidak nampak penyelesaian Islam.

Realiti hari ini menyaksikan bagaimana pemerintah-pemerintah yang berfahaman Sekular, mengambil kesempatan dengan melaksanakan sistem Kapitalis dalam undang-undang negara demi menjaga periuk nasi mereka dan periuk nasi beberapa golongan korporat. Contoh sepertimana yang saya utarakan di awal tadi, apabila Islam dipisahkan daripada pemerintahan, menyebabkan mereka melihat Kapitalism-lah jalan yang terbaik.

Ada pemerintah yang menolak monopoli, tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri memonopoli. Ada yang menentang Kapitalis ketika mana tiada kuasa politik, tetapi apabila mendapat kuasa dia mula mengaut projek-projek dan diagihkan kepada kroni-kroninya. Berpusing-pusing di antara Sosialis, Kapitalis dan hipokrit. Tetapi apabila dibentangkan sistem Islam, kedua duanya bersatu menolak sistem tersebut, kerana Islam mengharamkan monopoli yang diamalkan oleh Kapitalis, dan Islam juga mengiktiraf pemilikan individu yang ditolak oleh Sosialis.

Inilah gambaran Masyarakat Malaysia yang mengalami kesan daripada radiasi Sekularism hanya tahu sistem Islam seperti zakat dari sudut ibadah sahaja. Tidak terfikir bahawa zakat itu ialah sistem percukaian dalam Islam. Mereka tidak terfikir rupa-rupanya Islam ada menggariskan undang-undang tanah yang menyanggah sistem Kapitalism. Mereka tak sedar bahawa Islam menyediakan sistem qardhul hasan sebagai gantian kepada sistem riba (bunga).

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1207259036134234&id=251201991739948

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1205915899601881&id=251201991739948 HARAKAHDAILY 24/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -