PAS ucap tahniah kepada KDN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri diatas ketegasan kementerian tersebut mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

- Advertisement -

Larangan tersebut juga merangkumi dua lagi komik sama dalam terjemahan Bahasa Inggeris ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan Bahasa Cina.

Menurut Abdul Hadi, penyebaran komik yang mempunyai kandungan yang cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme itu perlu ditolak dikhuatiri berkemampuan mengugat keharmonian negara.

Katanya, kerajaan perlu tegas mengambil tindakan kepada pihak berkaitan yang dilihat telah melampaui batas umpama ‘makhluk perosak’ selain berpendapat bahawa rakyat perlu menolak budaya politik sebegini.

Mengulas lanjut, AHli Parlimen Marang itu juga menegaskan bahawa sekolah yang menjadi pusat pendidikan perlu diselamatkan daripada menjadi lapangan penyebaran dakyah yang boleh merosakkan pemikiran generasi muda.

Keadaan tersebut juga katanya, dipercayai mampu menghakis nilai hormat generasi muda dan menghakis semangat perpaduan didalam negara yang bersifat majmuk.

Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ itu telah diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), dengan kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Susulan daripada pengedaran komik tersebut yang tular di media sosial dengan sepucuk surat kebenaran, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil menafikan bahawa KPM memberi kebenaran pengedaran komik tersebut di sekolah. – HARAKAHDAILY 24/10/2019

- Advertisement -