Peralihan PM sekadar satu semangat

- Advertisement -

JOKOWI mengumumkan barisan Kabinet baharu semalam. Sebaliknya di tanah Malaya masih berteka teki tarikh ‘pertabalan’ Perdana Menteri ke-8.

- Advertisement -

Tempoh enam bulan diambil Jokowi menamatkan spekulasi anggota kabinetnya bagi penggal kedua. Namun mengejutkan apabila Prabowo dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Sedangkan pada Pilihan Raya Presiden April lalu Prabowo mencabar Jokowi di kerusi Presiden. Bekas jeneral itu juga pernah mendakwa wujud penipuan pada pilihan raya tersebut.

Kata Prabowo pasukannya mempunyai bukti penipuan. Namun kondosi itu memperlihatkan politik Indonesia semakin tenang. Namun situasi sedemikian seperti tidak muncul di tanah Malaya.

Suasana kelam kabut berterusan sejak 9 Mei 2018. Ia seperti sukar surut. Dan tambah berliku lagi apabila Timbalan Presiden PKR Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa peralihan kuasa yang diuar-uarkan hanya sekadar satu semangat.

Tentu mengejutkan sekali. Sesiapa pun terkejut bukan sekadar pengikut setia Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Cuba teliti kata-kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi terbabit. Ujarnya “perjanjian peralihan kuasa Perdana Menteri itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa ditetapkan sebarang tempoh”.

Terduduk Anwar dibuatnya. Lalu kata Anwar, itu kenyataan peribadi Azmin. “Maknanya saya serah kepada Majlis Presiden PH,” ujar Presiden PKR.

Jauh berbeza ungkapan Anwar sebelum ini. Sedangkan menurut laporan media Anwar berkata, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Kenyataan itu dibuat ketika temubual bersama Bloomberg. Malah katanya lagi beliau tidak terlalu cerewet mengenai tarikh menduduki kerusi PM.

Dilapor juga Anwar berkata, kesefahaman dipersetujui secara konsensus dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau akan muncul PM ke-8.

Kata orang lama seperti cakap tidak serupa bikin. Kita bimbang ada pemimpin utama negara di kelompok begitu. Ada banyak karektor muncul dari satu wajah.

Nampaknya isu Perdana Menteri in waiting tidak selesai. Mungkin juga tidak akan selesai kecuali dibubarkan parlimen.

Seperti disebut ahli parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, di Malaysia ada tiga jenis perdana menteri. Pertama prime minister’s power, kedua prime minister in waiting dan backdoor government.

Annuar tampil mencelah ketika ucapan perbahasan Bajet 2020 oleh ahli parlimen Kota Bharu di parlimen hari ini.

Hanya 2 cara tukar PM

Sedangkan kata Dato’ Takiyuddin Hassan hanya dua cara untuk membolehkan perdana menteri diganti. Satunya melalui undi tidak percaya dan kedua, bubar parlimen.

Malah kata peguam Dato’ Zaid Ibrahim, Perdana Menteri boleh diganti hanya melalui proses yang sah dan diiktiraf di parlimen. Sama ada terdapat perubahan kepimpinan parti atau terdapat undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri.

Inilah perdebatan yang tidak sudah-sudah berlaku di tanah Malaya. Nampaknya Malaysia Baharu tidak mampu keluar dari kemelut itu.

Sebaliknya petua Azmin mudah. Kata beliau “sepatutnya biarlah Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal kerana mandat diberi rakyat”.

Bagi Takiyuddin usaha untuk menukar perdana menteri di tengah jalan bukan perkara baru. Katanya drama itu pernah berlaku pada 1990-an dan 16 September 2008.

Pada 1998, ramai masih ingat gelombang reformasi. Ketika itu juga muncul tragedi mata lebam. Pada 2008 pula ada ahli parlimen BN yang diuar-uar mahu melompat parti.

Pakatan Rakyat hanya memerlukan beberapa kerusi untuk menyaingi BN.

Apa pun ramai berhujah PM ke-8 tidak boleh ditukar ganti dengan mudah. Sekadar konsensus yang tiada kesepakatan jitu dalam PH sendiri, ia tidak ke mana-mana.

Ditambah pula satu demi satu muncul isu mengugat keharmonian negara. Tidak pernah berlaku dalam sejarah apabila muncul pihak cuba menyebar fahaman komunis di sekolah.

Kata Kementerian Dalam Negeri buku kartun ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama’ cuba mempromosi ideologi komunis.

Lebih mendebarkan lagi buku itu juga dikatakan ada kata-kata aluan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Malah ia diterbit di Komtar. Di situ juga menempatkan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Biarpun penerbitan komik propaganda tersebut sudah terang lagi bersuluh, namun masih ada pemimpin politik membela penulisnya.

Dilaporkan 43 pemimpin DAP mendesak polis tidak melakukan siasatan terhadap penulis komik tersebut, Hew Kuan Yau.

Isu ideologi komunis muncul ketika belum pun reda gelagat graduan yang mencemarkan istiadat Konvokesyen UM. Dalam tempoh 15 bulan PH menguasai Putrajaya gugatan keharmonian kaum makin serius.

Ramai berhujah lingkaran perkauman yang berlaku sekarang tidak memungkinkan seorang perdana menteri ditukar ganti.

Kondisi sekarang memerlukan seorang pemimpin yang pernah dilabel berciri diktator. Nampaknya andaian Azmin semakin menyerlah. – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -